Tuesday, July 8, 2014

Prebiu Separuh Akhir Piala Dunia 2014: Netherlands vs Argentina


Prebiu Separuh Akhir Piala Dunia 2014: Netherlands vs Argentina

Thursday, July 10, 2014 | 4:00 AM

Berjayakah Messi membawa Argentina ke persada akhir Piala Dunia buat pertama kalinya sejak tahun 1990? Ataupun mampukah Belanda meletakkan diri mereka 'back-to-back' dalam perlawanan akhir pada Isnin hadapan? Semuanya akan terjawab selepas tamatnya pertarungan dua gergasi bola sepak dunia ini pada peringkat separuh akhir yang akan berlangsung di Arena Corinthians, São Paulo.

Argentina akan turun tanpa kelibat pemain tengah penting mereka iaitu Angel Di Maria yang disahkan cedera. Dan kini timbul pula spekulasi yang aksinya bersama Argentina pada kempen Piala Dunia kali ini akan tamat lebih awal daripada yang dijangkakan.

Ini bermakna Alejandro Sabella akan bergantung sepenuhnya kepada Messi bagi mencorak serta menjaringkan gol untuk pasukan Albiceleste ini. Cuma mereka mungkin bernasib baik dengan adanya Gonzalo Higuaín yang seolah-olah bertemu kembali dengan sentuhannya sepertimana aksinya sepanjang musim lepas bersama Napoli. Selain itu, kem Argentina juga menerima berita baik tentang Sergio Aguero yang sudah mula turun berlatih dan berkemungkinan akan sembuh sepenuhnya serta dapat diturunkan untuk menentang Belanda.

Pasukan Belanda pula tidak ada apa-apa kerisauan di bahagian serangan mereka. Duo mereka Robin van Persie dan Arjen Robben setakat ini amat sukar untuk dihentikan. Kehebatan Robben juga terserlah ketika pertemuan dengan Costa Rica yang mana beliau berjaya melakukan 85 peratus hantaran dan 5 cubaan ke arah gawang. Sekali lagi Arjen Robben akan digunakan sebaik mungkin oleh Van Gaal dalam usaha mereka menewaskan barisan pertahanan Argentina yang terdiri daripada Zabaleta, Garay dan Demichelis. 

Walaupun Argentina dan Belanda memiliki barisan serangan yang boleh kita katakan setara mantapnya, pertembungan kedua pasukan ini mungkin akan ditentukan berdasarkan kemampuan mereka menguasai posesi bola. Ketika Belanda mendominasi permainan menentang Costa Rica, Oranje telah menguasai 67 peratus posesi bola. Sementara itu bagi Argentina pula yang berhempas pulas menewaskan Belgium, mereka hanya mampu menguasi bola sebanyak 46 peratus sepanjang permainan.

Jika Belanda sekali lagi berjaya menguasai bola secara total, mereka mungkin berjaya mendiamkan Messi sepanjang 90 minit permainan. Dengan ketiadaan Di Maria yang sentiasa bergerak dibelakangnya mengatur serangan, mungkin agak sukar buat Argentina apabila berdepan dengan pasukan Belanda. Yang mana kita juga tahu ini adalah perlawanan pertama buat Argentina melibatkan pasukan yang berprofil tinggi dalam Piala Dunia 2014 ini.

Pemain Tumpuan Belanda : Arjen Robben
Pemain Tumpuan Argentina: Lionel Messi
Ramalan : Belanda 2- 1 Argentina

1 comment:

  1. Ok mak enon frust! Ramalan x menjadi. Holland kalah mudah penalti. I hate messi. Huhuhu..

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...