Friday, May 18, 2012

Apa agenda sebenar Annuar Musa?



Salam...harap maaf andai entry kali ini menyinggung pihak-pihak berkenaan. Saya mahu tulis sedikit sahaja kerana merasakan diri ini tidak layak mengulas keperibadian seseorang yang tidak saya kenali secara rapat. Apa yang mampu ditulis adalah berdasarkan fakta dan pendapat saya sendiri. Untuk pengetahuan semua,antara kejayaan yang diperolehi oleh pasukan Bolasepak Kelantan sejak 2009 di bawah pentadbiran Tan Sri Anuar Musa ialah: 
  • Juara Piala Malaysia 2010. 
  • Naib Juara Piala Malaysia 2009. 
  • Juara Liga Super 2011. 
  • Naib Juara Liga Super 2010. 
  • Naib Juara Piala FA 2009 dan 2011. 
  • Juara Perisai Komuniti 2011. 
  • Naib Juara Perisai Komuniti 2012. 

Sebelum 2009, anda semua boleh cari sendiri di mana bolasepak Kelantan berada ketika itu.

Datuk Aini Taib

Rekod beliau ini mengingatkan saya kepada Datuk Aini Taib ketika mengemudi Selangor bersama-sama Ken Worden pada era-90 an dahulu. Skuad Selangor ketika itu bukan sahaja dibarisi oleh pemain import dan tempatan terbaik, malah juga terdiri daripada anak jati Selangor yang lahir daripada program pembangunan bolasepak tempatan yang berkesan. Tatkala Selangor ketika itu dibarisi pemain seperti Azman Adnan, Tony Cotte dan Mehmet Durakovic, beberapa pemain kelahiran Selangor seperti Asmawi Bakiri, Rusdi Suparman dan Azlisham Ibrahim turut diketengahkan. 

Kelantan juga seperti menggunakan ramuan yang sama untuk menguasai pentas bolasepak tempatan. Pemain bintang dari luar negeri Kelantan telah dipanggil masuk seperti Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal dan Khalid Jamlus. Anak jati kelantan seperti Nurul Azwan Roya dan Daudsu Jamaluddin pula dipanggil semula mewakili negeri kelahiran mereka selepas menabur bakti di perantauan. Tidak lupa juga Khairul Fahmi yang merupakan bekas anggota skuad piala presiden Kelantan yang dinaik taraf ke skuad senior. 

Formula bernas yang digunakan kedua bekas presiden ini dapat membantu pasukan mereka menguasai pentas bolasepak tempatan pada satu tempoh masa tertentu. Struktur pentadbiran yang mantap serta teratur memberi faedah pada kejayaan pasukan bolasepak mereka. Namun tahukah anda kebijaksanaan TSAM ini hanya mampu untuk menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita sahaja di FAM? Namun begitu, beliau tetap professional dalam kerjayanya. 

Mengimpikan pemain bolasepak wanita pergi sejauh ini...

Menurut Timbalan Presiden PBSWM Tunku Ellie Badariah Tunku Ahmad, Tan Sri Annuar Musa telah memulakan langkah bagi membangunkan semula skuad wanita namun tidak mendapat reaksi positif daripada FAM. Pada 2009, Annuar telah memberikan senarai nama anggota Jawatankuasa PBSWM yang baru kepada FAM, tetapi sehingga hari ini (Mac 2012) mereka tidak menerima apa-apa maklum balas atau panggilan untuk mengadakan perjumpaan tentang persatuan bola sepak wanita kebangsaan. Apa yang sudah jadi dengan orang atasan dalam FAM?

Namun begitu, sekiranya anda baru sahaja mengenali atau mendengar nama Annuar Musa, tindakan beliau yang sentiasa meng'update' status FB nya akan di anggap sebagai gila populariti ataupun mempunyai agenda politik. Begitu juga sekiranya anda baru sahaja mengenali FAM, anda akan setuju dengan denda dari Soltan Bola tersebut. Tetapi bolehkah anda beri jaminan bahawa orang-orang atasan dalam FAM yang lain itu tidak mempunyai sebarang agenda politik? Jika TSAM ada agenda politik sekalipun, saya rasa rakyat Kelantan tidak akan mudah tertipu. Mereka semua lebih bijak pandai daripada kita dalam menilai keperibadian seseorang tokoh tersebut mengikut keadaan tertentu. Paham?

Secara peribadi, saya yang mencintai bolasepak ini hanya mahukan kejayaan dan pembangunan bolasepak tempatan. Andaikata FAM mampu buktikan mereka boleh memajukan bolasepak tempatan, saya tidak kisah jikalau Soltan Bola mahu duduk 100 tahun pun kerusi FAM itu. Namun hakikatnya, Soltan Bola dan konco-konconya seringkali mencantas mereka yang bercita-cita tinggi dan mempunyai akal yang cerdik dalam bolasepak.

Tak perlu saya ulang ulasan tentang berapa ramai tokoh yang pernah dicantas FAM. Adalah lebih elok FAM melaksanakan tugasnya memajukan bolasepak Malaysia daripada sibuk melayan TSAM. Adakah ranking bolasepak Malaysia akan turun sekiranya TSAM merasmikan CD dikir warriors? 

Aku biarkan soalan di atas untuk dijawab oleh kamu semua. Dan tajuk entry ini sepatutnya.... 

"APA AGENDA SEBENAR FAM?"

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...