Thursday, February 28, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 9


Liga Super 9 Mac 01, 2013 (Jumaat)

Pahang Pasukan Seleção Sebenar!!!
ATM mln Pahang (Siaran Langsung Astro Arena 801)
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi.


Pahang adalah sebuah pasukan bola sepak yang hebat, mantap, berketerampilan serta bersemangat tinggi. Semuanya terserlah ketika mereka dengan selamber hanjeng (bukan menyamakan pasukan Pahang dengan haiwan  mughalazzah tersebut) mengikat juara bertahan Kelantan dengan skor 2-2 walaupun beraksi dengan 10 orang. Dollah Salleh telah melakukan kerjanya dengan cemerlang di Pahang manakala Zainal Abidin menguruskan pasukan ke arah kejayaan. Paling berjasa dalam transformasi pasukan Pahang tidak lain ialah Tengku Muda Pahang yang telah memupuk semangat "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" sejak mula-mula memegang jawatan ini.


Menjelang pertemuan menentang ATM, Pahang berharap dapat menurunkan semula penjaga gol berbadan sasa mereka iaitu Nasril Nourdin. Gandingan ampuh Mohd Saiful Nizam Miswan, ketua pasukan Jalal 'Nesta' Jaafar dan Razman Roslan di bahagian pertahanan akan menyulitkan tugas Marlon Alex untuk menyumbat gol. Sementara itu kembalinya Azidan Sarudin di bahagian tengah bertahan membolehkan Amirulhadi membantu jentera serangan Pahang bersama-sama Gopinathan, Alex dan Faizol Hussin. Manakala Fauzi Roslan kekal menjadi sandaran Tok Gajah dalam memburu gol dengan pemain import mereka Mohamed Borji menjadi tugu setia di bangku simpanan.


Sehingga hari ini Sathianathan dikatakan masih lagi menepuk-nepuk dahinya tanda tidak percaya pasukan ATM bimbingannya tewas mengejut kepada Terengganu yang berada di bawahan liga. Meskipun bangkit dua kali dari kedudukan ketinggalan, namun ia tidak dapat mengelak ATM daripada mengalami kekalahan kedua musim ini. Berada di persada liga selama dua minggu merupakan sesuatu yang ingin mereka kekalkan. Pasukan ATM akan melayani ketibaan Tok Gajah di Paroi tanpa M-16 dan Kapal Selam Scorpene sambil cuba mengintai 3 mata penuh dari pasukan yang penuh dengan sejarah gemilang tersebut.


Pemain Tumpuan ATM: Christie Jayaseelan
Pemain Tumpuan Pahang : Mohd Saiful Nizam Miswan
Ramalan: ATM 2 - Pahang 2
.
Keputusan: ATM 0 - Pahang 0
Hero.

Tujuh Lapan dan..... 
Kelantan mln Perak
8.45mlm, Std Sultan Muhammad IV, Kota Bharu
.

Kedudukan liga menunjukkan Kelantan dan Perak terikat dengan 10 mata dan masing-masing berada di tangga ke-7 dan ke-8. Ia boleh dikategorikan sebagai pencapaian kurang baik buat kedua pasukan ini memandangkan persediaan pra-musim mereka yang agak gempak.  Mengikut statistik, Kelantan dan Perak menghadapi masalah yang sama dalam isu mencari gol dan kerapuhan pertahanan mereka.


Kelantan telah menjaringkan 7 gol dan juga bolos 7 gol. Sepanjang 3 perlawanan terakhir pasukan Kelantan, Obinna telah digandingkan dengan 4 pemain berbeza di posisi pertahanan tengah. Mereka ialah Rizal Fahmi, Zairul Fitri, Nik Shahrul dan Azizi Mat Rose. Nampaknya Bojan Hodak benar-benar menghadapi masalah besar di posisi ini. Kemungkinan besar masalah ini akan selesai apabila tibanya Fadhli 'The Rock' Shas pada bulan April nanti.


Walaupun pasukan Perak sedang mengalami masalah dalaman seperti padang latihan (ketika ini hanya berlatih di padang PERNAMA Kem 2 Bridged Ipoh) dan stadium (sistem lampu limpah yang tidak dibaik pulih sehingga kini), namun ia tidak sepatutnya menjadi alasan kepada merudumnya prestasi mereka dalam saingan liga super musim ini.


Kini terdengar suara-suara dari kalangan Yob dan Yong yang mempersoalkan apakah KPI sebenar pasukan Perak musim ini. Adakah cukup sekadar berada di pertengahan liga? Hanya kejayaan menumpaskan Kelantan sahaja mampu melenyapkan segala kekusutan mereka buat masa ini. Dan ia adalah misi mustahil Azraai Khor di gelanggang keramat Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.


Pemain Tumpuan Kelantan: Daudsu Jamaluddin
Pemain Tumpuan Perak : Suppiah Chanturu
Ramalan: Kelantan 2 - Perak 0.
Keputusan: Kelantan 1 - Perak 1.

Liga Super 9 Mac 02, 2013 (Sabtu)


Lions XII sedang beraksi di atas padang plastik.


Felda Masih Bernafas. 
KL Felda United FC mln Lions XII FC
4.45ptg, Std Petaling Jaya, Kelana Jaya (Siaran Langsung Astro Arena 801)


Felda berada di tangga ke-11 liga dan kekal menjadi pasukan yang hanya mampu mencatatkan 1 kemenangan sejak dari Liga Super 2013 bermula. Felda akan cuba mengambil kesempatan menewaskan Lions XII kerana perlawanan diadakan pada waktu siang dan di atas padang rumput. Tetapi pemain seperti Baihaki Khaizan, Harris Harun dan Safuan Baharudin adalah pemain berbakat yang boleh mengadaptasi corak permainan berdasarkan keadaan sekeliling. Umpama sesumpah gamaknya mereka ini. Berdasarkan rekod musim lepas juga, Felda tewas pada kedua-dua pertemuan (2-0 dan 3-1).  Jadi apakah ramuan yang bakal digunakan oleh jurulatih terbilang, K. Devan untuk menewaskan Lions XII?


Felda United dijangka turun tanpa kelibat penyerang mereka Shahrizal Saad yang dimasukkan ke wad Hospital Pusrawi kerana  dikhuatiri dijangkiti denggi. Namun beliau berada dalam keadaan stabil dan masih menunggu keputusan ujian darah daripada doktor Hospital Pusrawi. Tetapi Mat Ghaddar difahamkan sudah cergas sepenuhnya menjelang pertemuan ini dan bersedia 100% untuk diturunkan. Segalanya sudah dilakukan oleh pihak pengurusan Felda termasuk mengadakan Majlis Tahlil dengan tetamu jemputan seperti Tan Sri Isa Samad dan Datuk Haji Faizoull Ahmad sudi mencemar kaki hadir memeriahkan majlis. Kini tiba masanya pemain-pemain membalas kepercayaan pihak pengurusan Felda United dengan menterjemahkan aksi cemerlang di atas padang.


Pemain Tumpuan KL Felda United FC: Rudie Ramli
Pemain Tumpuan Lions XII FC  : Harris Harun

Ramalan: KL Felda United FC 0 - Lions XII FC  1.
Keputusan: 0-0


Jang Terpaksa Bermusuhan.
Johor Darul Takzim FC mln Negeri Sembilan (Siaran Langsung Astro Arena 801)
8.45mlm, Std Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, JB


Mengekalkan reputasi sebagai pasukan tercorot bukanlah sesuatu yang mudah. Namun pasukan Negeri Sembilan dengan penuh seni berjaya melakukannya sambil mengunyah kacang kuda. Walaupun begitu, sila jangan abaikan pasukan ini. Mereka adalah pasukan pengacau dalam liga super. Bagaikan seorang bos yang sering menghantar email mengganggu pekerjanya. Sungguh menjengkilkan. Kemungkinan besar anak buah Fandi Ahmad akan menghadapi kesukaran menundukkan Jang meskipun beraksi di Larkin.

Kedua pasukan dijangka akan bermain secara 'open football' kerana masing-masing memiliki barisan hadapan yang berbisa. Barisan serangan Johor Darul Takzim FC seperti biasa akan diketuai oleh Dani Guiza dan Wak Lan Talaha. Manakala Halim Zainal dan Shahurain sudah pasti akan menjadi kunci serangan Nogori dalam menyalurkan peluang gol kepada De Porras. Namun begitu, pengalaman Johor Darul Takzim FC yang sering beraksi pada perlawanan bertekanan tinggi akan sedikit memberi kelebihan kepada mereka untuk mengatasi Nogori. Adakah Sang Rusa akan meroyan apabila dibaham Harimau Selatan diakhir wisel penamat?


Pemain Tumpuan Johor Darul Takzim FC: Ezrie Shafizie
Pemain Tumpuan Negeri Sembilan  : Rashid Mahmud
Ramalan: Johor Darul Takzim FC 2 - Negeri Sembilan  0.

Keputusan:JDT 2 - Negeri Sembilan 1.



Rentak Terengganu Bermula.
Selangor PKNS FC mln Terengganu
8.45mlm Std Shah Alam


Mereka pernah bertemu pada musim lepas juga dalam saingan Liga Super. Tetapi kedua-dua perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri (2-2 dan 1-1). Walaubagaimanapun situasi sudah berbeza dari tahun lepas. PKNS kini lebih kepada organisasi sebuah pasukan yang tidak bergantung pada kemampuan individu tertentu. Bebarapa pemain berbakat dikumpulkan dan dididik sebaiknya oleh Haji Abdul Rahman. Manakala Terengganu pula dilihat terlalu bergantung kepada trio Ismail Faruqi, Manaf Mamat dan Ashaari Samsuddin 'The Silent Killer'. Entah kenapa kerap bebenor aku menyebut nama 3 orang pemain ini. Musyikil..


Pertarungan ini akan menyaksikan Patrick Ronaldinho akan menjadi duri dalam daging buat pertahanan pasukan Penyu yang diketuai oleh Faizal Muhammad. Kita akan dapat melihat satu perlawanan penuh taktikal dari jurulatih mereka iaitu Haji Abdul Rahman dan Elavarasan. Mungkin di atas kertas kekuatan kedua pasukan lebih kurang sama sahaja. Hanya 3 mata yang membezakan antara Terengganu dan PKNS buat masa ini dan kemenangan mutlak sahaja yang diburu oleh kedua pasukan ini.


Pemain Tumpuan Selangor PKNS FC: Patrick Ronaldinho
Pemain Tumpuan Terengganu: Ashaari Samsuddin
Ramalan: Selangor PKNS FC 1 - Terengganu 0.
Keputusan: PKNS 0 - 2 Terengganu



Liga Super 9 Mac 05, 2013 (Selasa)

Meruntuh Ego Butler.
Terengganu PBDKT T-Team mln Selangor
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT. (Siaran Langsung Astro Arena 801)



Ia adalah perlawanan hidup mati untuk T-Team dan Peter Butler. Ibarat peperangan terakhir menentang empayar Majapahit sepertimana yang tercatat di dalam naskah lama, Negarakartagama hasil nurkilan Prapanca dari Jawa. Mahu atau tidak mereka mesti mencatatkan kemenangan ke atas Selangor. Dalam perlawanan sebelum ini T-Team hanya mampu seri dengan pasukan bawahan Negeri Sembilan. Walaupun memiliki Iqbal Shuhaimi di barisan terakhir, namun beliau tidak mampu menjadi 'Superhero Spiderman' ke atas kesilapan pertahanan T-Team yang begitu rapuh dilepasi oleh pasukan lawan. Terbaru mereka tersingkir dari Piala FA selepas tewas kepada pasukan Liga Perdana, Sime Darby.
Ternyata barisan pertahanan yang dikemudi Mahatdevan tidak bekerja sebagai sebuah unit dan mereka mesti segera mengubah situasi ini menjelang pertemuan dengan Selangor. Di bahagian serangan pula mereka terlalu bergantung kepada George Boateng untuk merencanakan gerakan bagi menyalurkan peluang kepada penyerang mereka Caleb Folan. Jelas keupayaan terhad T-Team ini merupakan penghalang besar untuk mereka menewaskan Selangor, pasukan yang paling gilang gemilang dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team: Abdul Latiff Suhaimi
Pemain Tumpuan  Selangor  : Mahali Jasuli
Ramalan: Terengganu PBDKT T-Team 0 -  Selangor 3.

Keputusan: 0-0

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...