Sunday, March 24, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 11


Liga Super 11 Mac 29, 2013 (Jumaat)



Tekad Budak Felda
KL Felda United FC mln Selangor 
4.45ptg, Std Petaling Jaya, Kelana Jaya


Pasukan Felda tidak rela diperbodohkan lagi. Impian untuk meneruskan survival di dalam Liga Super musim 2013 kembali memutik selepas meraih kemenangan kedua liga dengan menewaskan pasukan tercorot sensasi ketika ini, Negeri Sembilan. K. Devan mungkin boleh tersenyum nipis kerana beroleh kembali khidmat 4 orang penyerangnya. Ini kerana Mat Ghaddar, Shahrizal Saad, Rudie Ramli dan 'El Nino' Razali Umar Kandasamy kini bebas dari kecederaan dan boleh diturunkan secara bergilir-gilir walaupun Felda bukanlah mengharungi banyak sangat kejohanan musim ini. Khaironnisam Sahabudin masih lagi antara nadi penting pasukan bersama-sama Helmi Eliza menjadi benteng terakhir buat pasukan Felda. Paling dirindui mestilah kelibat Fauzi Shaari dan tugas berat ini akan dipikul oleh Amar Rohidan dengan megah diri ketika menanti kunjungan Gergasi Merah di Petaling Jaya.


Kegembiraan Irfan Bakti dan pembantunya P. Maniam menewaskan JDT masih belum pudar. Mereka dikhabarkan masih lagi berdekah-dekah meraikan kejayaan manis ini. Berdepan Felda nanti Irfan Bakti dijangka akan mengekalkan gandingan padu 'Fantastic-4' di bahagian tengah iaitu S.Kunalan, S.Veenod, K.Gurusamy dan K.Soley. Larian serta gerakan tanpa bayang dari mereka akan mengkucar-kacirkan pertahanan Felda yang turut dibarisi Azmizi Azmi, Riduwan Maon serta Shafizan Hashim. Penjaga gol Selangor, Norazlan Razali sekali lagi akan menjadi pilihan benteng terakhir sambil beliau akan dilindungi rapi oleh Charappan, Mahali dan Asrarudin. Sementara itu ketajaman Forkey Doe serta kepantasan Wak Amri menghidu peluang gol akan menjadi harapan seluruh warga Gergasi Merah untuk meraih 3 mata dalam perlawanan yang dijangka berat sebelah ini.  


Pemain Tumpuan : 'El Nino' Razali Umar Kandasamy
Pemain Tumpuan : K. Gurusamy
Ramalan: Felda 0 - Selangor 2

Di Mana Kuasa Budu Sebenar?
ATM mln Kelantan
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi.


Empat pertemuan sebelum ini dilihat berpihak kepada Kelantan dengan ; 2 Menang, 1 Seri, 1 Kalah. Satu-satunya kejayaan terkini ATM ke atas Kelantan ialah ketika berjaya menjulang Piala Soltan Bola 2013 awal tahun ini. Oleh itu, ini boleh dikira sebagai misi membalas dendam oleh anak didik Bojan Hodak yang juga dalam masa sama mahu memperbaiki kedudukan liga. Namun begitu, beberapa pemain perlu mengubah cara permainan mereka sekiranya ingin menewaskan ATM. Sebagai contoh ialah  ialah Nik Shahrul Azim yang nampak seperti berjalan di shopping kompleks pada gol pertama Lions XII. Shakir Shaari yang tidak berjaya mengekang barisan tengah, barisan pertahanan yang memalukan dan lembab, Keita Mandjou yang kaku seperti tidak biasa main bola, entah apa diingatnya! Apabila melihat gandingannya ialah Haris Safwan, satu Singapura ketawa! Semua pemain, jika diberi rating, akan dapat 5/10. "Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Betindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo.....Gomo Kelate Gomo!!!"


ATM seperti biasa akan turun dengan barisan pemain terkuat mereka yang mana sekarang ini adalah kunci utama kepada kedudukan teratas mereka di persada liga. Semua pemain kelihatan ceria turun berlatih dalam persiapan mejadikan Kelantan sebagai santapan di malam hari. Kelantan yang dahulunya dikatakan pasukan bola sepak terkuat di Malaya dijangka tidak mampu menghalang pasukan bola sepak Angkatan Tentera Malaysia yang bermain mengikut disiplin batalion yang tinggi dan semangat proletariat dari menjaringkan gol. Marlon Alex James juga bercadang menghadiah gol serta kejayaan menewaskan Kelantan nanti kepada pasukan tentera yang berjuang menentang pengganas Sulu. “Gol tersebut nanti adalah untuk semua warga tentera yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta ini..” tegas Marlon Alex. Gol tersebut juga tegasnya adalah hasil semangat bersatu padu seluruh pasukan demi menaikkan nama tanah air dan Pemimpin Tertinggi Negara, Najib Razak.


Pemain Tumpuan ATM: Farizal Harun
Pemain Tumpuan Kelantan: Badri Radzi
Ramalan: ATM 3 - Kelantan 2

Liga Super 11 Mac 30, 2013 (Sabtu)


Tidak Sekufu
Lions XII FC mln Negeri Sembilan
7.45mlm, Std Jalan Besar, Singapura


Pasukan temasik dijangka tidak akan mengalami sebarang masalah untuk menundukkan skuad Jang yang semakin hari semakin tenat. Skuad Jang akan bermain menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar yang saiznya tidak dapat menandingi kapasiti 40,000 penonton yang dipunyai oleh Stadium Paroi kebanggaan warga buruh dan petani Negeri Sembilan dan dinamakan sempena nama Yang di-Pertuan Agong pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman. Sementara itu, jurulatih pasukan Lions XII, V. Sudramoorty menyifatkan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan kelak sebagai bukti bahawa Lions XII akan menjuarai Liga Super 2013. Sangat angkuh!!

Pemain Tumpuan : Safuwan Baharudin
Pemain Tumpuan : Fauzi Nan
Ramalan: Lions XII 3 - Negeri Sembilan 0.

Saat Manis Del Nero

Menghitung Nasib
Johor Darul Takzim FC mln Terengganu
8.45mlm, Std Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, JB


KUALITI. Itu yang skuad JDT tiada ketika ini. Mereka tidak menepati jangkaan atau 'hype' yang digemburkan oleh media serta umat Johor sendiri. Tiada apa atau siapa yang harus dipersalahkan kecuali Fandi Ahmad. Beliau patut dipertanggungjawabkan kerana beliau berkuasa penuh pada pemilihan pemain, lifestyle pemain, aweks, legoland, hello kitty, taktikal dan sebagainya. Apa punya Singaporean! Memalukan aje kerana pertahanan hancur! Strategi dari Manager termahal di Liga Super ini saling tak tumpah gaya permainan Malaysia B.


Johor perlu perubahan 100%. Mereka perlu seorang jurulatih yang boleh mengurus dengan disiplin tinggi, tidak kira betapa hebat sekali pun pemain itu. Fandi Ahmad perlu disingkirkan dan diganti dengan seorang jurulatih  yang punya passion dan kekejaman. Seorang pengurus yang tidak peduli dengan glamer. Mampu membuang mana-mana pemain yang tidak hormat padanya. Imaginative luarbiasa dan punya kualiti 'semburan' yang mampu menakutkan hatta Halim Napi sekalipun. Dengan kekalutan di kem JDT ketika ini, tidak mustahil Terengganu akan berjaya mencuri 3 mata di Larkin.


Pemain Tumpuan JDT: Dani Guiza
Pemain Tumpuan Terengganu: Abdul Manaf Mamat
Ramalan: JDT 1 - Terengganu 2



Misteri T-Team
Terengganu PBDKT T-Team mln Pahang
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT


Minggu lepas saya berkesempatan pulang ke kampung pak mertua di Bera, Pahang. Rata-rata demam bola di sana begitu terasa, sana sini cerita tentang pasukan Tok Gajah yang bakal berdepan pasukan T-Team. Saya juga sempat menemani keluarga ke Restoran McDonalds yang paling canggih di Pekan, Pahang yang juga kawasan Parlimen Perdana Menteri 1 Malaysia yang tercinta, Najib Razak. Di sini saya mendapati kemuncak demam Liga Super semakin menjadi-jadi.


Sementara itu, bahang perlawanan ini sudah semakin terasa. Dollah Salleh akan memasangkan Fauzi Roslan bersama bintang Harimau Malaya, Azamuddin Akil dengan disokong di belakang oleh Faizul Hussin. Tetapi T-Team memang pasukan yang tidak boleh dibawak pandang sebelah mata. Mohd Muinuddin Mokhtar dan Fazuan Abdullah tetap menjadi 2 benda berbahaya yang bakal bergerak bebas menerobos ruang penalti Pahang kalau tidak dikawal oleh pemain-pemain pertahanan Pahang. Saya syak Saiful 'Poyeng' Nizam akan bermula bersama Razman Roslan. Bahagian tengah sudah pasti milik gandingan Amirulhadi dan Azidan. Cuma hati ini berdebar-debar sama ada mampukah T-Team memberikan aksi terpuji memandangkan Caleb Folan sudah pun  digugurkan.


Pemain Tumpuan T-Team : Fazuan Abdullah
Pemain Tumpuan Pahang : Saiful 'Poyeng' Nizam
Ramalan : T-Team 2 - Pahang 1


Sengat Sang Semut
Selangor PKNS FC mln Perak
8.45mlm, Std Shah Alam


Setelah berehat panjang, PKNS yang semakin konsisten dalam liga super musim ini akan menantikan kunjungan pasukan yang mengalami persembahan di luar jangkaan ramai, Perak. Jika dahulu di atas kertas memang mudah buat skuad seladang. Namun kini ia berbeza. PKNS semakin digeruni oleh pasukan-pasukan lain berikutan selalu menewaskan lawan yang biasanya lebih kuat daripada mereka. Jika dilihat kepada rekod terkini selepas 10 perlawanan, PKNS mengumpul; 4 menang ; 2 seri ; 4 kalah. Statistik ini cukup untuk meletakkan PKNS di tangga ke-5 liga. Sesuatu yang boleh membuatkan Pengurus Besar PKNS FC, Othman Omar tersenyum lebar sambil menghirup kopi di waktu petang di halaman rumahnya.


Pasukan Perak perlu berhati-hati dengan rekod ini dan perlu mendapatkan satu gol awal serta berusaha menambah sekurang-kurangnya satu gol lagi di sepanjang permainan. Selangor PKNS sering mendapat gol melalui set-piece khasnya sepakan penjuru, yang kemudiannya disudahkan melalui tandukan khususnya pemain pertahanan mereka, Helmi Rameli. Bagi memastikan kemenangan di dalam perlawanan ini terjamin, Perak perlu mengawal tempo di bahagian tengah, di samping perlu rajin melakukan serangan menggunakan bahagian sayap. Keputusan perlawanan ini juga akan memastikan sama ada kerjaya Azraai Khor akan terus bersinar ataupun gelap buritan!!!


Pemain Tumpuan PKNS: Patrick Ronaldinho
Pemain Tumpuan Perak: Failee Ghazali
Ramalan: PKNS 2 - Perak 1.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...