Saturday, July 27, 2013

Piala Malaysia 2013 - Diskusi Fakta Menarik Buat Pedoman Serta Analisis Mengenalpasti Impaknya Dalam Siasah Rakyat 1 Malaysia. PART 1


Aku sebenarnya tak tahu mahu letak tajuk apa, jadi main letak je panjang berjela. Biar nampak ilmiah sikit, meminjam pesan rakan sekuliah aku dulu bila nak buat assignment, tajuk yang panjang nampak ilmiah dan boleh mengelirukan pensyarah tentang apa isi sebenar assignment kita.

Liga Super 2013 Malaysia baru sahaja menamatkan tirai. Kini tiba Piala Malaysia yang menjadi fokus utama setiap warga 1 Malaysia. Apakah yang seronoknya Piala Malaysia ni? Mari kita selidik dengan tabah hati dan cekal minda dengan memfokuskan kemeriahannya terutamanya ketika Perlawanan Akhir.


1) Romantiknya bolasepak Malaysia, biar ranking kita di belakang kepulauan Samoa sekalipun, bila tiba perlawanan akhir Piala Malaysia meriahnya macam perlawanan akhir Liga Juara-Juara. Tiket habis dijual, segenap pelosok masyarakat datang bertandang, dari Sultan Bola, orang politik, selebriti tanah air hingga ke Mat Pet dan Mat Rempit. Itu yang seronoknya bolasepak Malaysia. Selepas setahun menghabiskan musim bolasepak dengan liga yang caca marba kurang siuman, pengurusan tunggang langgang dan juga skuad kebangsaan yang tenggelam timbul, kita semua akan disajikan dengan puncak syahwat yang paling tinggi dalam arena bolasepak tanah air.

2) Segala masalah prestasi dan pengurusan bolasepak bakal dilupakan melalui 90 minit aksi merepek di stadium yang lebih besar dari Wembley. Lazimnya pasukan yang lebih kurang aksi merepeknya bakal menjulang piala keramat yang diberi nama Piala Malaysia. Yang asalnya barangkali mungkin sebuah piala usang yang ditemui kelasi British dalam setor kapal perang HMS Malaya mereka.

3) Biar apa pun asal-usul Piala Malaysia atau mutu permainan yang disajikan oleh pasukan bertanding, ianya tetap disambut meriah sejajar dengan prestijnya sebagai kejohanan piala bolasepak tertua di Asia. Malah Coppa Italia dan DFB-Pokal juga tidak setua sejarah Piala Malaysia.

4 ) Maka lazimnya seperti tahun-tahun sebelum ini, bila tiba perlawanan akhir Piala Malaysia tumpuan akan diberikan secara khusus untuk 90 minit aksi merepek ini. Sebab Piala Malaysia sajalah peluang untuk rakyat Malaysia berhimpun ramai-ramai dekat 90,000 orang bawak bendera, kain rentang bagai tanpa ditembak gas pemedih mata atau disembur air. Piala Malaysia sajalah peluang rakyat Malaysia nak bersorak dan melompat macam kera ala-ala tengok perlawanan akhir Piala Dunia, tak pun Piala Asia.

5) Maka abila tiba hari yang dinanti-nantikan, penuhlah Stadium Nasional Bukit Jalil dengan para penyokong. Pegawai-pegawai FAM pun tersenyum girang. Iyalah selama ini masa musim Liga Super banyak kerusi kosong dari penonton. Masa Piala Malaysia inilah ada rasa gah sedikit, rasa macam kat Camp Nou.

6) Sekali bila RTM memberikan lampu hijau siaran langsung yang diulas tidak lain dan tidak bukan lagi oleh Tuan Haji Hasbullah Awang, terpampanglah dengan jelas lautan manusia yang boleh membuatkan mana-mana pihak terkeliru dan tertanya-tanya, Bukit Jalil atau Anfield-kah ini?

7) Melihat kepada kepadatan stadium ini sekurang-kurangnya membuatkan kita merasa bolasepak Malaysia masih ada nilainya dalam sekupang dua. Apa lagi selepas hampir setahun disajikan dengan liga yang langsung tidak super yang jumlah penontonnya boleh dibilang dengan jari.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...