Wednesday, February 13, 2013

Chelsea:Kerja Amal Mengharumkan Nama England



UEFA Europa League
Sparta Praha - Chelsea
February 15, 2013 2:00:00 AM


Jika dipandang dengan mata kasar, pasukan Chelsea seperti kelihatan semakin lemah. Satu demi satu piala terlepas dari genggaman mereka. Makin banyak mulut fitnah yang mengatakan era kegemilangan Chelsea sudah tamat dan jahanam menuju ke longkang. Malangnya pandangan mata kasar tidak akan sama dengan pandangan mata hati. Dengan mata hati segala hijab akan terbuka. Ketika itulah kita akan sedar bahawa Chelsea adalah pasukan yang baik hati, pemurah dan tidak kedekut piala.
 
 
Kejayaan musim lepas dilepaskan dengan harapan pasukan lain yang sudah penat menggigit jari seperti Juventus, Real Madrid dan Manchester United boleh merasai kegembiraan seperti yang Chelsea rasai musim lepas. Pendekatan Wasatiyyah seperti yang selalu di war-warkan oleh Perdana Menteri kesayangan ramai Malaysia, Najib Razak sebenarnya sudah lama diterapkan di dalam jiwa setiap pemain Chelsea. Roman Abramovich ada berpesan kepada anak buahnya.. "Kita boleh menjadi kaya-raya tetapi jangan sampai hilang pedoman sehingga lupa tanggungjawab membahagi-bahagikan kekayaan tersebut". Itulah dia sucinya hati beliau walaupun ada sesetengah pihak memandangnya sebagai seorang yang pandir.


Walaupun Chelsea tidak bersedia mengahadapi UEFA Europa League kerana ia hadir tanpa diduga. Namun demi membela nasib dan mengharumkan nama England, cabaran ini disahut dengan hati terbuka serta penuh redha. Kemana lagi harapan hendak disandarkan? Adakah Liverpool, Newcastle, dan Spurs? Pasukan ini hendak menguruskan diri sendiri pun terkial-kial. Inikan pula mahu menyahut seruan sebesar Mengharumkan Nama England? Sesungguhnya hanya Chelsea yang berkemampuan dalam berbuat demikian.


Khabarnya tugas Chelsea untuk menewaskan Sparta Praha semakin mudah. Ini kerana adanya bekas pemain, Jiri Jarosik didalam skuad Sparta Praha. Tali barut seperti ini akan digunakan sebaik mungkin oleh Rafa Benitez yang bijaksana. Chelsea juga bertambah mantap dengan kehadiran semula wira Afrika iaitu John Obi Mikel dan Victor Moses. Tenaga bak lembu laga  dari kedua pemuda ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha Mengharumkan Nama England.


Perjuangan Chelsea di Czech Republic akan diiringi dengan doa agar dipermudahkan Kerja Amal Mengharumkan Nama England.


No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...