Saturday, January 5, 2013

Ulasan Minit ke Minit Kelantan vs ATM



Entah siapalah yang memilih Stadium Shah Alam sebagai venue pada malam ini. Sedangkan perlawanan  ini adalah antara Kelantan dan ATM. Dan semua pun dah tahu ini adalah Piala Soltan Pahang dan bukannya Soltan Selangor. Perlawanan malam ini pun kurang serinya kerana ketiadaan Khairul Fahmi yang dikatakan masih belum dilepaskan dari kepitan Leuniey. 


Perlawanan ini juga amat istimewa kerana Kelantan akan berdepan sekali lagi pasukan yang digelar 'Manchester City Malaysia', iaitu ATM. Skuad ATM ini dipenuhi dengan 'Hero Pencen' seperti Irwan Fadli, Shukor Adan, Rezal Zambry dan Hairuddin Omar. Bagi pasukan Kelantan pula, mereka semestinya mahu mengulangi detik manis musim lepas menewaskan pasukan yang sama dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.


Pada jam 8.00 malam, penyokong sudah mula membanjiri stadium. Segenap pelosok Stadium penuh dengan kenderaan. Kelihatan di kauter tiket penyokong beratur sopan. Ada yang sanggup beratur panjang, ada juga yang sanggup hanya memberi duit kepada rakan, mungkin kerana lenguh kaki agaknya hendak berdiri lama. Jumlah penonton yang ramai pada malam ini dijangka akan memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada peniaga air, kuaci dan berger.


Tepat jam 8.45 malam perlawanan dimulakan. Seawal permainan ATM melancarkan serangan menguji pertahanan dan penjaga gol Kelantan. Ketika Kelantan cuba mencari rentak, pemain gantian Syazuan Hazami (masuk minit ke-9 menggantikan Fainizam Nordin) berjaya meloloskan diri dan menggamatkan stadium pada minit ke-15 apabila rembatannya singgah di atas palang ketika penjaga gol Kelantan, Syazwan Yusof ternyata sudah tertewas.


Bagaikan tersedar dari lamunan. Ini bukanlah perancangan sebenar mereka. Kelantan pula mula mengatur serangan melalui gandingan emas Shakir-Piya-Zairo. Hasilnya Zairo berjaya menguji Farizal Harun dengan rembatan padu dari kawasan 25 padang pada minit ke-19.


Selepas itu perlawanan menjadi semakin rancak apabila memasuki pertengahan separuh masa pertama. Corak serangan yang ditunjukkan oleh Kelantan dan ATM amat menarik. Sesekali jantung penyokong Kelantan berdegup kencang apabila gawang mereka cuba dirobek oleh penyerang hebat ATM, Hai-O dan Martelotto. 


Namun Kelantan juga tidak kurang hebatnya dengan serangan dari Keita Mandjou hampir sahaja membuatkan seluruh warga Cik Siti Wan Kembang bersorak gembira. Melalui leggok badan umpama ular, Keita Mandjou berjaya menewaskan Amir Taj. Namun cubaan beliau berjaya diselamatkan Farizal Harun dengan cemerlangnya pada minit ke-40.


Separuh masa pertama akhirnya tamat pada minit ke-47 dengan keadaan masih lagi 0-0.


Ketika waktu rehat Sathianathan menyampaikan amanat kepada pemainnya. Berjaga-jaga dengan serangan dari Kelantan. Barhati-hati juga dengan pemain seperti Indra Putra walaupun sudah berusia. Sejurus sebelum semua pemain keluar dari bilik persalinan, Marlon Alex dipanggil oleh Sathianathan. "Alex, saya mahu kamu bersiap sedia", bisik Sathia ke telinga capang milik Marlon Alex.


Sejurus sahaja separuh masa kedua bermula, Kelantan mula mengatur serangan. Sathianathan seperti dapat menghidu masalah tumpul di barisan serangannya. Pada minit ke-54 Marlon Alex dimasukkan untuk menggantikan Amir Taj. Tetapi secara tiba-tiba Kelantan pula dapat menjaringkan gol melalui Indra Putra pada minit ke-55. Belum pun sempat habis berger yang dimakan oleh penonton ATM semasa waktu rehat tadi, pasukan mereka kini sudahpun ketinggalan.


Bojan Hodak bingkas bangun dan terus memanggil ketua pasukan Kelantan, Piya. Bojan berpesan kepada Piya supaya mengingatkan pemain yang lain agar tidak mudah leka walaupun sudah mendahului 1 gol. Piya mengangguk seperti faham walaupun Bojan tidak berbahasa Kelantan.


Selepas jaringan Indra Putra, kedua pasukan saling menyerang. Walaupun begitu, Kelantan dan ATM juga kental bertahan sehinggakan penyokong kedua-dua pasukan mula resah dan kerap mengurut dada. Permainan juga semakin rancak apabila ditambah dengan ulasan berapi-rapi seperti biasa daripada Lagenda Hasbollah Awang. Walaupun seringkali tersilap menyebut nama pemain, namun seluruh Malaysia lebih gemar mendengar ulasan selamba bubuh dari Hasbollah Awang berbanding 'perbualan info' antara Azlan Johar dan Zainal Abidin Rawop.


ATM tidak mengenal erti tewas. Serangan demi serangan diatur mereka. Hasilnya ATM mendapat gol pada minit ke-84 selepas Irwan Fadli melepaskan satu sepakan percuma ala-ala Leighton Baines. Mengucap panjang semua penonton Kelantan di Stadium hatta di rumah sekalipun. Manakala 'The Gladiators' pula tak henti-henti melonjak kegembiraan.


Perlawanan tamat dan penentuan sepakan penalti terpaksa dilakukan selepas kedua pasukan terikat 1-1 selepas 93 minit permainan berlansung.


Penentuan penalti dimulakan dengan Kelantan terlebih dahulu mengambil sepakan penalti. Gol demi gol dijaringkan oleh pemain yang dipertanggungjawabkan. Kini kedudukan terikat 3-3. Namun begitu kedua-dua pengambil penalti yang ke-4 untuk pasukan ini gagal menerjah gawang. Keadaan kekal 3-3. Kini sampai ke sepakan yang terakhir.


Pertahanan kental Daudsu 'The Card Collector' Jamaluddin meletakkan bola di titik penalti. Para pemain yang lain masih menunggu dengan penuh debaran di tengah padang. Penjaga gol ATM sudah bersedia. Jika dia berjaya menepis sepakan ini dan kemudian ATM berjaya menjaringkan gol terakhir, maka dia akan dianggap wira. Penyokong ATM ketika itu bersorak untuk memberi sokongan. Tidak kurang juga ada yang meragui keupayaan Farizal Harun. Namun dengan berkat menyertai program PLKN ketika remaja, Farizal segera menerapkan semangat Leftenan Adnan ke dalam jiwanya. Daudsu berlari-lari anak dan dengan kencang merembat ke sebelah kiri gol. Farizal Harun bagaikan seorang Spiderman Pencen melayang badan ke arah yang betul namun malangnya tidak berjaya menepis bola tersebut. Tetapi nasib masih lagi berpihak kepada Farizal apabila bola itu hanya terkena tiang dan melantun keluar.


Satu tumbukan padu ke udara bagi meraikannya. Pemain Kelantan tergamam. Penyokong dan pemain ATM melompat kegembiraan. Kini kedudukan masih lagi 3-3 dan ATM mempunyai kelebihan. Jika penalti terakhir ini berjaya dijaringkan, maka ATM akan menjadi Juara Piala Sumbangsih buat pertama kalinya dalam sejarah.


Tugas penalti terkahir diserahkan kepada Bruno Martelotto. Setelah mengucup bola dan meletakkannya di atas titik penalti, cuma satu sahaja benda yang ada dalam fikiran beliau. Sepak sekuat hati ke arah kiri gol! Syazwan Yusof cuba memberi sedikit tekanan dengan melakukan aksi melompat-lompat di atas garisan gol dan menendang tiang. Mulutnya terkumat kamit menbaca doa. Bruno Martelotto membuat satu sepakan padu ke kiri gol. Syazwan juga melayangkan badan ke arah yang sama. Dengan segala kudrat yang ada beliau cuba untuk menahan bola itu dengan tangan tetapi malangnya sepakan itu terlalu deras dan jitu. Bola terpampan  dek tangan Syazwan tetapi masih laju menerjah gawang.


Para penyokong yang tadi belum habis meraikan kejayaan Farizal Harun, kini terus menyambung sorak kemenangan ATM. Pemain Kelantan tertunduk kecewa. Semua pemain serta pegawai ATM meluru ke arah Martelotto bagi meraikan sepakan penalti beliau. Dua hero pada malam ini disanjung, Irwan Fadli dengan gol penyamaannya dan Martelotto dengan penalti kemenangan.


ATM kini sah bergelar juara Piala Sumbangsih yang baru. Penyokong ATM kelihatan benar-benar bersatu padu. Ya, sebelum Perdana Menteri Najib Razak memperkenalkan kempen 1Malaysia pada 16 September 2010, penyokong ATM terlebih dahulu menjadi 'satu'. Selain penyokong pelbagai bangsa yang berlepas ke Shah Alam, ratusan ribu tentera dari seluruh negara menjadi teman setia RTM pada malam ini. Dan malam ini akan menjadi satu malam yang panjang buat warga tentera untuk meraikan kegembiraan sulong mereka.


Akhirnya ATM berjaya  melenyapkan angkuh pasukan Kelantan. Sekian.....


5 comments:

Silakan Laser Saye...