Monday, July 14, 2014

Piala Dunia 2014 : Jerman 1 - Argentina 0.

Piala Dunia 2014 : Jerman 1 - Argentina 0

"We started this project ten years ago and what has happened today is the result of many years' work, starting with Jurgen Klinsmann. We've made constant progress, we believed in the project, we worked a lot and, if any group deserves it, it's this team. We've always played good football and I believe that over this tournament, over seven matches, we've shown the best performances of any of the teams here in Brazil. The boys have also developed a team spirit which is unbelievable." - JOACHIM LOW -

Negara hebat seperti Jerman pun menunggu sehingga 24 tahun untuk kembali menjulang Piala Dunia. Brazil juara Piala Dunia lima kali pula menjadi tuan rumah hanya untuk disingkirkan dengan cara yang amat memalukan. Argentina dengan barisan pemain berbakat yang diketuai oleh Messi mempamerkan persembahan kurang bermaya sepanjang kejohanan dan hanya semangat membawa mereka ke perlawanan akhir juga terpaksa menerima hakikat kemarau Piala Dunia mereka kini mencecah 32 tahun. Manakala pasukan Belanda pula kekal menjadi pasukan elit yang layak menjadi juara Piala Dunia tetapi masih tidak mampu menjulang piala teragung ini.

Itu belum lagi aku cerita perihal bekas-bekas Juara Piala Dunia seperti Itali, Sepanyol, England dan Uruguay yang pulang awal dalam keadaan paling keji.

Jika melihat nasib pasukan daripada Asia pula, kita boleh mengagak di mana letaknya kedudukan sebenar pasukan bola sepak Malaysia atau lebih dibanggakan dengan nama Harimau Malaya. Jepun, Korea Selatan, Iran dan Anak Angkat Asia-Australia, kesemua wakil Asia ini terkandas di peringkat kumpulan. Ini petanda bola sepak negara kita masih jauh terkebelakang ketika negara kecil, miskin, mundur, sibuk dengan perang mula mempamerkan corak permainan penuh bertenaga. Sebagai contoh Algeria dan Costa Rica yang membuktikan kepada kita bahawa bola sepak lebih daripada sekadar duduk di atas kerusi empuk sambil meneguk segelas air nyaman di dalam pejabat yang berhawa dingin. Melihat pasukan Bosnia dan Iran di Piala Dunia saja sudah membuatkan aku termenung jauh memikirkan apa virus sebenar yang ada dalam bola sepak Malaysia.

Di Malaysia pula menteri sukannya adalah daripada negeri yang tidak akan bermain dalam Piala Malaysia 2014. Di Malaysia juga ada banyak pasukan yang dinaungi oleh seorang individu ataupun satu persatuan yang bermain dalam liga dan pertandingan yang sama. Di mana intergriti bola sepak Malaysia sebenarnya?

Bila bercakap tentang Piala Dunia, bagaikan kita sudah menjadi Juara 10 kali. Penuh ghairah. Tetapi itulah romantiknya rakyat Malaysia dan Piala Dunia. Setiap 4 tahun berpusu-pusu dengan negara angkat masing-masing. Tidak terkecuali juga aku. Sampai bila harus begini? Adakah sehingga kita melihat pasukan Somalia dan Bosnia bermain di Perlawanan Akhir Piala Dunia 2054 barulah kita mula merasa cemas?

Bilakah kita akan mampu untuk bersorak dan melihat pasukan Malaysia di Piala Dunia sebenarnya?

Aku tinggalkan pelbagai soalan untuk kita semua fikir dan untuk Tengku Bola jawab. Dan aku yakin 4 tahun lagi kita akan kembali bersama-sama pasukan angkat masing-masing untuk menonton Piala Dunia Russia 2018.

Sekian.

Abang Hadristuta.
Kampung Tualang Tiga.
8: 02 AM | 14 Julai 2014.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...