Wednesday, April 2, 2014

Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 11


Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 11  | 4 April 2014 (Jumaat) 


PKNS vs JDT 

Nada kecewa diluahkan oleh pengurus pasukan JDT, Bojan Hodak ketika ditanya tentang kegagalan mereka mengutip 3 mata sewaktu menentang Sarawak. "Kami menguasai perlawanan tetapi apabila asakan bertubi-tubi dilakukan, kami tetap masih buntu menjaringkan gol. Ia pasti menyukarkan kami mencari kemenangan, tambah pula pasukan lawan `berkampung' di kotak penalti," ujar beliau sebelum tergesa-gesa meninggalkan majlis. 

Ramai peminat bola sepak tidak sabar menantikan pertarungan antara Paksi Kejahatan JDT dan Paksi Kebaikan PKNS ini yang akan berlangsung pada hari Jumaat jam 8:45 malam dan kedua pasukan ini mejanjikan satu perlawanan yang sengit dan menghiburkan. 

Pemain Tumpuan PKNS : Aminudin 
Pemain Tumpuan JDT: Lucho Figueroa 
Ramalan PKNS 2 - 2 JDT 


Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 11  | 5 April 2014 (Sabtu) 


Sarawak vs Terengganu 

Liga Super akan bersepak mula seperti biasa pada malam Sabtu dengan tuan rumah, Sarawak bertemu jaguh Pantai Timur, Terengganu. Debaran Sarawak menanti kunjunganTerengganu adalah ibarat debaran tentera Rentap menantikan kunjungan Empayar British bimbingan James Brooke beratus tahun dahulu. James Brooke dan tenteranya cuba menakluki Gunung Sadok dengan membawa 4,000 tentera. Ya lama dulu lagi rakyat Sarawak sudah berperang mempertahankan tanah mereka. 

Tiga mata adalah penting untuk tuan rumah. Tetapi Terengganu FA telah menetapkan sasaran juara liga super untuk skuad mereka biarpun pada mulanya mereka bukanlah pasukan pilihan. 

Pemain Tumpuan Sarawak : S. Chanturu 
Pemain Tumpuan Terengganu : Zairo Anuar 
Ramalan Sarawak 1 - 2 Terengganu 


Kelantan vs ATM FA 

Jika musim lepas perlawanan ini sudah semestinya akan menjadi sangat-sangat sengit. Tetapi untuk kali ini aku jamin ia akan menjadi perlawanan berat sebelah yang akan dikuasai sepenuhnya oleh Kelantan walaupun mereka terpaksa bermain dalam Piala AFC pada pertengahan minggu. Ini semua disebabkan penurunan prestasi pasukan ATM yang mendadak. 

Selain dari misi layak ke Piala AFC setiap tahun dan hanya melengkapkan jadual kejohanan, Kelantan juga mempunyai misi yang lain. Kejuaraan Liga Super adalah kayu pengukur keupayaan negeri dari pantai timur yang kecil molek ini dalam meneruskan survival mereka di arena bola sepak tempatan. 

Pemain Tumpuan Kelantan : Mohamed Shawky 
Pemain Tumpuan ATM FA : Bruno Martelotto 
Ramalan Kelantan 3 -0 ATM FA 


Perak vs Selangor 

Selangor sebelum ini telah pun menewaskan Hanoi T&T dalam Piala AFC dan kemenangan ini menerima reaksi positif kebanyakannya dari peminat bola sepak tempatan. Kali ini mereka bakal membuktikan keupayaan menewaskan Perak pula. Manakala Piala AFC kekal menjadi pentas terbaik untuk menguji keupayaan mereka. 

Lantas Piala AFC dan Liga Super ibarat sambil berkapal selam, minum air buat Selangor. Pertamanya untuk membuktikan kekuatan bola sepak mereka bagi bergelar juara di peringkat Asia atau paling tidak memberikan cabaran yang terbaik. Kedua ialah membuktikan keupayaan Selangor untuk menjulang kejuaraan Liga Super 2014 selepas kali terakhir melakukannya pada 2010. 

Pemain Tumpuan Perak : TIADA 
Pemain Tumpuan Selangor : Afiq Azmi 
Ramalan Perak 0 - 2 Selangor 


T-team vs Pahang 

Ramai yang tahu Negeri Tok Gajah ini adalah merupakan negeri kesayangan FAM. Tapi bagi aku ia bukanlah masalah utama buat sebuah negeri besar dan maju seperti Pahang yang sentiasa melahirkan bakat-bakat terbaik yang muncul dari seluruh pelusuk negerinya. Dan yang lebih manis lagi kejayaan Pahang hari ini adalah hasil daripada projek pembangunan bola sepak mereka yang teratur dan ianya bukan datang dengan melakukan pembelian mewah sema-mata. 

Aku tahu masih ramai sebenarnya di luar sana tidak bersetuju dengan status anak emas FAM ini. Walaupun begitu kebencian ini mungkin tidak mencapai tahap kehinaan serta kemarahan yang sama dengan apa yang telah Tuhan Harun telah lakukan di Pahang. 

Jadi...tak usahlah aku berbelit-belit lagi. Makanya aku memilih Pahang untuk menewaskan T-team. Mukatamad. 

Pemain Tumpuan T-team : Nelson Marcelo 
Pemain Tumpuan Pahang: Dickson Nwakaeme 
Ramalan T-team 1 - 3 Pahang 


Sime Darby FC vs LIONS XII 

Pada mulanya ramai yang marah dengan kemasukan LIONS XII dalam liga Malaysia. Tetapi kemasukan LIONS XII juga sebenarnya dapat memberi kesan positif buat bola sepak Malaysia. Reputasi bola sepak Malaysia kini dipandang lebih tinggi dengan adanya LIONS XII yang merupakan antara negara sukan bola sepak terulung di Asia Tenggara. Dan kuasa-kuasa bola sepak Malaysia yang lain kini mempunyai pencabar baru yang perlu mereka tangani. Kelantan, JDT dan Selangor tidak lagi boleh bersenang-lenang. 

Tidak apa LIONS XII berada dalam liga Malaysia kerana ini akan mengeratkan lagi hubungan dua hala negara kita dengan mereka. 

Sementara itu Sime Darby pula sudah semestinya bersedia 130% untuk mengejutkan pasukan LIONS XII selepas mereka berjaya menumpaskan ATM 3-2. 

Pemain Tumpuan Sime Darby FC: William Mensah 
Pemain Tumpuan LIONS XII : Safuwan Baharuddin 
Ramalan Sime Darby FC 1 - 1 LIONS XII

1 comment:

Silakan Laser Saye...