Friday, November 9, 2012

Menjelang Piala Suzuki: 6 Sebab Kenapa Malaysia Tak Perlu Panik


Terlampau mantap


1. Ini adalah barisan terkuat yang pernah kita ada.
 
 
 
Ramai yang tidak sedar bahawa edisi 2012 pada kali ini pasukan Harimau Malaya memiliki barisan terkuat dalam sejarah. Tidak seperti pada tahun 2010, kita kehilangan khidmat beberapa pemain penting akibat kecederaan seperti Aidil Zafuan (Lutut), Zaquan Adha (Lutut), Badrol Bahktiar (Hamstring), Azmi Muslim (Hamstring) dan Bunyamin Omar (Hamstring). Namun begitu, kesemua mereka pada hari ini berada dalam skuad Rajagopal serta dalam kondisi terbaik. Jadi, apa lagi yang mahu dirisaukan? Semestinya Rajagopal amat mengenali pemain beliau.
 
 
2. In Rajagopal We Trust.
 
 
Seperti mana Arsenal mempercayai Arsene Wenger sehingga 7 tahun tidak memiliki sebarang trofi, begitulah juga kita perlu mempercayai Rajagopal. Percaya atau tidak pada tahun 2010 Rajagopal telah memanggil Amri Yahyah hanya semimggu sebelum berlepas ke Jakarta. Amri telah menyertai skuad Harimau Malaya tanpa perlu menghadiri latihan pusat ketika itu. Selepas itu anda tahu apa impak beliau...
 

 
Selepas kalah 5-1 kepada Indonesia dan seri 0-0 dengan Thailand, hanya kemenangan besar bertemu Laos akan membawa Malaysia ke perimgkat seterusnya. Ketika ini muncul sebuah entiti tempe tua dari Tanjung Karang mencuri perhatian. Amri menjaringkan gol awal pada minit ke-4 sebelum menambah koleksi peribadi beliau pada minit ke-41 dalam kemenangan besar 5-1 ke atas Laos. Ternyata ia merupakan perintis kepada kejayaan Harimau Malaysia.
 
 
 
Jangan terkejut jika Rajagopal sekali lagi melakukan 'kerja gila' demi menyelamatkan maruah Harimau Malaya.
 
 
 
Paling menyerlah disaat-saat genting
 
 
3. Fakri Saarani senjata rahsia.
 
 
Sepanjang persediaan menghadapi Piala Suzuki 2012 ini terdapat seorang pemain yang paling menyerlah. Beliau adalah Fakri Saarani. Ramai yang merpersoalkan kemampuan beliau termasuk aku. Tetapi apa yang jelas, Fakri adalah senjata rahsia yang perlu digunakan apabila keadaan semakin terdesak. Hero Kebangsaan ini berjaya menjaringkan gol ketika bertemu Hong Kong serta memberikan aksi terpuji ketika menentang Thailand. Mendapat tawaran kontrak dari kelab divisyen 3 Portugis, Atletico Sport Clube Reguengos adalah perkara biasa bagi beliau. Beliau tidak seperti sesetengah pemain yang kecoh dengan kontrak 1 Juta sedangkan aksi di tengah padang tunggang langgang.

Inikah simpan kuku yang dimaksudkan?
 
 
 
4. Kekuatan Malaysia masih rahsia.

Setelah kalah 2 perlawanan berturut-turut menentang Vietnam dan Thailand, Rajagopal masih berterusan menegaskan bahawa pasukannya sedang 'menyimpan kuku'. Ternyata taktik ini sangat berbaloi. Pasukan yang akan kita tentang seperti Indonesia dan Singapura pula pasti pening kenapa bangang sangat Malaysia ini walaupun memegang status sebagai juara bertahan. Namun apa yang pasti, situasi ini juga membuatkan kepala otak peminat bolasepak Malaysia penuh dengan tanda tanya. Bak kata Najwa Latiff  "Banyak persoalan yang berada di minda...Banyak tanda tanya dan juga kata kerja..pui betol lah!!!!"



Cuit rehat ini boleh digunakan sepenuhnya oleh Piya untuk menjaga gerai nasik lemak.

 
5. Tidak perlu Piya.
 
Walaupun boleh dikatakan semua warga Malaysia berada dalam keadaan kelam kabut ketika ini dengan mula menyebut-nyebut nama Piya. Tetapi kem di Wisma FAM masih tenang..setenang dugong berenang di lautan gamaknya. Apa perlunya Piya yang mengetuai Kelantan menjuarai treble ketika Harimau Malaya mempunyai Amar Rohidan? Seorang pemain berkaliber yang membawa Kedah jatuh ke Liga Perdana dengan penuh bangganya...? Nampaknya Rajagopal mahu mengulangi sejarah silam.
 
 
Pada 2010 ramai yang mempertikaikan kenapa pemain senior yang bagus ketika itu, Indra Putra tidak dipanggil. Dalam situasi yang mendesak Rajagopal masih tenang serta yakin dengan barisan pemain pilihannya. Keyakinan inilah yang telah memberikan kejuaraan Piala Suzuki sehingga difahamkan ramai pengutuk tegar sebelum itu hampir-hampir terjun dari Plaza Masalam. Sadis sungguh...
 
 
6. Harimau Malaya tidak kepenatan.
 
 
Satu lagi kelebihan kita ialah pemain Harimau Malaya tidak kepenatan dan terlindung daripada mengalami kecederaan. Bayangkan pasukan lawan kita nanti iaitu Singapura telah ke Jepun untuk bertemu Shimizu S-Pulse iaitu Naib Juara J. League Cup 2012. Latihan sambil belajar ke Jepun itu akan di ikuti dengan perlawanan bertemu Filipina di Cebu. Kemudia pasukan Singapura ini akan pulang semula untuk bertemu pasukan Pakistan. Fuuuhh...amat memenatkan. Tetapi adakah ia berbaloi?

 
Manakala Malaysia pula dengan tenang mengatur perlawanan persahabatan menentang Vietnam serta Thailand dan itupun hanya untuk tewas secara terhormat dalam kedua-dua perlawanan tersebut. Tahniah...

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...