Hujan yang turun membasahi rumput di Bukit Jalil bagaikan satu rahmat buat anak buah Rajagopal. Mereka melangkah gagah ke atas padang dengan sedikit perasaan bangga kerana stadium dipenuhi dengan lautan hitam kuning. Lagu negaraku berkumandang dan secara tiba-tiba darah pejuang Hang Jebat menyelinap ke dalam urat darah pemain Harimau Malaya.
Dalam masa yang sama perlawanan di Stadium Shah Alam turut berlangsung antara Singapura dan Laos. Peluang masih terbuka untuk semua pasukan layak ke separuh akhir. Dan mereka semua mesti berjuang sehingga titisan peluh yang terakhir.
Sepak mula oleh Indonesia. Setelah 4 minit berlangsung, Malaysia kelihatan hilang arah. Sehingga membolehkan pemain Indonesia, Taufiq menguji Farizal Marlias. Namun Farizal tangkas menyelamatkan bola dari masuk ke dalam gol. Huru-hara sebentar kem Malaysia. Ultras pula kelihatan tak senang duduk, lagu nyanyian mereka seakan-akan sumbang.
Tersentak dengan aksi garang Indonesia, Rajagopal bingkas bangun. Dia kelihatan membisikan sesuatu ke telinga Alex yang bermain di sebelah kanan pada malam ini. Nampaknya Alex diarahkan bertukar posisi dengan Wan Zack. Kini Wan Zack di sebelah kanan, manakala Alex di sebelah kiri.
Pergerakan pasukan Malaysia lebih lancar selepas pertukaran posisi ini. Bahagian kanan lebih hidup dengan gandingan Harimau Muda dari Mahali dan Wan Zack. Hasilnya Malaysia berjaya menjaringkan gol pada minit ke-27 hasil jaringan Alex. Seluruh negara bersorak. Mendahului Indonesia dengan satu gol bagaikan kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia. Kini semua rakyat Malaysia boleh berasa lega. Yang berada di rumah dengan tenang boleh ke dapur sebentar untuk membancuh kopi.
Walaupun mendahului satu gol, namun Malaysia kelihatan akan melalui malam yang panjang. Tetapi langit memang tak selalu cerah untuk Indonesia. Tidak sampai tiga minit Malaysia sekali lagi menjaringkan gol. Gerakan menarik Wan Zack dan Mahali Jasuli membolehkan pemuda dari Selayang itu menjaringkan gol kedua untuk Malaysia pada minit ke-30. Ternyata Mahali Jasuli adalah Barracuda sejati Harimau Malaya. Kali ini seluruh kedai yang memilih saluran RTM bergegar dengan ulasan berapi-rapi dari Hasbullah Awang.
Namun pada minit ke-40 Shakir Shaari telah mengalami kecederaan. Tempatnya diganti oleh Gary Steven yang tak kurang hebatnya. Dengan kemasukan Gary ini jelas bahawa Malaysia mahu mempertahankan kelebihan 2 gol ini. Malaysia melangkah ke bilik persalinan dengan penuh bangga pada masa rehat separuh masa.
Ketika masa rehat, Rajagopal berpesan kepada pemainnya agar lebih fokus. Jadikan perlawanan ini sebagai pemangkin semangat untuk lebih mengharumkan nama negara. Dengan nafas turun naik, ketua pasukan Safiq Rahim melaungkan kata-kata semangat sambil di sambut oleh rakan sepasukan yang lain. MALAYSIA BOLEH!!!!
Separuh masa kedua bermula. Namun tiada satu pun gerakan menarik dari Malaysia melainkan bertahan bermati-matian. Hasilnya ramai pemain Malaysia mengalami kecederaan. Alex dikeluarkan dan diganti dengan pemain idaman ramai Ahmad Fakri Saarani. Aura milik beliau amat mengujakan. Seluruh stadium bersorak nama beliau. Yang berada di kedai mamak pula terus menambah secawan air lagi. Mungkin untuk membasahi tekak yang kekeringan kelak akibat memaki hamun pemain tersebut.
Pada minit ke-67, entah apa yang difikirkan oleh Rajagopal apabila pemain kegemaran beliau Amar Rohidan dimasukan menggantikan Mat Yo. Mungkin untuk lebih menerapkan corak bertahan barangkali. Ternyata taktik ini berhasil. Malaysia berjaya mengekalkan skor 2-0 sehingga tamat permainan. Wisel penamat pun ditiupkan oleh pengadil, Kovelenko.
Seluruh negara bersorak kegirangan. Hasbullah Awang tak henti-henti memuji 'Golden Boy' Pahang iaitu Alex dan Wan Zack. Jelas bahawa Soltan Bola berjaya mengharumkan nama negara pada malam ini. Semua umat Malaysia terlupa sebentar tentang kebangangngan FAM. Namun kita biarkan seketika kegembiraan ini menyalur dalam darah dan sanubari rakyat Malaysia. Ini kerana lawan diseparuh akhir bukan pasukan sebarangan, THAILAND menanti penuh nafsu!!!
Hayatilah detik-detik manis ini....
Hayatilah detik-detik manis ini....
terbaik!
ReplyDelete