Wednesday, November 14, 2012

10 Hari Lagi: Dan Raja masih bergurau senda.




Salam Suzuki..Hanya tinggal 10 hari sahaja lagi kejohanan terulung di Asia Tenggara, Piala Suzuki akan memulakan aksinya. Pasukan kesayangan kita, Harimau Malaya telah melakukan satu persediaan yang boleh dikatakan antara yang paling rapi dalam sejarah FAM. Kali ini tiada lawatan sambil belajar di bumi salji..mahupun bersiar-siar di Fraser Hill seperti suatu ketika dahulu di era 80-an. Dengan status sebagai juara bertahan dan gergasi baru Asia Tenggara, pasukan lain di rantau ini berlumba-lumba hendak menguji kita. Keterujaan mereka untuk menewaskan Harimau Malaya adalah umpama terujanya peminat Metallica mahu memijak muka Justin Bieber. Penuh rakus...
 
 
Kalah...dah kalah...
 
 
Sepanjang persediaan kita ini, pasukan Harimau Malaya telah mengalami 2 kekalahan kepada Vietnam dan Thailand. Seperti yang kita tahu, kedua pasukan ini adalah pencabar utama dalam Piala Suzuki nanti.  2 kekalahan inilah yang membuatkan ramai peminat bola di Malaysia naik hangen dan aura jahat yang tersembunyi selama ini menjelma keluar dari kepala hotak mereka. Puncanya kerana kekalahan ini muncul tanpa diundang dan ia  hanya tidak sampai sebulan sebelum kejohanan akan bermula. Sedangkan sebelum ini keputusan perlawanan pasukan Malaysia masih boleh dalam dikatakan dalam keadaan terpuji. Terpujila jugak....
 
Antara siri pelawanan persahabatan Malaysia ialah (hanya melibatkan tahun 2012) :
 
Oktober 2012
Menang dengan Hong Kong 3-0
 
Jun 2012
Menang dengan Singapore Aggregate 4-2

Jun 2012
Seri dengan Filipina 0-0

April 2012
Menang dengan Sri Lanka 6-0

Februari 2012
Seri dengan Filipina 1-1.
 
 
Nah!! Kita tak pernah  kalah pun sebelum tewas kepada Thailand dan Vietnam. Kenapa mahu mengamuk? Macamlah tidak pernah tengok pasukan Malaysia kalah. Perlu diingat juga kedua pasukan ini bukanlah 'se-sengal' Malaysia. Mereka telah melakukan pelbagai persiapan rapi. Bukan sahaja setakat beberapa orang manusia berkumpul dalam 2 masa minggu di Wisma FAM, kemudian berlatih berlari-lari menyepak bola. Pasukan negara mereka juga tidak ghairah mengadakan perlawanan sarkis menentang kelab-kelab England. 
 
 
Dengan mengambil kira kekuatan Liga mereka dan kedudukan ranking FIFA, kekalahan ini adalah perkara biasa sahaja bagi kawe. Ini adalah hakikat sebenar tahap kekuatan terkini pasukan Harimau Malaya. Seperti biasa selepas kalah, ranking kita akan jatuh dan setiapkali itulah juga orang bijak pandai di FAM memaklumakan bahawanya ranking tidak penting. Yang penting apa? Poket mereka barangkali...
 
 
Bangladesh umpan sakti.
 
Bukan setakat pekerja import sahaja..maruah perlu dipertahankan
 
Selepas kalah 2 perlawanan dan teruk dikritik oleh pakar bolasepak bertauliah di luar sana, pihak FAM berjaya membawa sebuah pasukan lemah ke Tanah Melayu untuk dijadikan sebagai 'lauk'. Apakah perlunya perlawanan menentang pasukan yang berada 8 tangga di bawah Malaysia dalam ranking FIFA ini? Ini kerana sudah jelas Rajagopal memberitahu kita bahawa anak buahnya sengaja menyimpan kekuatan supaya tidak dihidu oleh seteru lain di AFF nanti. Atau bahasa yang lebih molek, simpan kuku.


Pelbagai persoalan bermain di benak kepala hotak sesetengah dari kita...Mampukah kejayaan membelasah Bangladesh 5 hari sebelum kejohanan bermula, mampu memberikan kejayaan apabila bertemu Singapura kelak? Inikah pemangkin semangat yang diperlukan ketika Harimau Malaya kelihatan semakin nazak untuk mencari momentum kemenangan? Hanya Rajagopal sahaja yang mengenal Manikam.
 
 
Dalam keadaan terdesak ini, sudah pasti Rajagopal akan menurunkan kesebelasan utamanya untuk perlawanan menentang Hong Kong dan Bangladesh. Apakah akan terjadi sekiranya pemain utama ini cedera? Mampukah Shakir dan Gary bekerjasama dengan kabutnya seperti pelawananan menentang Thailand apabila Safiq Rahim cedera kelak? Mintak situasi seperti ini dijauhkan selalu...
 
 
Buang 4, 2 masuk.
 
 
Mungkin semua maklum bahawa posisi yang bermasalah untuk pasukan harimau malaya ketika ini adalah bahagian tengah. Namun masalah ini masih lagi tidak diselesaikan oleh Rajagopal. Terkini, 4 orang pemain digugurkan iaitu Nik Sharul, Young Kuong, Rizal Fahmi dan Amir Taj. Mereka ini wajar digugurkan berdasarkan kekurangan pengalaman antarabangsa dan aksi terhad dalam liga musim 2012 ini.
 
 
Namun apa yang lebih mengejutkan Rajagopal telah memanggil seorang pertahanan Irwan Fadli dan penyerang Hazwan Bakri sebagai ganti. Adakah ini senjata rahsia yang selama ini cuba disorokkan oleh beliau? Pemilihan Hazwan Bakri, penjaring hatrik ketika membenam Sri Lanka 6-0 ternyata tepat ketika barisan serangan Malaysia kelihatan amat tumpul walaupun pada hakikatnya penyerang kita tidak mendapat bola secukupnya dari bahagian tengah.
 
 
Tetapi apakah relevannya Irwan Fadli dipanggil? Bukankah pertahanan kiri sudah ada Zubir dan Azmi Muslim? Pertahanan tengah pula Rajagopal telah memiliki Faizal Muhammad, Fadli Shas, dan Aidil Zafuan. Jika Irwan Fadli yang berumur 31 tahun boleh dipanggil atas kapasiti persembahan mantap musim ini, kenapa pemain lain yang seangkatan beliau seperti Indra Putra (31), Amri Yahyah (31), Shukor Adan (33) dan Hairuddin Omar (33) boleh terlepas pandang begitu sahaja? 
 
 
Mungkin kawe terpengaruh dengan teori pasukan Jerman yang masih percaya pada Klose walaupun bakat muda mereka melambak-lambak bagaikan tukang urut Thai di Damansara Utama. Tetapi jika Rajagopal boleh menjadikan Itali sebagai persamaan dengan Malaysia, iaitu pasukan yang lengit sebelum sesuatu kejohanan bermula, namum mengganas bak kereta Ferrari di Litar Lumba apabila tiba kejohanan sebenar. Jadi tidak salah rasanya faktor usia dilonggarkan sedikit dalam pemilihan pemain kebangsaan. 
 
 
Kasih Neelofa dan Ong Kim Swee... 
 
 
Gadis misteri Neelofa pernah berkata "Lofa ambil semua kritikan peminat ini sebagai pemangkin semangat untuk Lofa menjadi artis yang lebih baik dan mantap". Mantap dari segi apa tidak pula dapat saya huraikan di sini. Takut terlajak pula. Tetapi inilah yang sepatutnya dilakukan Rajagopal. Menyerap segala kritikan dengan tanpa melibatkan pemain sedikit pun.

Kekuatan tangan Neelofa diterjemahkan di dalam sukan tinju


Ia pernah dilakukan oleh Si Samseng Mourinho yang seringkali bergaduh dengan wartawan tidak kira di mana jua beliau berada. Hasilnya pelbagai kejayaan telah beliau miliki. Bezanya Mourinho memiliki pemain berkelas dunia, sedangkan Rajagopal hanya ada sekumpulan pemain bolasepak yang beraksi dalam Liga yang seringkali bertukar formatnya.


Tanpa kita sedari...seorang Lelaki Cina dari Melaka yang tiada kaitan dengan Hang Tuah mahupun Hang Li Po sedang memantau rapi situasi ini. Beliau memiliki ramai bakat muda dalam 'poketnya'. Dan ia hanya menunggu masa sahaja untuk mengganas. Rajagopal sendiri pun tanpa segan silu meminjam beberapa orang anak didik beliau. Ya, Ong Kim Swee semakin hampir untuk diangkat sebagai 'Datuk' yang baru.


Tammmmat...



 
 
 
 

1 comment:

  1. shukor,hai o,indra mmg bgus tapi.mungkin utk liga je.
    Hanya amri berpotensi..tapi mereka semua tiada dalam senarai 35 pemain

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...