Tuesday, July 2, 2013

Di Mana Mereka? Andrés Escobar



Minggu lepas aku bercerita tentang Roberto Baggio yang terkenal dengan sepakan penalti ke langitnya ketika Piala Dunia 1994. Tetapi bagi kanak-kanak yang membesar dengan cerita alih suara Gaban dan Suria Perkasa Hitam pasti tidak akan dapat melupakan satu susuk pemain bola yang bernama Andrés Escobar.

Andrés Escobar Saldarriaga ialah seorang bekas pemain bolasepak kebangsaan Colombia.
 
Beliau merupakan seorang pemain pertahanan yang hebat. Mula mewakili Colombia pada tahun 1988 dan pada tahun 1994, Escobar bermain untuk pasukan Colombia yang telah melayakkan diri ke pertandingan akhir piala dunia di Amerika Syarikat dengan rekod kelayakan cemerlang, menundukkan Argentina 5-0 di Buenos Aires, seterusnya menjadikan Colombia antara pasukan pilihan untuk menang di USA 1994.
 
Andrés Escobar hanya pernah sekali menjaringkan gol untuk Colombia iaitu didalam perlawanan persahabatan dengan England di Wembley. Malangnya, Escobar tidak dikenangi kerana jaringan beliau di Wembley itu tetapi jaringan gol sendirinya menentang USA di piala dunia 1994. USA menang 2-1 dan mengakibatkan Colombia gagal ke pusingan kedua.
 
Anak saudara Escobar bernama Felipe yang menyaksikan gol sendiri pakciknya itu secara langsung dikaca televisyen terus berkata kepada ibunya, "mereka akan membunuh Andres."
 
Benar kata Felipe. Sepuluh hari kemudian, seorang lelaki bernama Humberto Castro Muñoz (gambar dibawah) telah menembak Escobar sebanyak 12 kali di bandar Medellin, Colombia dan untuk setiap tembakan, Muñoz berteriak, "Gol!". Pembunuhan Escobar ada kaitan dengan kekalahan judi jumlah besar puak-puak gangster di Colombia.


 
Escobar pernah berkata bahawa beliau sukakan sukan bolasepak kerana tidak seperti sukan lawan lembu (bullfighting), pemain tidak akan mati. Alangkah ironinya. Sejak itu juga kalau aku terjaringkan gol sendiri ketika bermain bola petang-petang, mesti aku mengigau di waktu malam.
 
Itulah dia cerita sedih Andrés Escobar. Di Malaysia ini kalau pasukan negara kalah 5-0, kena kutuk sahaja. Itu pun ada yang melenting.
 
Andrés Escobar - in his case, football is a matter of life and death.

 
(Sumber: wiki, footballblog.co.uk)

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...