Thursday, October 25, 2012

Edisi Mengampu Part 1: Analisis Skuad AFF Suzuki 2012.



Salam Suzuki...kemeriahan kembali lagi. Walaupun Liga Malaysia sudah menutop kedainya. Kawe di sini masih cuba setia memberikan info-info sahih buat hiburan anda semua. Kali ini kawe akan menganalisis kewibawaan setiap pemain yang dipilih oleh Rajagopal pada kempen Piala Suzuki 2012 ini. Namun ini adalah senarai awal 28 orang pemain dan 7 orang lagi dalam senarai menungggu. Hanya 23 orang sahaja akan terpilih untuk mewakili Harimau Malaya pada kejohanan itu nanti.


Mari kita lupakan kejayaan Piya mengetuai Kelantan menjulang treble musim ini kerana 'standard' beliau tidak sama 'level' dengan pasukan Malaysia. Mungkin dengan Sepanyol ada jodohnya barangkali. Analisis akan diulas mengikut pasukan kelab atau negeri yang diwakili pemain tersebut:
  
Kedah
Amar Rohidan, Baddrol Bakhtiar,Khyril Muhaymeen.

Mereka adalah 'The 3 Musketeers' dari negeri Jelapang Padi. Walaupun Kedah terpelosok ke Liga Perdana musim depan. Namun Rajagopal tetap melihat ketiga-tiga pemain ini mempunyai semangat juang yang tinggi tahap hanjeng ketika mereka berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan Kedah dari tersingkir ke kancah Liga Perdana. Kedah yang merupakan satu-satunya harapan terakhir rakyat utara Malaysia akhirnya menuruti pasukan seperti Perlis dan Pulau Pinang yang kini sudah hanyot ditelan ombak.

Adrea Pirlo versi Kedah.

Amar Rohidan adalah 'Andrea Pirlo' untuk pasukan Kedah. Hantarannya setiasa tepat. Statistik Rajagopal menunjukkan 87% daripada hantarannya berjaya sampai kepada rakan sepasukan. Manakala bentesannya 95% pasti terkena bola dan bukannya buku lali pemain pasukan lawan. Hebat dalam membuat hantaran jauh dan pendek. Pemilihan Amar Rohidan amat tepat berdasarkan pengalaman beliau beraksi dalam kejohanan yang lalu.
Baddrol Bakhtiar pula ialah 'Kapitan Mabeles' bagi pasukan 'The Kenari' ini. Mengetuai Kedah menduduki tanga ke-12 Liga Super dari 14 pasukan membolehkan pasukan Kedah beraksi dengan gembira dalam Liga Perdana 2013 kelak. Beliau pernah mengikuti latihan bersama kelab teragung England, CHELSEA pada 2008 selama 2 minggu. Pengalaman dibentes oleh John Terry hanya menjadikan Baddrol sebagai seorang pemain yang mantap dan berkelas dunia.
Tiada perkataan hebat yang sesuai untuk Khyril Muhaymeen. Menjadi penjaring terbanyak untuk pasukan Kedah dengan 14 gol musim ini. Hanya kecederaan menjadi penghalang untuk beliau menjaringkan 40 gol semusim untuk Kedah. Merupakan ahli tetap untuk kejayaan silam Kedah, iaitu 'double treble' pada musim 2006/07 dan 2007/08. Beliau juga berada dalam skuad Sathianathan yang menjadi Juara Pestabola Merdeka 2007. WOW!!!!

Selangor
Norazlan Razali, Bunyamin Omar, Safiq Rahim.
Selayaknya memang mereka bertiga ini sahajalah yang berhak berada dalam skuad Rajagopal pada kali ini. Membantu Selangor menduduki tempat ke-3 Liga Super untuk beroleh tiket bermain 'play-off' bagi kejohanan AFC 2013 nanti. Mereka bertiga juga secara konsisten telah membawa Selangor sehingga ke pentas separuh akhir piala Malaysia 2012 sebelum ditewaskan Sang Juara, Kelantan.
Harapan terakhir umat Tangkak
Pemuda kelahiran Tangkak, Norazlan Razali adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat, Johor. Bakat awal beliau dikesan oleh Cikgu Misnan ketika Norazlan sedang bermain bola sepak petang-petang menggunakan tiang gol selipar jepun. Berkat dari usaha dan dedikasi beliau ketika sekolah dahulu, kini Norazlan sudah bergelar pemain bolasepak kebangsaan. Atau nama samaran paling tepat buat beliau ketika ini ialah, 'Iker Casillas Malaysia'.


Pada Piala Suzuki 2010, Bunyamin terlepas peluang beraksi kerana kecederaan yang beliau alami. Namun selepas beliau pulih dari kecederaan, nama beliau tidak pernah terlepas dari pandangan Rajagopal. Menurut Rajagopal ketika di tanya mengenai pemilihan Bunyamin, beliau berkata, "Sejak kali pertama melihat aksi Bunyamin dahulu, hati saya sudah terpaut dengan corak permainannya. Aksi beliau tidak ubah seperti lagenda England, Gary Neville. Ala-ala sengal gitu, hebat bila menyerang, namun kabut sedikit ketika bertahan. Tapi saya tak risau itu semua. Tahulah saya macam mana hendak mengajar beliau".


Apabila beliau mengambil sepakan percuma, 99% sudah pasti bola itu akan menerjah jaring gol. Itulah dia Safiq Rahim. Beliau adalah pakar sepakan percuma untuk pasukan Selangor dan Harimau Malaya. Sudah semakin jelas bahawa Safiq akan mengetuai pasukan Malaysia pada kejohanan kali ini. Ketika ditanya tentang rahsia beliau mempunyai ketepatan jitu dalam sepakan percuma, pemuda yang berasal dari Kuala Selangor ini dengan selamba menjawab, "Saya hanya menonton you tube setiap hari jumaat dengan melihat video Rivaldo dan Ronaldinho mengambil sepakan percuma". Beliau memang pemain bolasepak yang celik IT.



Negeri Sembilan
Farizal Marlias, Kunalan Subramaniam


Hanya 2 orang ini sahaja waris seh yang mampu memocah tembok masuk ke dalam skuad Rajagopal pada kali ini. Nama-nama lain seperti Zamani Misbah, Shahurain, Halim Zainal semuanya tidak masuk ke dalam kepala otak jurulatih yang bergelar Datuk ini. Namun berdasarkan persembahan di atas padang S.Kunalan dan persembahan di mahkamah oleh Farizal, ternyata kedua entiti ajaib dari pasukan Negeri Sembilan ini wajib berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan Harimau Malaya.


Encik Farizal Marlias atau nama saintifik beliau Sofi Jikan merupakan penjaga gol paling berani di Malaysia. Keberanian beliau terbukti di atas padang dan juga ranjang. Turun naik mahkamah menjalani kes khalwat beliau sudah menjadi rutin baginya. Farizal juga kembali dari kecederaan patah tulang pipi dengan semangat serta iltizam mahu kembali menjadi penjaga gol No.1 Harimau Malaya. Akhbar The Sun Sport melaporkan rating beliau musim ini adalah 8.35 'per' perlawanan dan ini mendahului mana-mana penjaga gol di Malaysia tertamanya Si Sharbinee Allawee.


Mempunyai 3 pasang paru-paru


S.Kunalan terbukti antara pemain sayap paling laju di Asia. Catatan statistik majalah sukan The Offside menunjukkan Kunalan berada di tangga ke-8 dalam senarai 10 pemain sayap terpantas di Asia. Turut berada dalam senarai ialah Shinji Kagawa dan Fakri Saarani. Persembahan mantap beliau pada awal musim ini diakhiri dengan aksi memalukan dalam Piala Malaysia. Boleh dikatakan sepanjang kejohanan Piala Malaysia 2012, beliau beraksi sebagai pertahanan kanan atau kiri semata-mata kerana akur dengan arahan Azraai Khor yang bijaksana itu.


Kelantan
Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Shakir Shaari, Norshahrul Idlan Talaha, Subramaniam Sooryaparad, Nik Sharul Azim.


Rajagopal dan Soltan Bola sepakat untuk memilih hanya 5 orang sahaja pemain Kelantan yang telah memenangi 'treble' pada musim ini. Nampaknya Rajagopal tidak menjadikan teori Vicente del Bosque yang memanggil 8 pemain Barcelona pada Euro 2012 tempohari sebagai contoh. Bagi 5 orang pemain ini, ia merupakan satu rahmat buat mereka apabila diberi peluang menyarung jersi keramat Harimau Malaya.


Wow!!!!



Bagi Khairul Fahmi Che Mat, mematahkan cubaan pihak lawan adalah semudah menghancurkan harapan dan cinta para gadis yang tertewas pada kekacakan wajah jejaka klate ini. Memiliki wajah iras-iras aktor Jepun membolehkan Apex menjadi model 'cover' hadapan pelbagai jenis majalah termasuk sebuah majalah terbitan Nepal, The Megapal. Dalam majalah tersebut ada memetik bahawa beliau akan mengakhiri zaman bujangnya apabila duit katering dan pelamin sudah cukup kelak.


Mohd Shakir Shaari merupakan ahli tetap pemain simpanan bagi pasukan Harimau Malaya. Masih belum mampu mempamerkan aksi sebenar beliau dengan skuad Rajagopal ini. Namun di Kelantan beliau diangkat bagai wira ibarat Hang Tuah walaupun bola sepak Melaka sudah hilang ditelan zaman. Tak dapat dipastikan hubung kait antara Melaka dan Kelantan dalam hal ini. Tetapi Shakir tetap positif mengenai peluangnya untuk beraksi dalam kesebelasan utama dengan berikrar akan menyingkirkan Amar Rohidan dari pandangan Rajagopal. Sesuatu yang mustahil akal.


Kesan jangka panjang....


"Norshahrul Idlan Talaha ni lombik lutot"...begitulah komen selamba badak seorang rakan dari Rombau apabila ditanya mengenai prestasi semasa pemain ini. Mat Yo pula berjaya menutop molot pengkritiknya juga dengan selamba apabila menjaringkan 2 gol cantik pada malam 'final' Piala Malaysia 2012. Terbukti Rajagopal memang seorang jurulatih yang hebat apabila secara berterusan memanggil Mat Yo walaupun ketika beliau tidak berada dalam prestasi terbaiknya.


Peminat 'The Red Warriors' menggelarkan Subramaniam Sooryaparad sebagai Paolo Maldini versi Kelantan. Bijak dalam membaca gerakan lawan dan membuat bentesan. Musim ini sahaja beliau telah mencatatkan purata 50 pintasan tepat dalam satu perlawanan. Statistik ini membolehkan beliau tercalon dalam top 10 calon Anugerah Bola Sepak 100 Plus Astro bagi tahun 2012.  Namun ada cakap-cakap mengatakan bahawa beliau akan digantikan dengan Rizal Fahmi Rosid sekiranya kecederaan yang beliau alami pada perlawanan akhir Piala Malaysia tempohari belum pulih sepenuhnya.


Tidak lupa juga diucapkan sekalung tahniah buat anak muda yang berusia 21 tahun, Nik Sharul Azim. Penambahan beliau dalam skuad Rajagopal membuatkan pemain seperti Bunyamin Omar dan Mahali Jasuli terpaksa berkerja lebih keras supaya tempat mereka tidak dirampas oleh 'peragut misteri' ini. Ketika ditanya kepada Nik Sharul tentang persaingan ini, beliau dengan tenang sambil tersenyum menjawab dalam bahasa KL.."Kawe tok kesah".


......bersambung....

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...