Monday, April 15, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 13


Liga Super Perlawanan 13  - Apr 19, 2013 (Jumaat)


Bola Sepak Sejati
Negeri Sembilan mln Selangor
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi


Pada minggu lepas di Shah Alam, Selangor mengekalkan reputasi mereka sebagai pasukan bola sepak cemerlang, gemilang dan terbilang hasil bantuan bekas pemain Harimau Muda, K.Gurusamy dan jaringan penuh inspirasi pemain dari Liberia, Forkey Doe. Ketika ini gaya permainan Selangor mirip seperti pasukan Real Madrid. Hantaran yang tepat, pergerakan yang licik serta skil dan kemahiran yang sungguh luar biasa. Nogori Sembilan sudah pasti akan mengalami banyak kesulitan di Paroi kelak.

Walaupun begitu, selepas skuad hobin jang hobin menjaringkan 1 gol untuk mengikat Lions XII tempoh hari dan mengejutkan ramai pakar bolasepak, sekali lagi Divaldo Alves telah menunjukkan kemahiran taktikal bola sepak yang dimilikinya. Kali ini, Divaldo Alves menunjukkan bagaimana Nogori boleh menjaringkan gol menggunakan pemain import baru walaupun pasukan sedang berada di tangga tercorot. Ternyata Leandro Barbosa lebih bagus daripada De Porras.

Kemungkinan besar satu Malaysia bakal terpukau menonton aksi kedua pasukan ini. Budak-budak sekolah yang lepak di kedai mamak Rombau tengok Astro percuma bakal menangis teresak-esak melihat jaringan bekas pemain kesayanagn The Jangs, S. Kunalan. Tidak cukup dengan itu, Irfan Bakti bakal mendedahkan lagi skil maha agung milik Selangor melalui ilmu pukau. Seluruh pemain Nogori hanya akan terpaku melihat Amri Yahyah menggelecek bola secara solo lalu terus menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan.

Kemenangan Selangor ke atas Negeri Sembilan nanti adalah bukti kehebatan sebuah pasukan bolasepak yang pernah memenangi 32 kejohanan Piala Malaysia.

Pemain Tumpuan Negeri Sembilan: Leandro Barbosa Fabio
Pemain Tumpuan Selangor: S. Kunalan
Ramalan: Negeri Sembilan 1 - Selangor 2

Keputusan: Seri 0 -0.

Gajah Makan Ghimau Lagi?
Johor Darul Takzim FC mln Pahang
8.45mlm, Std Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, JB.


Sementara itu di Larkin nanti, pasukan anak muda dari Pahang bakal mencatatkan kemenangan kedua mereka ke atas JDT untuk musim ini dengan cara yang lebih konservatif. Tanpa perlu menggunakan penampar Jalaluddin Jaafar atau ilmu pukau, Hafiz Kamal, Faizol Hussin dan R. Gopinathan akan menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tekun dan gigih.

Tapi ianya tidak akan semudah yang disangka, sekali lagi seperti perlawanan pusingan pertama menentang JDT tempoh hari, Pahang bakal dipaksa bekerja keras unutk menewaskan JDT. Tetapi resam orang yang lebih makan garam, pengalaman pemain-pemain Pahang seperti Amirulhadi, Azidan Sarudin dan Razman Roslan yang secara kebetulannya merupakan bekas pemain pasukan teragung Selangor, menjadi titik tolak yang membezakan mereka dengan pasukan yang lain.

Walau bagaimanapun gelaran ‘The Comeback Kings’ sudah mula diberikan kepada pasukan Pahang berikutan peningkatan prestasi pemain-pemain Dollah Salleh yang kembali menemui sentuhan emas seperti permulaan liga dahulu.

“Ia boleh berlaku dalam bolasepak dan ianya penting untuk bereaksi dengan baik, untuk tidak menjadi goyah. Kamu perlu mengawal rentak permainan dan kami telah melakukannya dalam 3 perlawanan terakhir. Biar pun kami selalu ketinggalan, kami tetap mengawal permainan”, kata Dollah Salleh dengan nada penuh yakin.

Pemain Tumpuan Johor Darul Takzim FC: Leonel Nunez
Pemain Tumpuan Pahang : Mohd Hafiz Kamal
Ramalan: Johor Darul Takzim FC 2 - Pahang. 0

Keputusan: JDT 1 - Pahang 0.

Tugas Mudah Nazmi Faiz
Selangor PKNS FC mln Kelantan
8.45mlm, Std Shah Alam.


Juara bertahan Liga Super, Kelantan atau juga dikenali sebagai The Red Warriors atau dikenali sebagai 'kelab-janji-kalah-semua-happy' memulakan perlawanan ini dengan rekod di Kota Bahru telah pun dihancurkan oleh Sang ATM. Secara keseluruhan Kelantan perlu memperbaiki banyak aspek permainan untuk menewaskan PKNS dalam perlawanan ini sekaligus menghidupkan kembali peluang mempertahankan kejuaraan Liga Super milik mereka musim lepas.

Sebaliknya pula PKNS tidak perlu panik kerana bakal turun sebagai pasukan bukan pilihan meskipun beraksi sebagai tuan rumah. Mereka hanya perlu panik jika gandingan Nazmi-Ronaldinho gagal menjaringkan gol.

Namun adakah kembalinya Obinna dalam kesebelasan utama Kelantan cukup untuk mereka mengelak daripada PKNS menjaringkan gol? Ataupun adakah sekali lagi Faiz Subri akan membuktikan beliau adalah pemain paling 'on-form' ketika ini mengatasi Fakri Saarani? Huh!!!

Pemain Tumpuan Selangor PKNS: Nazmi Faiz
Pemain Tumpuan Kelantan: Faiz Subri
Ramalan: Selangor PKNS 2 - Kelantan 3.
Keputusan: PKNS 2 - Kelantan 1.

Liga Super Perlawanan 13 -  Apr 20, 2013 (Sabtu).


Di Mana Sepak Terajang Itu?
KL Felda United FC mln Terengganu
4.45ptg, Std Petaling Jaya, Kelana Jaya


Felda United sudah pasti akan turun tanpa kelibat Fauzi Saari, yang digantung oleh FAM kerana terlebih ramah dan rajin 'bersembang' dengan Forkey Doe dalam perlawanan menentang Selangor minggu lepas. Selain itu sekiranya betul ada adengan 'peluk-cium' antara pemain Felda United dan Forkey Doe ketika di terowong masuk bilik persalinan, pemain seperti Helmi Eliza Elias, Kaironnisam Sahabudin, Shafizan Hashim dan Razali Umar Kandasamy akan meninggalkan banyak tempat duduk kosong di bangku simpanan untuk pemain Felda United yang lain.

Bagi pasukan Terengganu pula, situasi Owana pula masih 50-50. Ini kerana persembahannya masih tidak meningkat dan gagal memberikan impak yang diharapkan oleh pengurusan pasukan.

Apa pun, adalah silap besar untuk memandang rendah keupayaan Terengganu. Elavarasan adalah pengurus yang bijak mencatur corak permainan. Dan dengan adanya bekas juara gusti sekolah, Effa Owana, Terengganu dijangka bakal berusaha sedaya upaya untuk menggempur kubu Felda United. Itu belum campur dengan  pemain-pemain senior Manaf Mamat dan Ismail Faruqi antaranya.

Pendek kata, Felda United bakal menempuhi halangan yang sukar kali ini. Dengan kebanyakan pemain Felda United kepenatan akibat diganyang Selangor, adakah ini bermakna rekod kekalahan Felda di bawah Elavarasan bakal berterusan?

Pemain Tumpuan KL Felda United FC: Azmi Muslim
Pemain TumpuanTerengganu : Ismail Faruqi
Ramalan: KL Felda United FC 1 - Terengganu 0.

Keputusan: Felda 1 - T'ganu 2.

T-Team Hanyut
Terengganu PBDKT T-Team mln Perak
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT


Selepas tumpas 2-1 di tangan Pahang, Peter Butler berkata, “Saya akan berjuang untuk memastikan T-Team tidak tersingkir, hingga ke titisan darah terakhir. Kami masih belum terkeluar dari saingan Liga Super. Saya tidak takut pada kritikan. Saya tidak takut pada sesiapa. Saya akan terus berjuang tanpa mempedulikan sebarang kritikan.”

Walau bagaimanapun, kawe dapat merasakan perlawanan yang bakal berlangsung sekitar jam 4.45 petang di Kuala Terengganu ini, kedua pasukan mempunyai peluang 50-50 untuk menang. Kesemua pemain T-Team jelas bermotivasi tinggi untuk menang. Stadium uzur Sultan Ismail Nasiruddin Shah  juga gelanggang yang boleh menggugat fokus pihak lawan. Kajian baru-baru ini di Pantai Timur mendedahkan para peminat T-Team adalah yang paling lantang dalam Liga Super, dengan purata bunyi mencecah sekitar 101.8 desibel.

Barisan serangan Perak pula ketika ini beraksi agak baik. Statistik menunjukkan Perak sudah menjaringkan 11 gol untuk semua perlawanan dan dijaringkan oleh 6 pemain berlainan. Mohd Rafiuddin Roddin walau nampak ringan, tapi amat bahaya di udara. Hadi Yahya juga sangat pantas untuk menerima hantaran dari Yong Kuong Yong, yang sangat laju itu. Kehadiran pemain baru Paulo Rangel pula akan mengguatkan lagi bahagian Serangan Perak.

Perlawanan ini juga sedikit sebanyak boleh dikira sebagai ujian kepada pasukan T-Team ini. Adakah mereka benar-benar layak untuk berada dikelompok elit atau hanya Sekadar Dipinggiran (Francessa Peters) kerana jika mereka kalah perlawanan ini dan juga kepada Kelantan selepas itu, maka mereka akan terkeluar dari liga super seterusnya cuti pilihanraya mereka bakal dikaji semula.

Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team: Nuralif Zainal Abidin
Pemain Tumpuan Perak: Paulo Rangel
Ramalan: Terengganu PBDKT T-Team 0 - Perak 3

Keputusan: T-Team 2 - Perak 0.

Hancur Temasik!!
Lions XII FC mln ATM
7.45mlm, Std Jalan Besar, Singapura


Dalam perlawanan ini, kawe ramalkan, ATM akan bermula dengan tanpa Shukor Adan sekali lagi kerana penggantungan perlawanan. Selain daripada itu, ATM mungkin akan mengekalkan barisan pemain yang cemerlang menewaskan Kelantan minggu lepas. Ketika menewaskan Kelantan di Kota Bahru, ramai yang terkejut melihat taktikal dahsyat dari jurulatih terbilang negara, B. Sathianathan. Betullah kata penganalisis sukan yang Sathia ni jenis, 'anything but unpredictable' .

Jadi dengan taktik Sathia itu, kawe ramalkan, gol awal pada minit kelapan oleh Hairuddin Omar. Tapi kalau tak ada gol pada minit kelapan, kawe syak, gol akan datang pada minit 43. Oleh Marlon ALex James.

Lions XII pula, akan sedaya upaya mengimbangi corak serangan ATM. Ditambah pula dengan sorakkan penyokong mereka yang macam nak gila, mereka mungkin akan hilang kosentrasi di tempat sendiri. Padang plastik kegemaran mereka akan bertukar menjadi padang jarak padang tekukur apabila barisan pemain ATM sudah mula mengganas. Selamat tinggal buat  pasukan Temasik!!

Pemain Tumpuan Lions XII FC: Hairuddin Omar
Pemain TumpuanATM: Fairuz Nawaz Shahrul Hameed
Ramalan: Lions XII FC 0 - ATM 1

Keputusan: Lions 3 - ATM 1.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...