Monday, July 25, 2016

Di Mana Mereka? Hernan Crespo.

Aku mengambil tempat duduk di bangku panjang yang diperbuat daripada kayu jati, betul-betul menghadap taman permainan. Sekumpulan kanak-kanak sedang bergembira bermain bola sepak. Aku terseyum nipis. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh budak-budak. Berpeluh berhujan di atas padang bola. Bukannya berteleku atas katil melayan Pokemon-Go.

Pistol manik, liquid paper dan sebatang coki-coki aku keluarkan satu persatu daripada poket baju kot yang aku pakai lantas semua barang tersebut aku susun aturkan di sebelah kanan aku. Sekeping majalah sukan aku ambil daripada poket sebelah kiri baju kot aku. Secara cermat aku memulakan pembacaan dengan ditemani hiruk pikuk jeritan kanak-kanak yang sedang berseloka gembira. Kini aku berasa lebih tenang.

Secara tiba tiba aku dapat rasakan ada sesuatu sedang menghampiri aku. Ia betul-betul sedang cuba mendekati muka aku. Aku campak ke tepi majalah sukan. Serentak itu juga bola yang sampai dari arah depan aku sambut menggunakan dahi. 1,2,3,4,5..aku mula menimang bola tersebut dengan kepala, kaki, lutut dan rusuk kiri.

"Acik, boleh pulangkan bola kami."

Seorang kanak-kanak berbadan gempal rambut kerinting dan hitam kulitnya sedang berdiri di hadapan aku seakan merayu meminta dipulangkan bolanya. Tak sampai hati aku menengok muka sayu budak berpakaian jersi Liverpool itu, lalu aku berhenti menimang bola tersebut.

"Nah bola kamu. Awak minat bola?"

"Ya. Minat sangat. Idola saya Safee Sali."

Aku menjadi geram. Kedua penumbuk aku kepalkan sepadu mungkin.

"Kah..kah..kah..taklah acik. Takkan saya bodo sangat minat Safee Sali. Setahun pun cuma dapat main first eleven 3 kali. Gila mende main bola macam gitu. Kalau acik nak tahu saya meminati Hernan Crespo. Salah seorang lagenda Argentina."

Aku mengangguk kepala perlahan. Bagus selera budak ni. Cerah masa depan. Budak tersebut pun berlalu ke arah rakannya semula. Aku kembali duduk di atas bangku sambil termenung jauh memikiran di manakah Hernan Crespo berada sekarang.

Crespo yang aku tahu sepanjang 19 tahun kariernya telah menjaringkan sejumlah 300 gol. Karier antarabangsanya bersama Argentina pula berakhir dengan 35 gol sekaligus menjadikan dirinya sebagai pemain ketiga penjaring terbanyak Argentina di belakang Messi dan Batistuta.

Beliau turut bermain dalam tiga Piala Dunia iaitu pada tahun 1998, 2002 dan 2006. Kerjayanya besama kelab pula bolehlah dikatakan sebagai sukses. Crespo bermain untuk River Plate, Lazio, Parma, Chelsea, AC Milan dan Inter Milan. Kejayaan berjaya diperolehinya apabila bersama setiap pasukan yang diwakili tersebut. Begitu juga secara individu apabila pelbagai anugerah seperti penjaring terbanyak serta seringkali berada dalam kesebelasam impian bagi kejohanan yang beliau turut serta.

Pada 5 Julai yang lepas Hernan Crespo sudahpun melangkau usia 41 tahun. Hari ini Crespo, Giggs, Scholes dan Ronaldinho sedang membanting tulang di arena Futsal. Kini Crespo turun bermain sebagai 'marquee player' dan juga jurulatih untuk pasukan Kolkata yang beraksi dalam Liga Perdana Putsal di India. Inilah serba sedikit karier penuh warna-warni seorang lagenda bola sepak Argentina yang juga pernah digelar sebagai Valdanito.

Aku kembali melontarkan pandangan penuh salju ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang bergembira bermain bola sepak di taman permainan tadi. Sebilah pisau Rambo aku keluarkan dari sisi kasut but sebelah kanan. Perlahan-lahan aku toreh sebaris ayat di atas kerusi panjang jati tempat aku labuhkan pinggul yang mantap ini.

'Batisuta Was Here'. - Senyum. Manis.


Posted via Blogaway

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...