Sunday, October 28, 2012

Edisi Mengampu Part 2: Analisis Skuad AFF Suzuki 2012.



Pada bahagian pertama kita sudah meneliti 13 orang pemain yang dipilih Rajagopal untuk berada dalam senarai awal skuad Piala Suzuki 2012. Setiap dari mereka memiliki kelebihan yang tersendiri dan merupakan antara individu yang paling bertuah untuk menyarung jersi Harimau Muda. Mari kita sambung dengan menghayati artikel di bawah ini yang tak seberapa buat masa ini tetapi mungkin penting untuk masa depan bagi menjadi bahan rujukan cucu cicit kita kelak.

Terengganu
Zubir Azmi, Faizal Muhammad.


Pernah suatu ketika dahulu pasukan Harimau Malaya dibanjiri oleh ramai pemain dari Terengganu. Ashaari Samsudin, Sharbinee Allawee, Ismail Faruqi, Hadi Yahya, Joseph Kalang, Mazlizam Muhammad, Abdul Manaf Mamat dan Muslim Ahmad. Kemana mereka semua pergi? Masalah dalaman Terengganu benar-benar memberi kesan kepada masa depan pemain mereka dalam pasukan kebangsaan. Namun sekurang-kurangnya Terengganu tidaklah terjerumus ke Liga Perdana. Ye tak?


Bagi saya Zubir Azmi adalah pemain pertahanan kiri yang terbaik di Malaysia ketika ini. Pada usia 20 tahun beliau sudah memperolehi 2 penampilan dalam skuad kebangsaan. Apabila beliau bertahan, aksi kentalnya menyerupai Philip Lahm. Namun apabila menyerang, larian Zubir tidak ubah seperti lagenda Roberto Carlos. Ketiadaan Asraruddin membuka ruang kepada pemain ini untuk memecah masuk kesebelasan utama Harimau Malaya dengan hanya tinggal Azmi Muslim sebagai pencabar utama.


Faizal Muhammad adalah antara muka lama yang pernah beraksi pada  Piala Suzuki 2010 dulu. Melihat aksi beliau mengingatkan saya kepada bekas ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof. Bertubuh tinggi namun seringkali kabut apabila bertahan. Tetapi ciri-ciri seperti inilah yang menjadi kriteria pemilihan pemain oleh Rajagopal. Tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenai beliau kerana kita masih menantikan yang terbaik dari Faizal Muhammad.


Pahang
Azamuddin Akil, Gopinathan Ramachandra.


Persatuan Bolasepak Negeri Pahang sudah berubah. Tiada lagi operasi bagaikan pejabat tanah lagaknya. Kini Soltan Bola benar-benar ambil serius dengan pembangunan akar umbi bolasepak negeri Gajah Dudok ini. Hasilnya muncullah 2 orang pemain dari Kuala Lipis dan Kuantan yang hebat ini. Mereka berdua inilah yang menjahanamkan pasukan Pahang ke Liga Super 2012, namun mereka jugalah yang secara angkuh membawa kembali Pahang beraksi di dalam Liga Super 2013 kelak.


Alex dalam aksi agungnya.


Sebelum beliau menjadi pemain tetap pilihan Rajagopal, nama Azamuddin Akil a.k.a Alex sering muncul di bibir peminat bolasepak tempatan. Atas desakan melampau umat Pahang ke atas Rajagopal, akhirnya jurulatih ini akur untuk memberikan Alex peluang beraksi buat kali pertama pada pertemuan menentang Sri Lanka. Alangkah indahnya apabila Alex turut menjaringkan gol pada perlawanan yang dimenangi oleh Malaysia 6-0. Selepas itu beliau tidak boleh berhenti dari menjaringkan gol apabila turut menyumbat gol dalam perlawanan menentang Singapura dan Manchester City.


Dalam sejarah bolasepak Malaysia, Gopinathan Ramachandra adalah pemegang rekod '15 minit beraksi sudah cukup meyakinkan jurulatih kebangsaan'. Ini kerana pada pertemuan persahabatan menentang Hong Kong 16 Oktober lalu, beliau hanya memerlukan 15 minit sahaja untuk memikat hati Rajagopal. Larian obor sepantas Usain Bolt, namun dijatuhkan sebanyak dua kali di dalam petak penalti membuktikan beliau memang layak mewakili Harimau Malaya. Tidak ada seketul pun piala yang dimiliki Pahang pada musim ini bukan penghalang bagi anak muda ini untuk meneruskan cita-citanya berjaya dalam bidang bolasepak seperti idolanya, Marc Overmars.


Harimau Muda A
Gary Steven Robbat, Mahali Jasuli, Mohd Fadhli Shas, Wan Zack Haikal.


Tiada istilah curi pemain di sini apabila seramai 4 orang pemain berkualiti dari skuad Ong Kim Swee diserap masuk ke dalam pasukan Harimau Malaya. Semangat '1 Harimau' diterapakan ke dalam jiwa setiap jurulatih di Malaysia. Manakala nilai-nilai seperti 'Negara Didahulukan, Piala Diutamakan' menjadi pegangan hidup buat 2 orang jurulatih yang bijak ini. Peminjaman pemain antara mereka sudah menjadi lumrah yang sukar diubah.


Aksi Gary Steven Robbat tidak ubah seperti corak permainan idola beliau semasa kecil iaitu Clarence Seedorf. Hantaran tepat serta larian sepantas Harimau Bintang menjadi 'trademark' buat Gary. Seperti satu suratan takdir yang indah apabila semakin pasti Gary akan bergandingan bersama Safiq Rahim menjana enjin tengah pasukan negara. Kelab Jerman FC. Koln sudah pasti menyesal seumur hayat mereka kerana tidak mahu mendapatkan khidmat anak muda berbakat ini.


'The Barracuda' itulah gelaran keramat buat jejaka bijaksana dari Selayang ini, Mahali Jasuli. Badan bersaiz besar dan mempunyai rupa yang menakutkan bisa aja mendatangkan ngeri kepada pasukan lawan. Dan ini semua bukan cakap kosong atau ikut sedap molot sahaja. Bijak pandai bolasepak termasuk Azlan Johar semuanya mengakui kehebatan pemain ini. Buat masa ini beliau setakuk dihadapan pemain lain seperti Maicon dan Nagatomo.


Setenang air di kali adalah corak pertahanan yang sering dipentaskan oleh Mohd Fadhli Shas kepada kita semua. Beliau pernah menggemparkan dunia bolasepak Slovakia apabila ditawarkan kontrak pinjaman kepada sebuah kelab di negara itu, iaitu ZlFC Vion. Berjaya membuat satu penampilan ketika di FC Viom sudah cukup buat beliau menimba pengalaman berguna bagi diceritakan kepada cucu cicitnya nanti.

Wan Zack dan Fadhli Shas

Pada awal kemunculan Wan Zack Haikal, ramai pemerhati bolasepak memadankan aksi beliau dengan lagenda Arsenal, Fredrik Ljungberg. Ternyata telahan itu amat tepat sekali. Kelebihan beliau ialah terletak pada kelajuan membuat larian ketika membawa bola. Catatan terbaik beliau adalah 17 mph dan ia masih jauh berbanding catatan Theo Walcott iaitu 22.72 mph. Adakah Wan Zack akan memberikan impak agung pada kali ini? Kita tunggu..


ATM
Amiridzwan Taj Tajudin, Mohamad Aidil Zafuan, Mohamad Zaquan Adha, Mohd Azmi Muslim


Kekecewaan pemain ATM yang tidak berjaya mencium Piala Malaysia musim ini mungkin sedikit terubat apabila diberi peluang mencuba nasib untuk mewakili Harimau Malaya dalam Piala Suzuki pula. Seperti yang semua tahu, Rajagopal memang sangat menyukai pemain ATM dengan secara keseluruhan musim ini telah memanggil 8 orang pemain ATM sepanjang persediaan meghadapi kejohanan ini.


Jika dilihat secara mata kasar, kita tidak akan dapat mengesan di manakah kekuatan Amiridzwan Taj Tajudin. Namun sekiranya dilihat dari mata pena hitam, barulah kita sedar bahawa pemain ini mempunyai stamina tahap hanjeng. Kenapa saya katakan begitu? Ini kerana kekerapan beliau naik membantu serangan serta kadangkala dengan selambanyer mengabaikan rakan-rakan di barisan pertahanan merupakan bukti beliau seorang yang berstamina tinggi. Percayalah...


Macam mana huru-hara pun rumah tangga Mohamad Aidil Zafuan, ia tidak sedikit pun mempengaruhi aksi beliau di atas padang. Sentiasa menampilkan aksi kemas dan tersusun. Musim ini beliau bebas dari kecederaan major yang membolehkan Aidil beraksi dalam setiap perlawanan penting ATM. Diharapkan moga isu beliau dengan Rita Rudaini selesai dengan segera kerana kami sudah muak. Kehkeh...


Hang Jebat pernah berkata.."Setiap kejayaan pemain bolasepak, pasti ada wanita mantap di belakangnya...". Pandangan Lagenda Melaka itu ada benarnya. Ini kerana Mohamad Zaquan Adha adalah antara 19% pemain bolasepak yang bertuah sama seperti Ashley Cole (dia ni bangang sebenarnya) dan Peter Crouch. Setakat ini ternyata Ayu Raudah adalah punca kepada kehebatan Zaquan di atas padang.

Kegembiraan menyekolahkan Arsenal

Beralih angin dari Kedah ke ATM memberikan Mohd Azmi Muslim satu rahmat yang tak ternilai harganya. Hasilnya beliau mengucup pingat Juara Liga Perdana dan Naib Juara Piala Malaysia pada musim ini. Namun Azmi sudah pasti tidak akan dapat melupakan kejayaan membolosi gawang Arsenal ketika lawatan sambil belajar kelab England tersebut di sini. Cabaran lebih hebat menantinya pada tahun ini selepas turut terlepas beraksi pada edisi 2010 akibat kecederaan.


Felda United FC
Ahmad Fakri Saarani, Young Kuong Yong.

Hero Kebangsaan

Fenomena Ahmad Fakri Saarani adalah sama dengan fenomena Britneys Spears yang pernah melanda seluruh dunia satu masa dahulu. Pakar bolasepak yang membawa Jepun ke Piala Dunia pada 1998 dan 2002, Philippe Troussier pernah memberi pandangan ikhlas tentang pemain ini...kata beliau "Jika Malaysia mahu memenangi setiap pertandingan di Asia Tenggara, nama Fakri Saarani tidak harus dicicirkan..." Terbukti kata-kata Philippe Troussier menjadi azimat buat Rajagopal apabila pada kali secara berani memanggil Fakri Saarani walaupun pemain ini hanya berjaya menjaringkan 1 gol dalam 16 penampilan dalam skuad utama Harimau Malaya.


Jika generasi terdahulu berbangga dengan Soh Chin Aun, Liew Kim Tu, Ong Kim Swee, Liew Kit Kong dan Chow Chee Weng. Kini bangsa Cina boleh berdiri megah dengan kehadiran entiti berbakat besar Young Kuong Yong dalam pasukan Harimau Malaya. Musim ini sahaja beliau dengan angkuhnya membuat 22 penampilan sahaja untuk Felda United dan telah menjaringkan sejumlah 2 gol. Ini adalah satu pencapaian yang amat mengkagumkan buat Rajagopal.


Pelita Jaya
Jika Sweden berbangga dengan Zlatan Ibrahimovic. Harimau Malaya pula mempunyai Safee Sali sebagai Hero Harapan Bangsa. Kehadiran beliau bukanlah untuk menjadi sasaran bagi dipersalahkan sekiranya Malaysia kalah. Tetapi ia lebih kepada pemangkin semangat buat rakan-rakan pasukan yang lain untuk memberikan aksi yang lebih cemerlang di atas padang. Biar betapa hodoh pun corak permainan yang beliau pamerkan, nama Safee Sali perlu ada dalam kesebelasan utama Rajagopal.


Senarai Menunggu.


Di bawah ini pula senarai menunggu atapun dalam bahas lebih molek Keep In View (KIV). Mereka di bawah ini kena sentiasa berjaga-jaga kerana tidak tahu bilakah akan dipanggil sekiranya 28 pemain tersebut mengalami kecederaan. Amri Yahyah "The Tempe Eater" mendapat rezeki hujung tahun apabila secara tidak sengaja beroleh panggilan KIV ini. Shakir Ali ternyata masih belum mampu mengatasi kehebatan Fakri Saarani manakala Christie Jayaselan pula sedang menunggu sahaja pemain seperti Kunalan untuk mengalami kecederaan saat akhir yang mana ini adalah bukan sesuatu yang mustahil untuk berlaku.


Persembahan konsisten Irwan Fadli Idrus bersama ATM menjadi kunci kepada karier antarabangsa beliau kembali bersinar selepas kali terakhir mewakili pasukan kebangsaan pada 2009. Selain itu, trio dari Harimau Muda iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Affizie Faisal Mamat dan Mohd Izham Tarmizi adalah pemain muda yang berbakat besar yang sentiasa bersedia 210% sekiranya mendapat panggilan daripada Datuk K. Rajagopal.


  • Amri Yahyah (Selangor)
  • Ahmad Shakir Md Ali (Negeri Sembilan)
  • Christie Jayaselan (ATM)
  • Irwan Fadli Idrus (ATM)
  • Ahmad Hazwan Bakri(Harimau Muda)
  • Mohd Affizie Faisal Mamat (Harimau Muda)
  • Mohd Izham Tarmizi (Harimau Muda)


Berjaya atau tidak pasukan Rajagopal pada kali ini tidak akan kita ketahui sehinggalah tamatnya Piala Suzuki 2012 ini nanti. Namun apa yang nyata Edisi Mengampu ini amat payah untuk direalisasikan (orang-orang FAM memang hebat dalam ini) kerana mungkin kita lebih biasa mengkritik dan mengutuk membuta tuli sehingga ada yang melabelkan orang seperti kami ini TIDAK PATRIOTIK dan hanya BERSORAK KETIKA MENANG. Kalau sudah kalah, nak bersorak apa nya?





No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...