Sunday, July 3, 2016

Separuh Akhir Piala Eropah 2016: Portugal Melawan Wales.


SEPARUH AKHIR PIALA EROPAH 2016.

Portugal Melawan Wales | Thursday | 7 July 2016.


"Mu kena sepak molek molek deh. Ini jelah peluang kita Ma. Lepas ni tak taulah kita ada umur lagi ke tak."

Quaresma hanya mengangguk tegas. Apa yang Ronaldo cakap itu ada benarnya. Ini adalah peluang terbaik buat dia, Nani, Ronaldo serta sebahagian pemain lain yang sudah menghampiri usia senja.

Dengan penuh debar Quaresma melangkah ke dalam kotak penalti. Meletakkan bola pada titiknya. 8 langkah secara berundur diambil. Satu nafas ditarik dengan mendalam. Larian kecil tapi cukup padu dilakukan Quaresma seraya satu sepakan sederas peluru dilepaskan. Fabianski hanya mampu merebahkan badan dengan penuh pasrah sambil melihat jaring golnya bergegar bagai Titanic karam. Quaresma mendepakan tangan penuh bangga. Seluruh pasukan berlari meluru memeluk Quaresma di hujung penjuru padang. Pemain terakhir yang menghampiri Quaresma ialah Ronaldo. Kedua mereka bersorak ke arah penonton.

"Inilah masa kita Ma. Inilah dia masanya."

Quaresma dan Ronaldo meneruskan keraian pada malam itu dengan penuh gempita. Rui Costa dan Luis Figo tersenyum nipis di hapadan tivi masing-masing di rumah mereka.

Sehari kemudian berlangsung perlawanan penuh epik antara Wales dan Belgium. Hazard dan seluruh pasukannya membungkam duka kesan daripada kebodohan Wilmots dan Fellaini.

Wales walaupun pada awalnya tidak diberikan sebarang harapan namun akhirnya berjaya mengejutkan Belgium - pasukan paling mahal bagi Piala Eropah 2016 ini. Sedikit sebanyak kejayaan Wales ini memberi ketenangan kepada roh Gary Speed di alam barzakh.

Pertembungan antara Wales dan Portugal nanti adalah yang pertama buat mereka dalam perlawanan kompetetif. Dalam tiga aksi yang lain sebelum ini, dua perlawanan menyebelahi Portugal. Manakala satu lagi kemenangan berjaya direkodkan oleh Wales.

Sedikit perkara menarik buat pasukan Portugal ialah mereka masih belum lagi memenangi sebarang perlawanan dalam tempoh 90 minit. Namun tuah seakan-akan sentiasa berada di pihak negara yang pernah menjajah Melaka ini sehinggakan mereka berjaya merekodkan penampilan yang ke-5 di peringkat separuh akhir.

Menentang Wales nanti, Portugal akan sekali lagi mengharapkan gandingan tua antara Ronaldo dan Nani untuk memecah kubu Wales yang dikawal rapi oleh Hennessey dan Ashley Williams. Berjayakah barisan tua dan muda Portugal seperti Renato Sanches berjaya menembusi tembok kebal The Dragon ini?

Sementara itu, Wales yang nampak tersusun di bawah seliaan Chris Coleman yang bergaji lebih rendah daripada Gareth Bale sebenarnya akan lebih merasai ketiadaan Aaron Ramsey kerana pergantungan kad kuningnya. Namun begitu Coleman semestinya ada perancangan tersendiri dari segi taktikal untuk berhadapan dengan Portugal yang bolehlah kita katakan hambar sepanjang kempen kali ini. Sesiapa yang masih ingat gandingan Coleman, Fulham dan Fayed mungkin akan mengakui pasukan Wales kali ini boleh melakukan kejutan dengan layak ke perlawanan akhir sekaligus mengubati kedukaan Coleman semasa eranya sebagai pemain. Apa yang pasti Wales sudahpun mengatasi rekod tempat ke-6 mereka pada Piala Dunia 1958.

Ramalan: Wales adalah pasukan berstatus debut pertama yang mampu layak ke separuh akhir sejak Sweden melakukan perkara yang sama pada kejohanan tahun 1992. Jika sentimen Ronaldo melawan Bale diambil kira, secara automatik aku akan memilih Wales untuk mara ke perlawanan akhir. Wales menang dengan skor 2-1.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...