Thursday, December 27, 2012

LIGA MALAYSIA 2013 YANG TERBAIK DALAM SEJARAH BOLA SEPAK DUNIA SEJAGAT



Buat pertama kali dalam sejarah Liga Utama Malaysia iaitu Liga Super bermula tanpa pasukan dari utara Malaysia. Terpikir juga di kepala otak ini apakah aktiviti yang akan dilakukan oleh pemuda dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang apabila pasukan mereka hanya bersaing di dalam Liga Perdana dan Liga FAM. Adakah hujung minnggu mereka akan dihabiskan menonton bola sepak negara orang di stesen satelit berbayar?


Kita lupakan permasalahan yang mereka cari sendiri itu selepas Kedah begitu cemerlang dengan 'Double Treble 2007 dan 2008, Perlis dengan era mahsyur sekitar 2003-2008 dan juga Pulau Pinang yang muncul mekar dengan nama Merzagua Abderrazak pada 1996-1998. 12 pasukan yang bertarung dalam Liga Super 2013 ini mempunyai tarikan hebat bagai magnet walaupun tanpa tajaan dari syarikat rokok terbesar di Malaysia.


KENAPA LIGA MALAYSIA 2013 ADALAH YANG TERBAIK DALAM SEJARAH BOLA SEPAK DUNIA SEJAGAT?


Ini kerana:

1. ATM dari Manchester City menjadi Glasgow Rangers.


Musim lepas pasukan ATM menggemparkan arena bola sepak tempatan. Mereka rakus pada pra-musim 2012 dengan merekrut beberapa pemain berstatus bintang terutamanya dari Negeri Sembilan yang kebetulan ketika itu adalah penyandang Juara Piala Malaysia 2011. Berbeza dengan musim ini apabila kem ATM sunyi sepi bagaikan semua askar keguguran di medan perang. Tetapi status mereka sebagai Juara Liga Perdana 2012 serta naib Juara Piala Malaysia 2012 sudah pasti mendatangkan gerun kepada pesain-pesaing yang lain. Tertanya-tanya juga apakah nasib yang sedang menunggu ATM musim 2013 kerana ada beberapa pemain terbaik mereka dicilok pula oleh negeri yang kononnya berdaulat di selatan tanah air.


2. KELANTAN adalah pasukan yang hendak ditewaskan oleh semua pihak.


Kelantan bukan sahaja menjadi sasaran pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia, malahan juga menjadi buruan FAM. Ada sahaja yang tidak kena di mata FAM walaupun kesalahan Kelantan itu sekecil najis kutu. Selain itu juga, pra-musim menunjukkan Kelantan menjalin permusuhan 'manis' dengan pasukan Darul Takzim FC dan T-Team. Istilah 'cilok-mencilok' seperti sudah sebati dengan naluri pasukan Kelantan. Sifat Kelantan yang rajin terlibat dengan kontroversi ini juga berjaya menaikkan populariti kelab serta pemimpin-pemimpin yang ada di dalam organisasi KAFA. Namun apa yang menarik untuk dilihat ialah bolehkah kejayaan musim lepas mereka dikekalkan seiring dengan populariti yang mereka miliki?


3. SELANGOR sentiasa bersandarkan pada kenangan.


Persediaan Selangor untuk musim 2013 ini bolehlah dikatakan sebagai amat mudah dan bijaksana. Mereka menjual semua pemain yang dirasakan tidak lagi mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pemain dari pasukan yang gah dengan sejarah silam. Antara muka lama yang dijual ialah Amirul Hadi, Razman Roslan dan Safiq Rahim. Manakala pemain baru mereka pula paling ramai yang diambil ialah dari buangan pasukan Terengganu iaitu Sharbinee Allawee, Shukor Jusoh dan Forkey Doe. Tetapi apa yang paling menarik untuk dilihat ialah bagaimana Irfan Bakti mahu mengadunkan gandingan lipas kudung lincah di atas padang di antara S.Kunalan, Fitri Syazwan, K. Soley dan S. Veenod.


4. PERAK is the TRULLY YOB.


Pasukan Yob tenang seperti biasa. Pemain dari pasukan Yob juge idak le kecoh kahwin dengan artis atau sibuk digosipkan dengan artis. Pasukan Yob keghojenye main bola ater itu aje le yang dibuat deme sejak adanye langit dan bumi (dan juga padang bola). Deme tak pernah bergebang misi 3 piale ke MISI 33 ke. Kalau elok bebenor mainnye, deme menang piale. Kalau idak berape elok gayanye, deme menten je dalam Liga Super. Tapi nama nak kena relegated macam Kedah tu idak le sama sekali. Bile Yob dah membeli Farizal Marlias dan Hadi Yahya tu maknenye ajenyer seriusle deme nak menjulang walaupun hanye seketul piale musim ini. Ate IN AZRAAI WE TRUST!!! Ajenyer le Yob..


5. T-TEAM dalam serabut ada kebijaksanaan.


Tamat musim 2012 seolah-olah T-Team akan dikuburkan. Namun secara tiba-tiba bagaikan mendapat rahmat dari langit, pasukan ini kelihatan akan menjadi dahsyat dengan termetrainya perjanjian pemain import terbilang iaitu George Boateng dan Caleb Folan. Keduanya mempunyai pengalaman bermain dalam liga tahap tertinggi seperti Liga Perdana Inggeris dan memang diakui bakal beraksi cemerlang dalam Liga Malaysia yang carca marba ini. Cuma apa yang merisaukan ialah mereka berdua ini dikelilingi oleh pemain-pemain yang 'tak berapa nak ada'. Tetapi peminat pasukan ini tidak perlu risau dengan hadirnya satu susuk yang cukup dikenali dengan pelbagai kontroversi...Peter Butler akan menjulang T-Team ke puncak kejayaan. Yeay!!!



6. TERENGGANU mencari hala tuju.


Pada tahun 2011, ia adalah milik Terengganu. Namun pada 2012 semuanya berbeza. Prestasi yang menjunam membawa kepada rombakan besar-besaran di dalam pasukan ini. 10 pemain digugurkan manakala jurulatih baru Elavarasen dibawa masuk. Jelas selepas ketiadaan Irfan Bakti, pelbagai musibah melanda Terengganu. Walaupun penyu sebenarnya bukanlah haiwan yang ganas tetapi Terengganu masih terus memastikan bahawa jolokan kuasa bolasepak Pantai Timur bukan milik Kelantan secara mutlak. Mungkin gandingan dari skuad Piala Presiden dan pemain senior Terengganu pada musim ini akan mampu mengangkat nama mereka sekali lagi sebagai antara pasukan yang digeruni.


7. DARUL TAKZIM dan Fazura berpisah tiada


Menukar nama pasukan adalah tidak semudah menukar pasangan. Mungkin dek kerana tabiat luar padang, maka ianya terbawa-bawa ke dalam urusan pentadbiran bola sepak. Pasukan Darul Takzim musim ini muncul antara pencabar utama dalam perebutan setiap kejohanan yang dipertandingkan di Malaysia. Setelah 20 tahun orang-orang Johor hanya mampu berhibur di Danga Bay, kini mereka boleh menambah aktiviti menonton bola di Stadium bagi memenuhi jadual mingguan mereka. Ada cakap-cakap yang mengatakan pasukan ini hanya gah pada nama pemain-pemainnya sahaja. Tetapi ianya terpulang kepada bagaimana cara Fandi Ahmad untuk 'mengorek' bakat pemain-pemain bintang Harimau Malaya ini supaya menjadi penguasa sebenar Harimau Selatan!!!!



8. FELDA UNITED pasukan pilihan Makcik dan Pakcik Felda.


Bila sebut sahaja pasal Felda, ia tidak mungkin dapat dipisahkan dengan kosakata 'SAHAM'. Seperti biasa juga saya akan berkata seperti ini "Meningkatnya persembahan pasukan Felda United dalam kancah Liga Malaysia adalah berpunca daripada kenaikkan mencanak saham Felda Global Ventures di dagangan saham". Ia jelas seperti laporan daripada Buletin Utama TV3 bukan? Tetapi memiliki penyerang sehebat Mat Ghaddar untuk musim 2013 ini bukannlah satu gerenti untuk kejayaan pasukan FELDA. Ada kemungkinan juga FELDA akan menjadi sebagai pasukan pelengkap jadual Liga Malaysia sahaja dek kerana kekaburan matlamat sebenar mereka wujud dalam kancah liga tempatan. Kenapa mereka sibuk untuk bermain bola? Kita tanya sahaja kepada presiden FELDA yang bijaksana itu....


9. LIONS XII pasukan Temasik Agung.


2012 merupakan tahun gemilang bola sepak Singapura. Berjaya menjulang AFF Suzuki dengan penuh angkuh menjadikan mereka sebagai kuasa sebenar bolasepak Asia Tenggara ketika ini. Ada yang mengatakan musim 2013 ini mereka akan menghantar pasukan bawah 23 mereka ataupun lebih dikenali dengan nama manja Singa Muda. Ini demi memastikan pingat emas Sukan Sea 2013 menjadi milik mereka pula. Nampakya mereka masih yakin dengan formula kejayaan beraksi dalam Liga Malaysia. Menjadikan Liga Malaysia sebagai pusat latihan merupakan langkah bijak. Tetapi masih tidak mampu memberi pengajaran buat Rajagopal meskipun mempunyai masa selama satu musim untuk mengkaji taktikal Lions XII. Aku salah tajuk ke?


10. NEGERI SEMBILAN musohyo abih binaso!!!



Jang mahu beri peringatan. Nanti jangan kata Jang tak cakap. Jang kalau dah cakap kolumpo ni maknenyer Jang serius. Musim ini Jang memang betul-betul serius. Jang dah siapkan parang! Bukan! Jang bukan nak tetak orang. Jang nak ke kebun doghoyan di Ipoh. Jang dengar musimnya dah sampai, buahnya ranum dan peroi. Jang nak makan deghoyan ramai-ramai dengan Ultra Jang. Tu yang Jang bawak parang! Adat ke kebun deghoyan la kan. Jang juga dah bersiap hendak ke Legoland. Dengar cerita ada Fazura!! Jang Rombau mali tarak sombong, jumpa luar boleh tegur, Gedebe, Yob, Lebah, Lipan, Penyu, Gajah Duduk semua kawan Jang. Kita semua main bola bukan nak berperang. Okay jupe kek sanun!!!


11. PAHANG dengan nafas baru tanpa bau.


'Pahang not DEAD...'  bangang macam mana pun bola sepak Pahang, ia akan tetap sentiasa datang menghantui jiwa raga kita semua. Kembali ke Liga Super selepas semusim beraksi di Liga Perdana membuktikan Pahang sememangnya pasukan yang berdaya saing. Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu membeli pasukan lain dan menamakannya dengan Darul Makmur. Jelas mereka telah berusaha keras untuk kembali beraksi dalam liga utama di Malaysia. Namun kehilangan status sebagai Penguasa Mutlak Pantai Timur kepada Kelantan dan Terengganu membuktikan masih banyak 'kerja sekolah' yang perlu dilakukan oleh Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hasan untuk musim ini.


12. SELANGOR PKNS pelengkap jadual.


Memang sukar untuk menyediakan data persediaan pasukan PKNS ini. Jika disuruh Azlan Johar sekalipun sudah pasti tergaru-garu kepala beliau. Tetapi jangan dipandang lekeh pasukan ini. Mereka berjaya membuat pembelian berkualiti dengan menandatangani Reshafiq Alwi, Zamri Morshidi serta pemain import Patrick Ronaldinho yang juga merupakan penjarin terbanyak Liga Perdana musim 2012. Dengan hanya bersandarkan kebijaksanaan Tuan Haji Abdull Rahman, nescaya pasukan PKNS akan sedikit jahanam untuk menghabiskan musim 2013 ini dengan cemerlang. Apa yang mampu mereka lakukan adalah berusaha, berdoa dan bertawakal. Bukankah begitu lebih baik...


Serba ringkas jadual pertandingan Liga Malaysia 2013

Piala Sumbangsih - 5 Jan 2013.
Kelantan vs ATM

Liga Perdana - 7 Jan 2013.

Liga Super - 8 Jan 2013.

Piala FA 2013 - 25 Jan 2013.

1 comment:

  1. tgk update bola sepak liga super dan liga premier disini
    http://sepaktonjol.blogspot.com/

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...