Wednesday, July 9, 2014

Prebiu Tempat Ketiga/Keempat Piala Dunia 2014: Brazil vs Netherlands.


Prebiu Tempat Ketiga/Keempat Piala Dunia 2014: Brazil vs Netherlands

Sunday, July 13, 2014  | 4.00 AM

Brazil tewas kepada Jerman dalam aksi Separuh Akhir melalui cara yang amat memalukan. Sejak Piala Dunia 1994 aku sudah mula membenci Brazil. Tapi benci-benci aku pun takdelah sampai melompat bersorak menengok Brazil dibelasah 7-1. Dan aku masih ada perasaan sedih melihat kekalahan sebegini rupa. Sayu pilu. Lagi-lagi apabila kamera televisyen mula memfokus wajah hiba peminat Brazil yang menistiskan air mata di dalam stadium. Negara Brazil secara tiba-tiba menjadi negara paling sedih di dunia pada pagi sembilan julai dua ribu empat belas. 

Scolari wajar menyalahkan dirinya sendiri. Ketika mereka memerlukan gol. Hanya wajah Fred kelihatan di atas padang sebagai penyerang harapan. Mereka ada Ronaldinho, Robinho, Pato, Coutinho, Kaka dan Lucas Moura. Tetapi di mana pemain ini semua? Kali terakhir Fred menyentuh bola adalah ketika sesi memanaskan badan sebelum perlawanan. Apabila masuk sahaja ke dalam padang, Fred seolah-olah hilang pedoman. "Aku main mane? Aku main mane?" Soal Fred berkali-kali kepada Scolari.

Kenapa pula aku sebut Ronaldinho? Ya, mungkin pemain ini sudah berusia 34 tahun. Tetapi mungkin amat berguna sekiranya keadaan mendesak terutamanya jika Brazil mahukan gol dari kedudukan 'set-piece'. Lihat sahaja Miroslav Klose yang sudah berumur 36 tahun. Dua tahun lebih tua dari Ronaldinho. Apa yang Klose dah buat? Menjaringkan satu gol dan sekaligus meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia setakat ini.

Apabila Brazil sudah dibelasah, muncul cakap-cakap mengatakan ketiadaan Neymar dan Thiago Silva adalah punca utama. Tak kurang juga yang menjerit di kedai mamak "Penjaga gol Queen Park Rangers boleh la bolos tujuh!" Sekali dengar macam alasan budak-budak sekolah. Tidakkah mereka sedar pemain terbaik mereka masih ramai yang tidak dipanggil? João Miranda dan Filipe Luís dari Atletico Madrid antara pemain yang dibiarkan duduk di rumah memotong rumput dan memanjat pokok petai. Menengok corak permainan David Luiz sahaja kita sudah tahu kenapa Chelsea dan Mourinho senang-senang melepaskan pemain ini ke PSG. Dan aku yakin pengurusan PSG sedang mencari-cari resit untuk mengembalikan semula Luiz ke Chelsea.

Dante? Ermmms...kalau aku yang jadi Thiago Silva. Aku masuk padang, aku terajang perut si Dante ni laju-laju. Main bola serupa Jimi Hendrix.

Ada satu ketika aku terpikir mungkin James Rodriguez sedang menjerit-jerit di depan televisyen di rumahnya "Kalau macam gini, baik bagi kami jek main". Tapi semuanya sudah terlambat. Brazil lebih layak memalukan dirinya sendiri di hadapan 200 juta umat mereka. Sekali imbas jika kita melihat jumlah jairngan, mungkin kita menyangka Kedah, jika tidak pun mungkin Arab Saudi yang sedang dibelasah Jerman. Kini hanya tempat ketiga yang akan menjadi pengubat duka buat pasukan Brazil. Manakala kekalahan Brazil kepada Jerman akan selamanya menjadi sejarah memalukan buat Brazil, dan bahan menganjing untuk semua anggota negara CONMEBOL. 

Lawan Brazil tidak lain dan tidak bukan ialah pasukan Belanda. Belanda tewas kepada Argentina dalam satu perlawanan yang mana memaksa pendukung setia bola sepak bangkit awal pagi untuk 'pray' for GAZA sambil menonton aksi membosankan. Manakala pemboikot Mekdi sedang asyik nyenyak tidur kerana siangnya akan berdoa di dada facebook. 

Ternyata Belanda tanpa pemain Surinam pada perlawanan ini ibarat Neelofa tanpa pengilat kuku. Langsung tidak berbisa dan mengancam. Belanda sebenarnya amat terhutang budi kepada pemain Surinam apabila pasukan ini menewaskan Argentina pada Piala Dunia 1998. Dan semua itu kini hanya tinggal memori. 

Pada pertemuan dengan Argentina, Belanda bermain dengan sangat negatif dan terlalu banyak bertahan. Jika menyerang sekalipun hanyalah untuk mendapatkan 'off-side'. Sesekali Van Persie seolah-olah seperti sedang beraksi untuk kejohanan Piala Filippo Inzaghi. Tiada kreativiti dalam melakukan serangan sehingga perlawanan menjadi amat bosan. 

Dalam keadaan perlawanan berakhir dengan keputusan kosong-kosong dan kepenentuan penalti, hanya mereka yang kurang waras sahaja percaya laga ini adalah separuh akhir sebenar. Bola sepak adalah hiburan. Hiburan memerlukan gol. Inikah Van Gaal yang dikatakan kaya dengan taktikal? Hantar bola pun sangkut, memang sesuailah Belanda dijodohkan untuk bertemu Brazil. Mujur aku bukan FIFA. Kalau aku jadi FIFA, awal-awal lagi aku dah suruh pasukan Belanda berhenti main dan balik hotel.

Kali ini tiada magis dari Van Gaal apabila dia sudahpun menggunakan kesemua pemain simpanannya dan bergantung harap kepada Cillessen untuk menyelamatkan air muka penyokong pasukan Oranje. Dan apabila melihat bahasa tubuh Cillessen sahaja aku sudah tahu yang beliau bukanlah satu pilihan tepat untuk menjadi hero sepakan penalti. 

Belanda akhirnya tewas. Tiada siapa yang menyangka mereka boleh mara sejauh ini. Namun pasukan Belanda kekal sebagai sebuah pasukan elit yang masih gagal menjulang Piala Dunia. Sekurang-kurangnya untuk 4 tahun lagi. Selamat bertembung buat Brazil dan Belanda. 

Pemain Tumpuan Brazil : Fred, Ramires, Hulk.
Pemain Tumpuan Netherlands : Tim Krul, Huntelaar.
Ramalan: Brazil 3-1 Netherland.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...