Wednesday, March 6, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 10


Liga Super 10 | Mac 08, 2013 (Jumaat)

Seladang Menanti Serangan Askar.
Perak mln ATM
8.45mlm, Std TLDM, Lumut



Kejayaan Perak mengikat Kelantan dengan skor 1-1 berjaya mengelakkan Azraai Khor daripada mencari pekerjaan yang baru. Keyakinan pemain Perak kian memuncak menjelang pertemuan dengan Naib Juara Piala Malaysia 2012, ATM. Farizal Marlias yang berada pada kelasnya yang tersendiri sentiasa bersedia menghadapi cubaan gol dari Marlon Alex dan Hairuddin Omar. Sementara itu bahagian tengah pasukan Perak kembali kreatif dengan kehadiran semula kapitan mereka iaitu Shahrulnizam Mustafa. 


Bahagian serangan dan pertahanan Perak juga semakin menunjukkan peningkatan mendadak. Bertemu ATM nanti, 'back four' yang terdiri daripada Rafael Silva Novais yang berjaya mengemudikan benteng Seladang dengan kental bersama Mohd Sharom Kalam, Mohd Khairi Kiman dan V Thirumurugan akan bersiap siaga mematahkan setiap serangan dari Jayaseelan, Martelotto dan Shukor Adan. Manakala Hadi Yahya sudah pasti akan membuatkan Farizal Harun tidak senang duduk di malam Jumaat.


Berjayakah ATM mencari rentak kemenangan semula selepas 2 perlawanan tanpa kejayaan? Jelas tugas sukar menanti anak buah Sathianathan kerana apabila Perak beraksi sebagai tuan rumah, 70% kemenangan akan berpihak kepada skuad 'The Yob'.


Pemain Tumpuan Perak: Shahrulnizam Mustafa. 
Pemain Tumpuan ATM: Farizal Harun
Ramalan: Perak 1 - ATM 2.

PKNS bersedia beraksi!!!

Hajat Sang Semut Meratah Tok Gajah.
Pahang mln Selangor PKNS FC
8.45mlm, Std Darul Makmur, Kuantan


"Saya mesti menjaringkan gol untuk Pahang. Ini kerana Pahang hanya akan menang sekiranya saya berjaya membolosi gawang pasukan lawan," itulah janji penuh yakin dari penyerang berbisa Pahang iaitu Fauzi Roslan a.k.a Koji. Mungkin keyakinan ini timbul kerana rakan-rakannya bermain bola sepak menggunakan otak dan bukannya hanya tahu menyepak bola mengikut arah telur. PKNS akan berdepan dengan barisan anak muda Pahang yang sememangya hebat dalam bola sepak. Rosfaizul Azuar Ali membuktikan kepada semua bahawa berbadan gempal bukanlah penghalang untuk menjadi pemain bola sepak yang cemerlang kerana pemuda dari Maran ini berjaya menggantikan tempat Nasril Nourdin dengan baik sekali.


PKNS yang masih terkejut kerana tewas kepada pasukan bawahan, Terengganu di tempat sendiri tempohari dijangka akan berjuang habis-habisan demi mengutip 3 mata penuh. Kali terakhir mereka mengaut 3 mata ialah pada 16 Februari 2013. Bolehlah dikatakan persembahan anak buah Haji Abdul Rahman ini sebagai tidak konsisten. Kadangkala mereka ibarat kehilangan idea dalam mencorakkan bentuk serangan yang hendak dilakukan. Perkara ini perlu diatasi segera kerana Pahang bukannya calang-calang pasukan. Adalah sesuatu yang kurang elok sekiranya hanya bergantung kepada seorang pemain sahaja untuk mencari gol.


Walaupun begitu, Patrick Ronaldinho sudah berjanji kepada pengurusan PKNS untuk merobek gawang Pahang dan akan menjadikan Jalaluddin Jaafar sebagai lubok utama.


Pemain Tumpuan Pahang : Rosfaizul Azuar Ali
Pemain Tumpuan PKNS: Patrick Ronaldinho
Ramalan:  Pahang 3 - PKNS 1.



The Ganu Derby
Terengganu mln Terengganu PBDKT T-Team
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT


Ia ibarat pertemuan Manchester-manchester. Namun sedikit berbeza kerana kekurangan elemen X dalam aksi 'The Ganu Derby' ini. Maklum sahaja keduanya berada pada kedudukan bawahan liga. Terengganu dipilih sebagai tuan rumah walaupun pada hakikatnya kedua pasukan ini berkongsi stadium. Elavarasen ketika ini mungkin boleh berlapang dada dengan aksi barisan serangannya. Effa Owona dengan 4 gol. Manakala Ashaari Samsuddin pula telah menyunbat 3 gol setakat ini. Bak kata pepatah Ganu "Apabila Saha menjaringkan gol, Ganu mesti menang!".


Peter Butler kini semakin kesuntukan masa untuk mencari kemenangan sekaligus mengelakkan dirinya daripada menjadi jurulatih pertama yang dipecat musim ini. Menurut Sky Sport, kebarangkalian untuk Butler dipecat buat masa ini ialah 4/1 dan ini bukannya perkara yang mengejutkan. Mungkin barisan pemain yang terlalu muda dan kekurangan pengalaman menjadi penghalang utama skuad The Titans musim ini. Pemain seperti Mohd Hasbullah Awang dan G. Mahathevan masih memerlukan banyak pendedahan sebalum benar-benar bersedia untuk mengharungi Liga Malaysia yang penuh cabaran ini.


Pemain Tumpuan Terengganu: Ismail Faruqi
Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team  : Mohd Nuraliff Zainal Abidin
Ramalan: Terengganu 2 - Terengganu PBDKT T-Team  2.



Liga Super 10 | Mac 09, 2013 (Sabtu)




Rasukan Sang Singa.
Lions XII mln Kelantan
7.45mlm, Std Jalan Besar, Singapura


Musim lepas kedua pasukan ini bertarung merebut gelaran takhta liga super. Musim ini amat berbeza. Kedua pasukan ini perlu menerima hakikat bahawa hidup ini umpama roda. Kadang di atas, kadang di bawah dan terkena tahik pula.


V Sundramoorthy sekali lagi akan mengharapkan gandingan kebal Baihaki dan Safuwan Baharuddin melindungi Izwan Mahbud dari dibocori kemantapan serangan Kelantan yang diketuai Keita Mandjou dan Nor Farhan. Malahan Safuwan juga boleh disuruh naik ke atas dan menjaringkan gol ketika mereka benar-benar memerlukannya. Di sini kehebatan Khairul Fahmi akan diuji terutamanya ketika Lions XII mendapat sepakan penjuru. Moga-moga Leuniey telah membekalkan kasih sayang secukupnya kepada Apexs sebelum perlawanan ini bermula.


Paling menarik untuk dilihat ialah pertembungan di bahagian tengah. Lions XII akan dikawal oleh Isa Halim dan Harris Harun. Manakala Kelantan akan mengembleng seluruh tenaga dari Piya dan Shakir untuk menyerap asakan lawan sambil sekali sekala merencana gerakan serangan untuk Indra Putra. Namun begitu, Lions XII mungkin boleh menewaskan The Red Warriors sekiranya mereka mengambil kesempatan daripada kelemahan pertahanan Kelantan yang kelihatan sedikit goyah buat masa ini. Nampaknya Obinna dan Nik Shahrul akan berjuang habis-habisan menyekat pergerakan bahaya dari Shahril Ishak dan Fazrul Nawaz.


Pemain Tumpuan Lions XII: Safuwan Baharuddin
Pemain Tumpuan Kelantan  : Izzuan Solahuddin
Ramalan: Lions XII 0 - Kelantan  1.



Mencari Pasukan Agung.
Selangor mln Johor Darul Takzim FC
8.45mlm, Std Shah Alam


Selepas Selangor menang 2-0 ke atas Kelantan, pasukan agung ini telah ketandusan jaringan gol dalam 4 perlawanan berturut-turut (ATM 0-2 | PKNS 0-0 | East Bengal 0-1 | T-Team 0-0). Tetapi peminat Selangor semua tidak perlu menggelabah sepertimana perangai peminat Kelantan dan Pahang. Skuad asuhan Irfan Bakti ini menyimpan seribu rahsia taktikal untuk menjerat Johor Darul Takzim FC Sabtu ini. Ketajaman Amri Yahyah dan Forkey Doe di hadapan gol akan terserlah apabila kedua pasukan ini bertemu dalam pertarungan 'heavyweight' mencari pasukan teragung. Shah Alam akan menjadi saksi dan seluruh umat tidak sabar menantinya.


Bekas pelajar Sekolah Sukan Jalan Junid

Keterlampauan pasukan Johor Darul Takzim FC yang terlalu bergantung kepada dua lelaki berjambang (Guiza | Del Nero) boleh memakan diri mereka sendiri. Ini kerana barisan pertahanan Selangor yang dibarisi Peter Charappan, Asraruddin dan Mahali amat kebal dan berpengalaman beraksi menentang pemain-pemain yang hebat serta berprofil tinggi. Fandi Ahmad mungkin terpaksa menggunakan khidmat Wak Lan Talaha dan mungkin juga Safee Sali dalam usaha mereka mencari pilihan lain untuk menjaringkan gol. Namun diposisi penjaga gol Selangor, segak menanti untuk menepis segala cubaan Johor Darul Takzim FC ialah anak watan negeri Johor sendiri iaitu Nor Azlan Razali.


Taktikal yang terbaik dari kedua jurulatih akan menentukan pasukan mana yang akan berdiri megah memikul status sebagai Pasukan Teragung.


Pemain Tumpuan Selangor : Shukor Jusoh
Pemain Tumpuan Johor Darul Takzim FC: Del Nero
Ramalan: Selangor  2 - Johor Darul Takzim FC 1.






Waghih Penegak Kebenaran
Negeri Sembilan mln KL Felda United FC
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi


Dua pasukan tercorot dalam liga bertemu sesama sendiri dalam perlawanan yang digelar sebagai 'Battle of Relegation' . Negeri Sembilan masih bernasib malang apabila tidak berjaya mengukir satu pun kemenangan dalam sembilan perlawanan. Kejayaan mengutip 3 mata dalam pertemuan dengan Felda ini juga tidak akan mengubah kedudukan mereka. Kekal corot namun boleh menyamai mata pasukan Felda. Nasib yang hampir serupa juga menimpa Felda United apabila segala percaturan K.Devan tidak berjalan dengan lancar walaupun beliau sebenarnya memiliki sekumpulan pemain yang berbakat dan ada sebahagian daripada mereka mewakili pasukan Harimau Malaya.


Masa semakin suntuk buat kedua pasukan. Pusingan kedua akan bermula kurang dari sebulan. Jika masih gagal mengubah rentak dan mencari keputusan yang baik, tidak mustahil mereka akan tersingkir ke Liga Perdana musim depan. Pray for Nogori and Felda!!


Pemain Tumpuan Negeri Sembilan : Aliff Samsudin
Pemain Tumpuan KL Felda United FC  : Azmizi Azmi
Ramalan: Negeri Sembilan  0 - KL Felda United FC  1.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...