Wednesday, January 9, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 2

Jumaat : 11 Januari 2012




Paroi Menyambut Tetamu
Negeri Sembilan vs Terengganu (Astro Arena 801)
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi


Seperti yang dijangka, Negeri Sembilan tewas kepada Selangor. Paling memilukan ialah bekas pemain terbaik mereka, S. Kunalan pula yang menyumbat gol tersebut.  Nada kecewa turut diluahkan oleh jurulatih Jang, Divaldo Alves. "If you dont kill, you die" ungkapan ringkas Divaldo Alves merujuk kepada kegagalan pemainnya memanfaatkan peluang yang ada untuk menjaringkan gol sehingga kecewa dalam perlawanan malam ini.

Tetapi ia tidak sepatutnya membunuh terus semangat warga Jang. Yang terbaik masih belum muncul dari pasukan Jang ini. Jang masih lagi belum makan masak lomak cili api. Apabila Jang sudah pekena makanan tersebut, maka seluruh pasukan Liga Malaysia perlu berjaga-jaga.

Terengganu pula hanya mencapai seri ketika bertemu Felda. Ismail Faruqi telah menjadi penjaring gol buat pasukan Terengganu selepas berjaya menjaringkan gol yang bermula daripada sepakan penjuru. Manakala aksi sulung Owana pula amat mengecewakan. Nampakya Elavarasan masih lagi mengharapkan tonggak lama seperti Ashaari Samsudin, Ismail Faruqi dan Manaf Mamat dalam memburu kejayaan pertama mereka. 


"Masih terlalu awal untuk kita menghukum pemain baru seperti Effa Owana. Dan ya, saya mengakui masih memerlukan pengalaman pemain-pemain lama," begitulah komen Elavarasan dalam nada merendah diri. Namun begitu, penjaga gol baru mereka Wan Azraie sudah boleh membuatkan peminat-peminat Peteh Ganu Peteh tidur lena kerana tidak perlu lagi memikirkan karenah Sharbinee Allawee.


Pemain Tumpuan Negeri Sembilan  : Eddy Helmi.
Pemain Tumpuan Terengganu : Ismail Faruqi.
Ramalan: Negeri Sembilan 2 - Terengganu  2.
Keputusan Negeri Sembilan 0 - Terengganu 0.






Dilema Najib
Felda United vs Pahang
4.45ptg Std Petaling Jaya, Kelana Jaya


Felda United ataupun 'The Sawit Boys' dengan tenang mengikat Terengganu 1-1 dalam perlawanan pertama. Melalui persembahan penuh inspirasi daripada Amar 'Pirlo' Rohidan, K. Devan boleh tersenyum lebar. Sampai ke telinga Rajagopal gamaknya. Kini mereka dalam misi penuh mencabar untuk menghadapi Pahang yang baru sahaja mengejutkan Harimau Selatan. 


Mat Ghaddar semestinya akan menjadi sandaran 100% pasukan Felda untuk mendapatkan gol. Sekali lagi beliau perlu mempersembahkan aksi solo seperti Zlatan Ibrahimovic yang seringkali menyelamatkan Paris Saint Germain dari tewas kepada lawan mereka. 


Pahang kini bukan lagi Real Madrid Malaysia. Tetapi mereka digelar 'King of comeback' selepas berjaya bangkit menewaskan Darul Takzim 3-2 dalam perlawanan yang penuh dramatik. Sentuhan Dollah dan Zainal memang dahsyat. Pahang membangun bersama pemain-pemain muda seperti Fauzi Roslan (2 gol), Faizol Hussien, Azamuddin 'Alex' Akil dan Gopinathan. 


Dollah Salleh juga berkemungkinan akan mengekalkan Nasril Nourdin sebagai penjaga gol utama selepas beraksi cemerlang tempohari. Statistik juga menunjukkan Nasril sudah kehilangan 15 kg kesan daripada terlalu banyak membuat aksi amal menyelamatkan gawangnya dari bolos. This is Darul Makmur!!!


Pemain Tumpuan Felda United  : Mat Ghaddar
Pemain Tumpuan Pahang : Faizol Hussien
Ramalan: Felda United 0 - Pahang  2.
Keputusan: Felda United 0- Pahang 1.



Yob Berkunjung ke Legoland
Darul Takzim vs Perak
8.45mlm, Std Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin


Johor tersentak. Mereka tewas bagaikan sayur bayam kepada pasukan Pahang yang sebenarnya sayur kobis bunga pada hemat saya. Azmi Muslim dan Muslim Ahmad mengekalkan konsisten mereka sebagai pemain paling sampah dalam bola sepak Malaysia. Manakala persembahan ala-ala budak sekolah dari Tuah Iskandar pula melengkapkan kebangangan trio ini. Dalam bahasa orang putih 'Full Pakage of Stupid Rubbish'


Tetapi baik Fandi Ahmad mahupun TMJ di dalam jiwa, mereka menanamkan prisnsip Hero Filem Tamil yang mana Hero Kalah Dahulu. Demi menjaga hati kekasih, Darul Takzim rela dimalukan. Jika tidak, Amanat Nur Fazura akan dikeluarkan. Maka ramai pula yang akan kecewa nanti. Aidil Zafuan dan Safee Sali akan kembali dalam kesebelasan utama. Di samping itu, Zamir Selamat pula sudah bersedia untuk mengambil alih posisi penjaga gol dari Al-Hafiz yang kelihatan sedikit berat bontot.


Jika Azraai Khor tenang dalam busana merah jambunya, Darul Takzim sememangnya dalam bahaya. Memiliki Hadi Yahya dan Yong Kuong Yong dalam pasukan Yob memberi kelebihan kepada mereka. Walaupun hanya memerlukan jaringan sendiri daripada Nuraliff untuk menewaskan Terengganu tempohari, tetapi barisan skuad Yob masih kelihatan ampuh dan jitu.


Ketua pasukan Yob, Shahrom Kalam, Rafael Novois dan Hisyamuddin Shaari akan memberikan perlindungan secukupnya kepada Farizal Marlias. Manakala Failee akan melengkapkan barisan serangan Yob dalam memburu kejayaan kedua musim ini dengan menewaskan Harimau Selatan. Benar kata orang-orang tua..."Don't Mess With The Yob and Yong".



Pemain Tumpuan Darul Takzim  : Safiq Rahim
Pemain Tumpuan Perak : Hadi Yahya
Ramalan: Darul Takzim 3 - Perak  1.
Keputusan: Darul Takzim 1 - Perak 0.



Sabtu : 12 Januari 2012



Singa Santai di Padang Plastik
Lions XII vs Selangor (Astro Arena 801)
7.45mlm, Std Jalan Besar, Singapura


Selain wujud slogan A.B.K (Asal Bukan Kelantan), kini dipercayai sebuah pergerakan bawah tanah mula menyebarkan fahaman A.B.L (Asal Bukan Lions). Semuanya gara-gara layanan istimewa FAM kepada FAS. Selepas FAM memberikan imuniti kebal (tidak akan turun liga sehingga kiamat) kepada Lions XII, kini dipercayai mereka mula ingin meminta wang rebat membeli telefon pintar dan juga membeli saham FGV. Ini semua sudah melampau. Oleh itu, sesiapa sahaja yang bertemu Lions XII, wajib menewaskan mereka. Gelaran Datuk akan diberikan oleh Soltan Melaka.


Lions XII kali ini mengharapkan 5 orang tonggak senior mereka untuk mengajar remaja 23 tahun mereka cara untuk menyepak bola di Malaysia. Shahril Ishak akan mengetuai pasukan, sambil dibantu oleh Baihaki Khaizan yang sememangnya bukan seorang Bai Roti. Izwan Mahbud pula kekal kebal di posisi penjaga gol dan beliau adalah punca utama kepada kejayaan Lions XII menewaskan ATM dengan penuh sombong.


Irfan Bakti bertuah kerana memiliki permata hitam S. Kunalan. Mengikut kajian majalah bola terkemuka Sweden, 'Offside'. Sekiranya sesebuah pasukan itu memiliki Kunalan, maka pasukan itu sudahpun lengkap 99.99%. Gandingan Irfan-Kunalan kini mengatasi mana-mana gandingan jurulatih-pemain seperti Mancini-Balotelli dan Simeone-Falcao. Kunalan telah menjaringkan gol yang cantik hanya menggunakan pinggang ketika menentang Nogori Selasa lepas.


Semuanya berpunca daripada gerakan cantik Wak Doe yang menyungkit bola kepada Amri 'The Tempe Eater' Yahyah yang kemudiannya membuat hantaran lintang kepada Kunalan untuk disudahkan dengan bergaya sekali. Jelas Wak Amri Tidak Harus Bersara, biarkan Jalaluddin Jaafar sahaja yang bersara. Satu lagi berita gembira ialah Norazlan Razali berjaya mengatasi Sharbinee dalam perebutan posisi penjaga gol Selangor.



Pemain Tumpuan Lions XII  : Izwan Mahbud
Pemain Tumpuan Selangor : S. Kunalan
Ramalan: Lions XII 0 - Selangor 1.
Keputusan: Lions XII 1- Selangor 0.






Penguasa Pantai Timur?
T-Team vs Kelantan
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu



Bagaikan amukan Sonamu, 'The Kijang' menewaskan PKNS untuk mengutip mata penuh pertama musim ini. Apex sudah kembali ke posisi penjaga gol selepas Leuniey melepaskan kepitannya buat sementara waktu. Bojan Hodak juga sudah mula berani mencuba untuk bermain dengan dua penyerang apabila Haris Safwan diturunkan untuk menemani Keita menjaringkan gol. Ternyata Bojan Hodak ada otak.


Sementara itu, aksi pasukan T-Team indah khabar dari rupa. Gagal mengutip 3 mata penuh meskipun bermain di tempat sendiri. Masih belum ada petunjuk awal bahawa pemain seperti G. Mahatdevan dan Mazlizam Muhammad mampu untuk menggembirakan majikan baru mereka. Pemain import Boateng dan Caleb Folan pula ibarat makan gaji buta gamaknya.



Jika T-Team gagal mencapai keputusan cemerlang dalam pertemuan ini, sudah pasti Peter Butler akan dapat mengenal pasti yang mana satu pemain mereka yang menjual permainan serta keluar malam menyeludup aweks masuk ke kem latihan. Percayalah....


Pemain Tumpuan T-Team  : Caleb Cohen
Pemain Tumpuan Kelantan : Khairul Fahmi
Ramalan: T-Team 2 - Kelantan 1.
Keputusan: T-Team 1 - Kelantan 0.




PKNS Pasukan Berani!!!
PKNS vs ATM
8.45mlm Std Shah Alam


Kasihan PKNS, selepas menghadap Kelantan, kini perlu pula berhadapan dengan ATM. PKNS hampir-hampir sahaja mengejutkan Kelantan pada perlawanan Rabu lepas. Kapten pasukan Helmi Rameli telah memberikan aksi penuh inspirasi, namun ia tidak cukup untuk menewaskan Kelantan. Selepas melihat aksi pertama, Haji Abdul Rahman kini boleh tersenyum manis ala-ala Tori Black. 


Apabila PKNS menentang ATM nanti, kita akan dapat melihat bagaimana barisan pemain PKNS seperti Zamri Morshidi dan Fauzan Dzulkifli merencana bahagian tengah untuk membantu Rudie Ramli dan Ronaldinho mencari gol bagi memburu kejayaan pertama musim ini. Sekiranya semangat Supermokh meresap ke dalam jiwa pemain PKNS, skuad ATM pasti dalam keadaan tenat.


Sementara itu, secara keseluruhan ATM beraksi baik ketika menentang Lions XII. Namun kegagalan Marlon Alex menyempurnakan 7 peluang gol yang terhidang telah merugikan pasukannya. Seperti biasa Farizal mempamerkan aksi goyah. Sathianathan perlu mencari pengganti Farizal secepat mungkin dengan nama Muslera mula disebut-sebut oleh askar-askar pencen di serata Malaysia. Selain itu, Rezal Zambry dan Shukor Adan yang memberikan aksi ampuh masih perlu dikekalkan dalam kesebelasan utama untuk menentang PKNS.


ATM sekali lagi akan bertungkus lumus untuk mencari kemenangan pertama dalam aksi Liga Super 2013 ini.


Pemain Tumpuan PKNS  : Zamri Morshidi
Pemain Tumpuan ATM : Fitri Omar
Ramalan: PKNS 2 - ATM 2.
Keputusan: PKNS 1 - ATM 3.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...