Sunday, May 11, 2014

Piala Dunia 2014 : Belgium


Piala Dunia 2014 : Belgium
Pengenalan

Terlampau banyak pemain yang berkualiti dalam skuad ini. Aku cuba sebutkan beberapa contoh yang bermain di Liga Perdana Inggeris. Ingat. Ini hanya di Liga perdana Inggeris sahaja. Simon Mignolet, Jan Vertonghen, Mousa Dembele, Nacer Chadli, Thomas Vermaelen, Marouane Fellaini, Eden Hazard, Kevin Mirallas, Romelu Lukaku, Christian Benteke dan kapitan Vincent Kompany.

Apa macam? Mampukah kita menidakkan kemampuan mereka?

Secara perlahan-lahan kelompok pemain muda dari Belgium ini mula memenuhi setiap pasukan terbaik di Eropah.  Dan ini semestinya kelebihan buat mereka. Cuma sudah menjadi lazimnya pasukan muda kerapkali dikaitkan dengan 'ejakulasi pramatang'. Begitu cemerlang apabila berada dalam konsdisi terbaik. Namun boleh terkulai layu apabila keadaan menjadi serba tidak kena buat mereka.

Harapan aku agar Marc Wilmots segera mencari penawar buat pasukannya ini sebelum Piala Dunia ini bermula.


Jurulatih: Marc Wilmots.


Dikenali sebagai seorang pemain tengah yang merbahaya di hadapan gol ketika beliau masih lagi bergelar sebagai seorang pemain. Wilmots yang berusia 44 tahun mula melatih pasukan Belgium sejak 2012 selepas 3 tahun menjadi pembantu jurulatih.

Mungkin ramai juga yang tidak tahu beliau pernah terlibat dalam bidang politik dengan menjadi Senator selama 2 tahun.


Ketua Pasukan: Vincent Kompany.  

Kita sudah lihat impak ketiadaan beliau dalam pasukan Manchester City pada awal musim Liga Perdana Inggeris. Kuatnya pengaruh Kompany dalam pasukan Manchester City juga membawa kepada skuad kebangsaan Belgium.

Dia telah membuktikan yang dirinya lebih daripada sekadar seorang pertahanan tengah yang bagus dengan berjaya memimpin pasukan bergerak dalam satu unit dan beraksi dengan penuh motivasi. Peluang Belgium akan menjadi lebih realistik sekiranya beliau cergas dan bersedia mengetuai pasukannya.


Pemain Bintang: Eden Hazard  


Eden Hazard telah memulakan kariernya dengan cemerlang bersama kelab teragung Chelsea. Amat jelas sekali banyak peningkatan dalam corak permainannya selepas melalui musim keduanya bersama pasukan ini.

Hazard memainkan peranan yang amat penting untuk pasukan Belgium dalam kempen kelayakan Piala Dunia yang lalu dan dia dijangka akan sekali lagi mempamerkan sengatnya di Brazil.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Axel Witsel


Kehadiran Witsel dalam skuad Belgium benar-benar amat membantu di sepanjang laluan mereka untuk layak ke Piala Dunia 2014 di Brazil. Pemain tengah yang bertenaga dan lasak ini telah mencatat rekodnya yang tersendiri dengan beraksi di setiap minit di setiap perlawanan semasa pusingan kelayakan.

Dia merupakan pemain penting yang akan menjadi titik tengah pasukan bagi menghidupkan tempo perlawanan buat Belgium. Kehebatan beliau nanti sudah pasti akan menarik perhatian kelab terbaik dari seluruh Eropah.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...