There was an error in this gadget

Wednesday, July 20, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Rahsia Thumbdrive.



Aku baru sahaja selesai makan nasik goreng kampung semasa mendapat berita terbaru tentang skandal ataupun perihal rasuah dalam organisasi FAM yang berada dalam seketul thumbdrive. Siapa lagi kalau bukan TMJ yang tampil bagaikan pelangi yang hadir selepas hujan. Walaupun sekejap, ia mengukir senyum dan memberi harapan kepada matahari yang akan menyinar semula. Jika bukan 5 tahun mendatang, mungkin 50 tahun akan datang. Insya Allah, kita berusaha ALLAH yang menentukan. Teruskan TMJ. Nampak tak aku puji anak raja engkau orang?

Perkara ini sangat serius. Selama ini kita hanya mampu bercakap-cakap di kedai mamak sahaja tentang kewujudan rasuah dan ketirisan. Namun kini buktinya sudah ada dalam seketul thumbdrive. Laporan kepada pihak berkuasa perlu dilakukan sekarang. Jagan berlengah. Heret mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Jika tidak bersalah, lawanlah secara tertib dan beradab. Bukannya susah sangat pun. Takkan pula nak tutup kes begitu sahaja sedangkan ada pihak yang berguruh mengatakan  sudah bukti yang kukuh.

Seperti yang kita tahu rasuah merupakan musuh nombor satu negara bukannya Syiah mahupun Freemason. Rasuah juga mampu membunuh reputasi sesebuah institusi dan individu. Mungkin ada antara kita yang masih ingat dengan skandal bekas Presiden FIFA Joao Havelange. Tak ingat? Mari aku cerita sikit.

Pada tahun 1999, De Telegraaf melaporkan bahawa Havelange menerima hadiah berbentuk berlian, basikal, peralatan sukan, Delft porselin bewarna biru, lukisan dan sebuah buku seni  berkaitan dengan bidaan Amsterdam yang gagal untuk Summer Olympic Games pada tahun 1992. Manakala pada tahun lepas, satu skandal besar-besaran melibatkan FIFA telah dibongkarkan.

Jika FIFA yang menjadi bapak segala bola sepak itu pun mengambil rasuah. Kita semua boleh menyangka yang FA di bawahya juga berperangai tidak jauh dari itu. Bapak borek, anak rintik bak kata pepatah lama.

Bagi aku pula kisah thumdrive sentiasa ada romantisnya kepada diri aku sendiri. Dulu. Tak berapa lama dahulu ada seorang sahabat aku tanya soalan berkenaan pengkomputeran.

"Kenapa ek aku dah scan pendrive aku guna macam-macam antivirus. Tapi bila cucuk dekat PC, dia still ada virus. Masa scan tu dah bersih dah takde apa-apa pun."

Dengan ilmu yang ada, aku cuba menjawab persoalan sahabat aku itu dengan jujur supaya kelak dia berpuas hati dengan jawapan aku.

"Kau scan pendrive ajek. Tapi tak scan penutup dia. Kau mana tahu virus tu semua berkumpul dekat penutup pendrive tu. Tulah..Mahathir kenalkan wawasan 2020, kau tak mahu ikut."

Serta merta sahabat aku itu menaikkan ibu jarinya tanpa berpuas hati. Aku pula membalasnya dengan sebuah senyuman yang paling sendu sambil menaikkan kedua-kedua kening.

Ramalan: Harapnya dalam thumbdrive tu takde gambor bogel siapa-siapalah. Risau jugek.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...