Wednesday, March 27, 2019

Dari Kaki Ke Pena Hitam: The Pengurus II

Dari Kaki Ke Pena Hitam: The Pengurus II

 

Steven Gerrard.

Setakat hari ini tugas Gerrard sebagai seorang pengurus berjalan lancar. Dari 42 perlawanan beliau bersama Rangers, 22 daripadanya menang, 13 seri dan hanya 7 kekalahan yang dialaminya. Secara matematik mudah ia bersamaan dengan 52.38% kemenangan menjadi milik beliau. Handal jugaklah. Kheeeen..

Ketika masih bergelar sebagai seorang pemain, segala jenis piala telah beliau julang kecuali trofi Juara Liga Perdana Inggeris. Paling hampir ialah pada tahun 2014, namun Gerrad gagal merealisasikan impiannya setelah tergelincir ketika bertemu Chelsea.

Gerrard kini berusia 38 tahun. Masih muda dan punyai banyak masa untuk mengumpul pengalaman dan kembali semula ke Anfield seterusnya menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool sebagai seorang pengurus yang berwibawa dan terampil.


Claude Makélélé

'Makélélé role' sebagai seorang pemain bola sepak berkali ganda lebih hebat berbanding 'Makélélé role' sebagai seorang pengurus. Kenapa aku berani berkata seperti ini? Hah?

Ini kerana sejak beliau memulakan karier sebagai sang pengurus di Bastia pada Mei 2014, Makélélé masih belum merasai nikmat kejayaan sebenar sebagai seorang pengurus. Ini kerana tidak sampai 6 bulan menjadi pengurus Bastia beliau telah dipecat. Kesian.

Kemudiannya antara Januari 2016 sehingga Januari 2017, beliau telah berkhidmat sebagai pembantu jurulatih di PSG, pengarah teknikal di AS Monaco dan sekali lagi sebagai pembantu jurulatih - kali ini bersama Swansea pula. Bolehlah dikatakan ini sebagai proses awal pembelajaran beliau selepas kegagalan di Bastia.

Tanggal Nov 2017, beliau telah menjadi pengurus pasukan Eupen - kelab bola sepak Liga Belgium. Berjaya mengekalkan pasukan ini daripada turun divisyen pada musim pertamanya. Dan hari ini berada di tangga ke-11 daripada 16 pasukan. Bergelut jugaklah tu kan? Aduhai Makélélé..

Brad Friedel.

Penggemar sebenar Liga Perdana Inggeris ataupun dalam kata yang lain peminat EPL, pastinya kenal benar dengan nama ini. Karier Friedel yang amat nomad di England membolehkan beliau merekodkan 310 perlawanan dengan mewakili 4 pasukan sepanjang tempoh dari tahun 1997 hingga 2015.

Sebagai tambahan buat pedoman semua, beliau pernah menjaringkan satu gol ketika mewakili Blackburn Rovers. Ianya hadir dalam satu perlawanan yang penuh dramatik menyaksikan Blackburn tewas 2-3 kepada Charlton di masa kecederaan. Menitis air mata mengenangkan semangat Blackburn yang dibunuh kejam pada saat-saat akhir perlawanan.

Selepas bersara di Spurs pada tahun 2015, Friedel mula berjinak-jinak dalam dunia pengurusan dengan melatih pasukan anak muda Amerika Syarikat pada tahun 2016. Awal November 2017 pula beliau disunting oleh pasukan New England untuk menjadi pengurus sepenuh masa mereka.

Friedel bolehlah dikatakan masih hijau dalam arena pengurusan. Namun tahun lepas berjaya meletakan New England di tangga ke-8 dalam Eastern Conference di Major League Soccer. Satu pencapaian sederhana baik berdasarkan pengalaman yang beliau miliki.

Friedel untuk Amerika?


The Pengurus - Paul Scholes. 

Tempoh jodoh Paul Scholes dan Oldham Athletic hanya berkekalan selama 31 hari dan 7 perlawanan. Sangat sedih. Seterusnya ini adalah antara rekod tempoh tugasan paling pendek dalam sejarah bola sepak moden yang berasaskan VAR. Cheeeewaaaah..

Info mengatakan Paul Scholes dan pemilik kelab Oldham, Abdallah Lemsagam tidak sehaluan dan 'talak' antara mereka terlerai melalui satu pesanan ringkas dalam talian.

Sebelum ini sekitar musim 2013-2014, Scholes bersama-sama Nicky Butt menjadi anggota kejurulatihan pasukan bawah-19 tahun Manchester United. Scholes kemudiannya pada tahun 2015 diumum sebagai 'caretaker managers' untuk pasukan Salford City - kelab bola sepak milik secara berjemaah 'Class of 92' yang terdiri daripada Neville bersaudara, Paul Scholes sendiri, Nicky Butt, Ryan Giggs dan David Beckham. Dengan setiap daripada memilliki 10% saham perkongsian bersama-sama 40% daripada Peter Lim.

Setakat hari ini masih tidak diketahui arah tuju Scholes dalam dunia pengurusan. Adakah beliau akan melakukan kebangkitan semula ataupun lebih selesa duduk bersantai di halaman rumah sambil mengira jumlah wang simpanan pekerjanya?





Wednesday, January 30, 2019

Dari Kaki Ke Pena Hitam: The Pengurus I

Dari Kaki Ke Pena Hitam: The Pengurus

Frank Lampard. 

Satu susuk yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Disukai kawan, disenangi lawan. Seorang anak muda yang cekal hati datang dari West Ham dan berkelana ke Stamford Bridge. Sejak dari itu Lampard mula membina reputasinya sebagai lagenda The Bleus.

Berdasarkan pemerhatian aku sendiri, sebagai seorang pemain beliau sangat berjaya bersama Chelsea, tetapi tidak apabila ketika beraksi untuk England. Kini sebagai seorang pengurus, Lampard adalah antara nama yang dijangka bakal menyerlah pada masa hadapan dalam arena pengurusan. Mungkin namanya akan sebaris dengan lagenda JDT, Luciano Figueroa.




Ole Gunnar Solskjaer. 

Sekiranya aku tidak salah, rekod Ole Gunnar di Liga Perdana Inggeris sebagai seorang pemain bola sepak ialah - 235 penampilan, 91 gol, 144 kemenangan, 39 kekalahan dan 6 kejuaraan liga. Masyaallah..urut dada aku dibuatnya.
Beliau yang turut digelar 'baby face' ini adalah antara 'super sub' paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia selain daripada Rusdi Suparman. Ole kembali ke Old Trafford dalam usaha mengembalikan air muka pemuja Syaitan Merah yang dicalit lumpur oleh Jose Mourinho.

Sejak kedatangan Ole, Manchester United belum tewas, Rashford semakin menjadi-jadi, kelahiran semula Pogba, De Gea melakukan 11 aksi menyelamat dalam satu perlawanan, Phil Jones dapat 2 'clean sheets', seri dengan Burnley dan kini sedang dalam proses mengejar 'top 4' Liga Perdana Inggeris.

Ya! Secara peribadi aku merasakan jodoh Ole dengan Manchester United kali ini akan lebih panjang daripada ketika hayatnya sebagai seorang pemain. Percayalah. Letak duit atas meja judi.

Thierry Henry 

Sebagai seorang pemain Henry telah mengecapi pelbagai kejayaan, antaranya Juara Piala Dunia dan Piala Eropah. Anugerah peribadi pula sangatlah banyak. Tak terkira dek jari tangan. Namun adakah ini kunci untuk beliau sukses dalam arena pengurusan? Jawapannya..tidak ye tuan-tuan.





Khabarnya taktikal yang tidak konsisten dan bercelaru serta beberapa tindakan dan keputusan yang kurang matang, adalah antara penyebab kegagalan beliau dalam percubaan pertama sebagai seorang pengurus bola sepak.

Adakah kita akan dapat melihat lagi kelibat Henry sebagai seorang pengurus? Ataupun Henry akan mengikut jejak langkah malang Makelele? Hanya Tuhan sahaja yang tahu. 

Santiago Solari. 

Aku memang tidak berapa minat dengan Solari ketika hayatnya sebagai seorang pemain bola sepak dahulu. Dengan rambut basah belah tengah, tidak banyak yang dapat ditawarkan oleh Solari selain daripada kaki kirinya yang boleh tahan berbisa. Tambahan pula ketika itu beliau terpaksa bersaing dengan galatico lain seperti Luis Figo sepanjang tempoh beliau bersama Real Madrid dari 2000 hingga 2005.

Solari tiba di Santiago Bernabeu bagi menggantikan Julen Lopetegui yang ternyata gagal dalam tugasannya. Meneruskan legasi yang ditinggalkan Zidane dan Ronaldo bukanlah satu kerja yang mudah. Namun Solari setakat ini dilihat berjaya mengharungi cabaran di Real.

Tetapi rasanya Real Madrid pasti tidak akan mengekalkan beliau untuk musim hadapan. Biasalah..Real-kan gemar bertukar salin pengurus. Tidak mengapalah Solari. Mana tahu satu hari nanti boleh menguruskan pasukan kebangsaan Argentina pula. Kan?

Tuesday, November 6, 2018

Piala Suzuki 2018: Malaysia Bakal Melangkah Sebagai Juara.

Pagi ini aku bangun dalam keadaan paling harmoni serta terampil. Bukan seperti malam-malam yang sebelum ini. Tiada mimpi ngeri dikunjungi 'bend-neck lady'. Aku bingkas bangun dan menggeliat seperti kura-kura baru selesai qada' hajat. Lega. Urat sarap yang tersimpul rapi terasa ringan. Lalu aku lepaskan satu kuapan bagaikan singa aslan yang kekenyangan rusa. Comel.

Dalam kedudukan menghadap timur, aku termenung di hujung katil. Kaki yang terjuntai aku hanyunkan ke depan dan ke belakang. Memandang sendu almari baju di hadapanku. Dua tiga kali aku terkebil-kebil melihat jersi Harimau Malaya versi 2010. Imbasan kejayaan skuad bimbingan Rajagopal segera terpampang bagaikan 'slide-show' pembentangan projek semester akhir sebuah kolej swasta. Dari perlahan kepada laju. Laju. Laju. Semakin laju. Akhirnya ia hilang menjadi debu. Hitam. Aku mengeluh panjang apabila mengenangkan tak berapa hari lagi pasukan Malaysia akan turun bertarung tenaga dalam kejohanan Piala Suzuki 2018.

Apakah jenis pasukan yang menjadi taruhan Tan Cheng Hoe untuk beraksi dalam kejohanan ini? Pasukan muda berdaya saing? Pasukan veteran berpengalaman? Atau sekali lagi sebuah pasukan rojak yang menjadi persembahan sarkis? Dan bakal ditertawakan selepas tamat kejohanan?

Seperti biasa juga ada nama-nama yang kononnya hebat tetapi tidak terpanggil menjadi zikir bualan seluruh peminat bola sepak Malaysia. Brendan Gan, Insa bersaudara, Lee Tuck, Faiz Nasir, Corbin Ong dan Azam Azih antaranya. Betulkah mereka semua ini lebih berhak berada dalam skuad Malaysia? Hah?

Namun begitu Tan Cheng Hoe nampaknya mempunyai perancangan yang tersendiri. Kita juga perlu hormat dengan pilihan pemain beliau. Jika menjadi, baguslah. Jika hancor lodoh, tunggu maki jelah. Siapa yang menjadi pilihan Tan Cheng Hoe? Hah? Mari aku ceritakan serba ringkas. Hiaaaaaaap!

Bermula di posisi penjaga gol kita ada Apek, Hafizul Hakim dan Farizal Marlias. Dari segi pengalaman, Apek dan Farizal mempunyai kelebihan berbanding Hafizul Hakim. Tetapi selepas melihat aksi Hafizul pada perlawanan akhir Piala Malaysia tempohari, kita semua wajar berasa risau kerana pemain ini berpotensi melakukan aksi-aksi seperti Romero Manchester.

Sejak zaman Rita Rudaini masih lagi panas sehinggalah menjadi janda beranak dua, pasukan bola sepak Malaysia tidak pernah berasa jemu bergantung harap kepada Aidil Zafuan. Tak faham aku. Namun begitu aku merasakan ini juga peluang terbaik buat Shahrul Saad menampilkan diri sebagai masa depan pertahanan tengah negara. Menambah rencah dalam senarai barisan pertahanan Malaysia antaranya ialah Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria, Andik Vermansyah, Syahmi Safari dan Nazirul Naim.

Biar aku sebutkan nama-nama yang dipanggil untuk mengisi barisan tengah. Syamir Kutty, Akram Mahinan dan Kenny Palraj. Apa macam? Boleh pergi jauh tak? Atau nanti barisan tengah pemain Malaysia akan hanyut ke laut dalam?

Sedikit senyuman manis terukir di bibir munggil ini apabila melihat senarai pemain sayap Malaysia. Safawi Rashid, Akhyar Rashid, Sumareh dan juga Syazwan Zainon. Melihat kepada aksi sepanjang musim ini, bolehlah kita sandarkan harapan kepada mereka ini semua. Tidak banyak, sedikit pun jadilah.

Di samping itu, dua orang pemain veteran - Mat Yo dan Zaquan Adha akan mengetuai barisan serangan Malaysia. Mereka berdua akan diiringi oleh Shahrel Fikri, Hazwan Bakri dan Syafiq Ahmad. Berbisa jugaklah jika dilihat sekali imbas senarai penyerang-penyerang yang dipanggil kali ini.

Apa macam? Selepas melihat senarai pemain, kita boleh mengagak dari segi taktikal bagaimana corak pernainan yang akan Tan Cheng Hoe serapkan kelak. Sama ada berhasil ataupuk tidak, sama-samalah kita tunggu dah lihat.

Dan aku berasa yakin bahawa Malaysia Bakal Melangkah Sebagai Juara........kumpulan.


Wednesday, October 10, 2018

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Kiblat Bola Sepak Malaysia Berubah Lagi.

Hendak dijadikan cerita, beberapa hari yang lepas ada rakan sepermainan aku bertanya dalam nada yang santun, apa sudah jadi dengan Mata Pena Si Hitam? Masa Piala Dunia hari tu aktif kemain. Lepas Piala Dunia? Maneeee? Maneeee?

Aku yang mendengarnya hanya diam tertunduk lesu. Takkanlah aku nak sembang pasal Chelsea? Sudahlah main liga kedua Eropah. Buat malu bangsa ajek. Tapi sebenarnya ada jugak terdetik rasa gian nak mengarang pasal bola panjang-panjang. Cuma kekangan masa dan juga tanggungjawab selaku bapak yang berwibawa menjadi faktor penghalang. Hiaaaap!

Apa yang aku perasan dua tiga minggu ini bola sepak Malaysia seperti biasa haru biru. Caca marba. Ghoplah jingga. Banyak cerita yang tak sedap berbanding yang lazat. Antaranya Malaysia gagal layak ke Piala Dunia U-16 di Peru. Ini lumrah. Aku tak faham kenapa ramai yang menggelabah tetek. Gaji Lim Teong Kim didedahkan kepada umum. Habis 'PNC' dilanggar si Menteri Debat. Kedudukan LTK pula masih menjadi tanda tanya. Selain itu padang dan kelengkapan Akademi Mokhtar Dahari juga berada dalam keadaan yang menyedihkan. Sendu. Melihat kepada siri baharu drama bola sepak Malaysia ini bermakna lama lagilah kita nak maju dalam sukan yang menjadi raja di dalam hati kita semua.

Aku nak tanya secara jujur. Sila jawab dalam hati juga secara tulus mulus. Sebenarnya bola sepak Malaysia ni masih boleh diselamatkan lagi atau tidak? Apa yang telah FAM dan segala mak nenek yang terlibat dalam pembangunan bola sepak Malaysia telah lakukan sepanjang ditugaskan untuk memelihara sukan kesayangan kita ni? Patutkah usia NFDP yang baru 4 tahun ini menjadi kayu pengukur masa depan bola sepak negara?

Ambil contoh Jerman. Mereka menjulang Piala Dunia 2014 selepas 10 tahun merangka pelan yang dinamik diketuai oleh Jurgen Klinsmann. Belgium pula bukan baru setahun dua berjaya melahirkan pemain seperti Thibaut Courtois, Dries Mertens, Kevin de Bruyne, Mousa Dembele, Steven Defour, Axel Witsel dan Nacer Chadli. Info di alam maya mengatakan usaha mereka bermula sekitar tahun 1998 hingga 2002. Maka akhirnya negara yang memiliki 11 juta penduduk dan 34 kelab bola sepak professional ini berjaya menduduki tangga ke-3 Piala Dunia 2018 yang lepas.

Sementara itu di Malaysia pula jurulatih kebangsaan pelbagai peringkat umur datang dan pergi bagai cinta yang tak sempat berputik dah terpaksa ditinggalkan. Begitulaaah.

Baiklah. Adakah akan ada lagi program bola sepak 'kosmetik' yang akan diperkenalkan untuk menjadi ubat penyedap hati kepada rakyat Malaysia?

Masih laratkah bagi kita yang cintakan bola sepak ini terus-menerus melayan siri kegagalan dan drama yang tiada kesudahan? Banyak betul persoalan yang perlu kita jawab. Oleh itu marilah kita semua bertaubat.


Friday, July 27, 2018

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menteri Debat.

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menteri Debat.

Beberapa hari yang lepas aku ada melepak dengan seorang sahabat lama. Kami berdiskusi tentang beberapa perkara. Antaranya perihal surat Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Ya, selaku lelaki dewasa berwatak abah-abah, hal sukan antara menjadi tajuk perbualan selain perihal Antu Tetek yang semakin serius menyerang penempatan kami. Yang ini aku bohong. Tak payahlah percaya.

Selepas dibaca secara teliti surat KBS tersebut, memang ada banyak kesalahan tatabahasa. Secara peribadi aku tolak tepi sahaja masalah ini. Sebabnya yang duk kondem tatabahasa surat tu pun menaip serupa Mat Minah Cendol Rempit. Kalau mengeja cantik dan penuh tu takpelah nak kondem surat tersebut. Kheeen?

Yelah..dari segi fakta memang banyak yang salah. Biasalah budak baru. Beliau bukan kena jaga sokan bola lisut ataupun ping pong sahaja. Malahan keseluruhan sukan di Malaysia. Sangat berat bukan?

Lama sebelum KJ jadi Menteri KBS dulu dia dah buat macam-macam. KJ bersama Jason Lo, Bojan Hodak dan Shebby Singh menubuhkan My Team di mana KJ menjadi pengerusinya. KJ juga pernah memegang tampuk Bendahari Kehormat Perak FA untuk musim 2006-2008 dan pada Oktober 2007, KJ dipilih menjadi Naib Presiden FAM. Cuba bandingkan pula dengan Menteri Debat. Anda nilaikan sendiri.

Berbalik semula kepada hal surat tadi. Bahaya jugak sekiranya surat sebegini menjadi bukti awal campur tangan kerajaan pemerintah kepada bola sepak Malaysia. Kalau kena gantung dengan FIFA tak ke harok? Ini perkara asas yang Menteri Debat kena tahu. Lagi satu, takkan aku nak kena melayan Leong Mun Yee dan Farah Ann Hadi? Mana tak dapat tempurung kelapa nanti?

Nota Si Hitam: Sebenarnya aku terus terasa seperti orang bodoh sebaik sahaja tamat Piala Dunia tempohari. Nak menengok bola Malaysia lagilah tak berselera. Takkan aku nak kena melayan Leong Mun Yee dan Farah Ann Hadi? Mana tak dapat tempurung kelapa nanti?


Friday, July 13, 2018

Perlawanan Akhir Piala Dunia 2018: Perancis Melawan Croatia


Perlawanan Akhir Piala Dunia 2018: Perancis Melawan Croatia.

MEMOIR 1998 BERULANG KEMBALI

Perlawanan akhir Piala Dunia 2018 akan menemukan dua pasukan yang berbeza reputasi iaitu Perancis, bekas juara Piala Dunia 1998 dan pasukan paling kental buat masa ini, Croatia. Selepas puas bergelumang dengan rendang ayam, bola sepak, lemang, bola sepak, akhirnya inilah detik yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat bola sepak dunia.

Sebelum ini kedua pasukan telah bertemu sebanyak 5 kali. Perancis menang 3 perlawanan dan lainnya mereka seri. Ini bermakna Croatia tidak pernah berjaya menewaskan Perancis.  Statistik yang boleh membawa padah sekiranya Perancis terlampau bersandar pada kenangan.

Pertemuan pertama kedua pasukan ini ketika peringkat Separuh Akhir Piala Dunia 1998 adalah yang paling meninggalkan kesan. Croatia ketika itu masih hijau sebagai sebuah negara yang menyepak bola. Kemaraan mereka tersekat dek kehebatan dua jaringan Lilian Thuram. Perancis menang 2-1 dan mara ke akhir. Manakala Croatia menewaskan Belanda untuk mendapat tempat ke-3.

Nah! Selepas 20 tahun kedua pasukan ini ditakdirkan untuk bersemuka kembali dalam perlawanan akhir yang semestinya penuh dengan aksi. Perlawanan yang ke-64 ini bakal menjadi penutup Piala Dunia yang paling mendebarkan. Kau orang percaya tak apa yang aku cakap ni?

MENITI JALAN KE FINAL

Perancis melangkah ke perlawanan akhir selepas berjaya menundukkan Belgium dengan skor 1-0. Ramai yang mengatakan Perancis memakir bas dan bermain bola sepak negatif selepas mereka berjaya membolosi gawang Belgium. Namun bagi aku Les Bleus telah menunjukkan kepada dunia bahawa mereka juga pakar dalam seni bertahan. Bukankah pasukan Itali selalu berperangai sedemikian? Dan tiada siapa pula yang marah, malahan kagum lagi adalah.

Croatia pula menyahut seruan Perancis selepas menewaskan England dengan skor 2-1. Ivan Perisic dan Mario Mandzukic muncul wira apabila berhasil menjaringkan gol meskipun ketinggalan dalam separuh masa pertama. Mereka meleburkan impian umat England sekaligus Croatia mara sebagai sebuah negara paling kecil yang pernah menjejak kaki ke perlawanan akhir. Skuad yang dikenali dengan gelaran The Blazers hari ini sudah bersedia menjadi juara serta melakar sejarah baru Piala Dunia. 


BENTENG TERAKHIR

Sekali pandang Hugo Lloris adalah ketua pasukan Perancis yang tenang. Jarang kita nampak beliau terpekik marah-marah tidak tentu hala. Cukup hanya dengan aksi kemas dan tepisan tangkas, Varane dan Umtiti terus bertaubat dan fokus pada kerja-kerja bertahan. 

Kini reputasinya sebagai salah seorang penjaga gol tebaik dunia kembali mencanak naik di bumi Russia dan ianya semakin terserlah ketika mereka menewaskan Belgium. Jika tidak kerana beliau, Belgium paling kurang pun sudah berjaya menyumbat 3 gol dalam masa 30 minit permainan.

Paling terkesan ialah pada minit ke-22 apabila Lloris menepis keluar sepakan kaki kiri rakan sepasukannya di Spurs iaitu Toby Alderweireld. Seluruh 'socmed' gempita. Memetik satu tweet yang berbunyi hambar...

“Hugo Lloris can save PDF on calculator !!”

Semasa ulasan peringkat separuh akhir aku memilih Danijel Subasic sebagai pemain yang perlu diberikan fokus dan antara yang paling berjasa dalam skuad Croatia. Ketika bertemu England beliau mempamerkan aksi yang kemas dan cekap meskipun masih bergelut dengan masalah kecederaan. 

Pada usia 33 tahun mungkin beliau sudah agak berusia untuk beraksi dengan Croatia empat tahun akan datang di Qatar. Harapnya Subasic akan beroleh pengakhiran karier yang manis dan penuh bermakna.



PERTAHANAN YANG JITU

Dejan Lovren mengatakan dirinya sebagai antara pertahanan terbaik dunia dan hanya The Kops yang percaya. Betul ke ni? Ataupun kehebatan Lovren sebenarnya banyak dipengaruhi oleh persembahan Domagoj Vida yang lasak dan kental? Sekali imbas keserasian mereka berdua sangat terserlah. Maka tidak hairanlah Liverpool menghantar risikan untuk membeli Vida pada harga £18 Juta.

Bersama kedua pemain ini ialah Šime Vrsaljko dan Ivan Strinić yang menggunakan segala pengamalan mereka beraksi dengan Altletico Madrid dan AC Milan untuk melindungi serta melakukan bantuan serangan kepada pasukan Croatia. Tentu kita semua masih ingat bagaimana Kieran Trippier dan Ashley Young semput nafas untuk bertahan apabila Croatia sudah mula masuk hantu dan menyerang England secara bertubi-tubi pada perlawanan yang lepas.

Raphaël Varane dan Samuel Umtiti adalah duo el clasico yang masih tinggal di Piala Dunia ini selepas Gerard Pique dan Sergio Ramos pulang bungkus dalam cara yang memalukan. Tidak perlulah kita menidakkan kemampuan Varane dan Umtiti ini. Kemuncak aksi mereka berdua terbukti pada pertemuan dengan Belgium tempohari. Manakala Benjamin Pavard dan Lucas Hernández mestilah lebih bersedia dan beraksi matang untuk menghalang kemaraan Ivan Perisic dan Ante Rebic.

PERTEMBUNGAN BAHAGIAN TENGAH

Didier Deschamps perlu menurunkan gandingan Blaise Matuidi, N'Golo Kanté dan Paul Pobga sekiranya ingin memenangi pertarungan di bahagian tengah padang. Aku berpendapat Corentin Tolisso belum bersedia untuk berdepan dengan tugas seberat ini. N'Golo Kanté akan ditugaskan untuk bertahan secara kemas dan tenang. Sementara itu, Blaise Matuidi dan Paul Pobga pula diberi kebebasan untuk membantu serangan namun masih ada hadnya iaitu menyerang menggunakan akal. Sebut pasal akal ni, aku cuma risaukan Paul Pogba sahaja. Maklumlah kaaaaan...

Jika mereka bertiga mampu bermain secara efisyen dan klinikal dihadapan gol, pastinya amat sukar buat Croatia menangani mereka.

Tetapi malang pula buat Perancis apabila mereka terpaksa berhadapan dengan dewa-dewa pemain tengah dunia seperti Ivan Rakitić, Marcelo Brozović, Luka Modrić dan mungkin juga Mateo Kovačić. Dan sepanjang Piala Dunia ini mereka telah membuatkan Obi Mikel, Messi, Eriksen dan Dele Alli berbuih mulut dan terkulai layu. Masa untuk Perancis pula merintih di hujung perlawanan?


RANGKAIAN SERANGAN

Perancis memiliki Penyerang Terbaik Dunia-Olivier Giroud, sensasi baru Kylian Mbappé dan juga Antoine Griezmann. Mbappé dan Griezmann masing-masing sudah menjaringkan 3 gol. Cuma Giroud sahaja yang masih menunggu momen terbaiknya untuk melakukan jaringan gol bertahap kelas dunia. Sabar semua. Tidak perlulah menggelabah ayam mengkritik beliau.

Pasukan Croatia pula mempunyai Ivan Perisic dan Ante Rebic yang bertenaga kuda serta serta Mario Mandžukić yang begitu tajam dalam petak penalti. Tiga serangkai ini bagaikan hilang akal apabila sudah mendapat rentak permainan mereka. Jika tidak dikawal selia pergerakan mereka, Perancis berada dalam keadaan bahaya.

LES BLUES ATAU NEGARA BALKAN

Sejak dari awal lagi aku memilih Perancis untuk memenangi Piala Dunia 2018. Mereka hadir ke Piala Dunia ini dengan reputasi skuad yang berbakat. Susah untuk kita menidakkan fakta di atas kertas bahawa pasukan Perancis adalah lebih baik daripada Croatia. Tetapi harus diingat selalu ini adalah edisi Piala Dunia yang penuh dengan kejutan. Ramai peramal dan penjudi tertipu dalam kekalahan.

Kemudian kita ambil kira pula pasukan Croatia yang terpaksa bermain lebih 30 minit ketika menewaskan Denmark, Russia dan England. Manakala Perancis pula bermain sehari sebelum itu dan semuanya selesai dalam masa 90 minit. Masih adakah tenaga simpanan rahsia dalam diri pemain-pemain Croatia?

Sebenarnya tidak patut untuk kita menafikan peluang Croatia dalam perlawanan ini. Kita sudah lihat bagaimana Argentina berdarah hidung diterajang Croatia. Dan sekiranya Croatia ingin mengejutkan Perancis, mereka perlu mengerah seluruh kudrat bagi menjadi Juara Piala Dunia yang baru. Oh! Indah sungguh jika ada negara baru yang menjuarainya.

Bagaimana sekarang? Perancis atau Croatia?

Bersama-samalah kita tunggu. Selamat Menonton!!! Seperti biasa juga terimalah kata-kata semangat ini.. 'Majulah Bola Sepak Untuk Semua Kecuali Malaysia'. 

Thursday, July 12, 2018

Tempat Ketiga dan Keempat Piala Dunia 2018: Belgium Melawan England




Tempat Ketiga dan Keempat Piala Dunia 2018: Belgium Melawan England.

Selepas bertarung dalam 6 perlawanan dengan bertemu pelbagai lawan dari benua Asia, Afrika, Amerika Selatan, Amerika Utara dan sesama Eropah, akhirnya inilah penamat bagi pasukan Belgium dan England.

Belgium yang hadir dengan reputasi Generasi Emasnya hanya akan bertarung untuk merebut gangsa. Manakala England pula perlu akur pasukan muda mereka ini masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Kedua pasukan telah bertemu pada peringkat kumpulan yang mana ia telah dimenangi oleh Belgium dengan skor 1-0 hasil jaringan Adnan Januzaj.


PELUANG TERAKHIR GENERASI EMAS BELGIUM

Empat tahun lepas Belgium juga gagal menepati sasaran awal sebagai pasukan berpotensi untuk menjulang Piala Dunia. Mereka tewas kepada Argentina juga dengan skor 1-0 pada peringkat suku akhir hasil jaringan Higuain. Masa ni Higuain hebat lagi. Tahun ni dah bertukar jadi memerang. Takpelah, kita lupakan pasal beliau.

Ya, dan pada edisi 2018, ia dilihat sebagai peluang terakhir kumpulan pemain ini yang kebanyakan usianya hampir mencecah 30-an. Selepas mereka bergaya menewaskan pasukan Brazil, seluruh dunia yakin inilah pasukan juara. Malangnya mereka ditewaskan pula oleh Perancis. Kali ini seantero Malaya yang baru hendak berjinak menyokong Belgium terbungkam kemaluannya.

Mungkinkah pasukan Belgium ini akan menjadi seperti Generasi Emas Portugal? Seperti yang kita tahu, Generasi Emas Portugal tidak menjuarai apa-apa kejohanan utama. Mereka sekadar layak ke Separuh Akhir Piala Eropah 2000, meraih tempat kedua empat tahun selepas itu dan menjadi semifinalis Piala Dunia 2006 (keempat). Nama-nama seperti Luis Figo, Rui Costa, Victor Baia, Nuno Gomes dan Deco antaranya berlalu bagai angin sendu tanpa kejuaraan Piala Eropah dan Piala Dunia.


Adakah Eden Hazard, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku akan menamatkan riwayat bola sepak mereka tanpa Piala Dunia? Jika tanpa Piala Dunia pun mereka boleh menjadikan Piala Eropah 2020 sebagai sasaran seterusnya agar tidak sangap daripada sebarang kejuaraan utama bersama pasukan Belgium.

BALIK! DAN ENGLAND BETUL-BETUL BALIK

Berbeza dengan Belgium, pasukan England ini masih muda dan hijau. Pengurusan skuad Singa Bertiga pada awalnya menegaskan ini adalah skuad projek Piala Eropah 2020. Paling tua pun Ashley Young, Gary Cahill (32 tahun) dan Jamie Vardy (31 tahun). 

Tidak dinafikan pemain muda lebih pantas dan bertenaga. Tetapi bertenaga sahaja tanpa konsistensi juga tidak berguna. Inilah risikonya apabila Southgate bergantung harap kepada pemain muda. Kegagalan mengekalkan momentum kemenangan telah menjadikan pasukan England hilang arah tujuan apabila Croatia berjaya menguasai mereka di atas padang meskipun sudah mendahului perlawanan dengan satu gol. Lihat sahaja Marcus Rashford, beliau terpinga-pinga di atas padang apabila masuk menggantikan Jesse Lingard.


Akhirnya perjalanan indah warna-warni England ditamatkan oleh pasukan Croatia yang tidak pernah kenal erti penat. Balik. Dan England betul-betul balik. Namun tanpa Piala Dunia. Gila.

Tidak mengapalah wahai anak muda England sekalian. Sebelum kejohanan bermula tiada siapa pun peduli tentang England. England hanya gah pada nama. England hanya gah pada sejarah. Begitu kata nista yang sering dilemparkan kepada skuad Singa Bertiga ini. 

Tetapi hari ini dari Surrey ke Newcastle membawa ke Jemapoh semuanya tidak henti-henti memuji Danny Welbeck. Eh? Dia ada tak? Pemain Arsenal kot ni. Heh!

ENGLAND A MELAWAN ENGLAND B

Harapnya dalam perlawanan ini kita dapat melihat pemain yang tidak diturunkan sebelum ini diberi peluang bermain. Contohnya Simon Mignolet, Yannick Carrasco, Michy Batshuayi, Jack Butland, Gary Cahill, Phil Jones dan semestinya Danny Welbeck. Kesian Danny Welbeck. Ada juga yang tak tahu beliau adalah satu-satunya pemain Arsenal yang berjaya melangkah ke Separuh Ahir Piala Dunia 2018. 


Hanya akan ada 2 sahaja lagi perlawanan Piala Dunia sebelum ianya menutup tirai tanggal 15 Julai 2018. Bersediakah umat Malaya kembali menengok bola Malaysia? Hah?

Untuk Belgium dan England pula, terima kasih atas keseronokkan yang diberi. Semoga berjumpa lagi di Qatar 2022. Hiaaaaaaap!!!

Wednesday, July 11, 2018

Separuh Akhir Piala Dunia 2018: Croatia Melawan England






Separuh Akhir Piala Dunia 2018: Croatia Melawan England

LALUAN KE SEPARUH AKHIR.

"Its coming home. Its coming home."

Begitulah lafaz umpama zikir yang keluar dari mulut pencinta pasukan bola sepak Singa Bertiga. Dengan komitmen para pemain dan pengorbanan tidak kenal erti lelah, hari ini penyokong England berdarah Malaya sudah berani angkat muka apabila bersua dengan Mat Pahang dan Mat JDT.

Memang tiada siapa menjangka England akan pergi sejauh ini. Aku sendiri meramalkan England hanya mara ke pusingan 16 pasukan terbaik. Dan ini hanyalah separuh akhir yang ke-3 bagi pasukan England selepas mereka berjaya menewaskan Sweden 2-0 dalam aksi yang penuh meyakinkan.

Lawan mereka nanti ialah Croatia - tidak pernah wujud sebagai sebuah negara sehinggalah pada tahun 1991. Pada laga suku akhir menentang pasukan tuan rumah Russia, mereka terpaksa bermain sehingga ke penentuan sepakan penalti selepas seri 2-2.

Memori indah Piala Dunia 1998 bagi negara Croatia kini sudah berteman. Malahan mereka juga boleh menoktahkan kenangan yang lebih manis pada edisi kali ini. Siapa boleh menidakkan kemampuan Croatia untuk bergelar Juara Piala Dunia 2018? Hah? Argentina mereka ratah begitu sahaja dan England wajib menghormati Croatia seadanya jika tidak mahu sejarah tahun 2007 berulang kembali.

SEJARAH PERSETERUAN

Secara peribadi perlawanan yang aku paling ingat melibatkan England dan Croatia ialah pada November 2007. Ia adalah pusingan kelayakan bagi Piala Eropah 2008. Aksi kedua pasukan yang berlangsung dalam cuaca hujan itu berakhir dengan kemenangan kepada pasukan Croatia 3-2. England gagal ke Piala Eropah dan Croatia mara bergaya.

Siapa boleh lupa menengok Steve McClaren berpayung siap dengan secawan kopi di tangan? Mujur aku takde dekat stadium masa tu. Kalau tidak aku mesti dah tikam beliau dengan keris bugis.

Mengikut statistik, secara keluruhannya kedua pasukan sudah bertemu sebanyak 7 kali. England menang 4 perlawanan, 2 lagi berpihak kepada Croatia dan seri satu perlawanan. Dan pada hari ini mereka akan bertemu buat kali ke-8. Siapa yang akan menang? Semuanya bergantung kepada strategi yang diatur oleh tuan pengurus.

KEMATANGAN SOUTHGATE MELAWAN KEAJAIBAN DALIC

England membuat pilihan yang tepat apabila melantik Southgate sebagai pengurus mereka. Keterlibatan Southgate dengan pasukan bawah 21 tahun England ketika Kejuaraan UEFA 2015 sedikit sebanyak memberi faedah yang membawa kepada kejayaan England mara sejauh ini.

Jack Butland, John Stones, Harry Kane, Jesse Lingard dan Loftus Cheek antara nama-nama yang pernah berkerja sama dengan beliau dalam skuad tersebut. Jadi semakin mudahlah tugas Southgate untuk menyampaikan dan melaksanakan taktikal yang beliau kehendaki.

Bagi Dalic pula kejayaan layak ke separuh akhir ini adalah satu perkara ajaib yang berlaku kepada Croatia. Mereka menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan. Kemudiannya menewaskan Denmark dan tuan rumah Russia dalam penentuan sepakan penalti. Seolah-olah nasib baik sentiasa melekat dengan mereka.

Menjelang pertemuan dengan England, Dalic berharap mereka dapat menewaskan pasukan Singa Bertiga dengan penuh bergaya hanya dalam masa 90 minit. Tak larat dah sampai sepakan penalti. Nampaknya Dalic dan seluruh pasukan Croatia kini benar-benar bersedia untuk melakar sejarah baru bagi bola sepak Croatia dan dunia.

PEMAIN FOKUS

England ada bekas ketua pasukan Jordan Henderson yang tidak lagi kalah dalam 30 perlawanan. Harry Kane yang setakat ini sudah menjaringkan 6 gol. Tetapi bagi aku Jordan Pickford, pemain Everton yang berusia 24 tahun adalah antara pemain yang paling menonjol dalam skuad England kali ini. Kenapa Pickford?

Beliau menjadi hero penyelamat sepakan penalti ketika menewaskan Colombia selepas menafikan gol daripada Carlos Bacca. Pickford kemudian mengulangi kehebatannya dalam pertemuan dengan Sweden apabila melakukan 3 aksi menyelamat tahap dunia. Tidak ragu lagi kini nama Pickford boleh duduk sebaris dengan lagenda sebelumnya seperti Gordon Banks, David Seaman dan Peter Shilton.

Bagi pasukan Croatia pula aku merasakan Danijel Subasic adalah pemain yang perlu diberi pujian ke atas persembahan hebatnya sepanjang Piala Dunia 2018 ini berlangsung. Raja Penalti Croatia ini menjadi wira ketika menundukkan Denmark dalam pusingan 16 pasukan terbaik apabila menyelamatkan 3 sepakan penalti.

Semasa melawan Russia pula, beliau beraksi dalam keadaan tercedera pada masa tambahan dan tidak mahu dikeluarkan. Pengorbanan beliau berhasil membawa Croatia ke pentas separuh akhir untuk bertemu dengan pasukan England.

ENGLAND ATAU CROATIA?

Modric atau Henderson? Kane atau Mandzukic? Sama ada negara kelahiran bola sepak berjaya menewaskan negara Balkan, semua persoalan akan terjawab hari ini. Lawan yang menanti ialah Perancis yang dahaga 20 tahun kejuaraan Piala Dunia.

Aku tiada masalah sekiranya Croatia yang menang dan akan sentiasa meraikannya bertepatan dengan semangat kebolaan. Satu Bola Satu Penganga.

Namun jauuuuuuh di penjuru jari kelinking aku ada titisan darah Malaya yang begitu rapat dengan bola sepak Inggeris. Tidak dapat tidak, England ada tempat istimewa dalam sanubari aku. Ini akulah. Orang lain aku tak tahu.

Baiklah. Dengan nafas turun naik di dada aku merasakan..

England menang. Croatia kalah.

Sunday, July 8, 2018

Separuh Akhir Piala Dunia 2018:Perancis Melawan Belgium.

Separuh Akhir Piala Dunia 2018:Perancis Melawan Belgium.

LATAR PASUKAN DAN SEJARAH PERSETERUAN

Perancis pasukan paling ramai dilimpahi bakat muda akan bertarung dengan generasi emas Belgium dalam laga separuh akhir yang menjadi impian setiap peminat bola sepak dunia. Dua gergasi Eropah ini akan beradu tenaga di Saint Petersburg bagi merebut slot ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018.

Selepas Belgium menewaskan Brazil 2-1 dan Perancis menundukkan Uruguay 2-0, Juara Piala Dunia 2018 sudah pasti akan menjadi milik pasukan daripada Eropah. Ini kerana satu lagi perlawanan separuh akhir adalah melibatkan antara England dan Croatia.

Mengikut data simpanan, kedua pasukan ini sudah bertemu sebanyak 74 kali. Ia merupakan satu sejarah yang panjang buat Belgium dan Perancis. Perancis menang 24 kali, Belgium merekodkan 30 kali kejayaan dan 19 perlawanan antara mereka berakhir dengan keputusan seri. Kali terakhir kedua pasukan bertemu ialah pada 2015 dengan Perancis tewas kepada Belgium 3-4. Gol-gol Perancis dijaringkan oleh Valbuena, Nabil Fekir dan Payet. Manakala gol Belgium disumbat menerusi Fellaini (2 gol), Nainggolan dan Hazard.

MASTER MARTINEZ MELAWAN DEDIKASI DESCHAMPS.

Akhirnya Roberto Martinez dipandang tinggi. Suara sumbang yang mengutuk beliau sudah tidak kedengaran. Ketika bertemu Brazil sekali lagi beliau membuktikan dirinya adalah genius taktikal. Mengekspolitasi bakat Lukaku, Hazard dan De Bruyne ke tahap maksima. Kembali menamakan Fellaini dalam kesebelasan utama untuk berganding ampuh dengan Witsel. Respon dari pemain-pemain ini di atas padang amat menakjubkan. Taktikal yang dilakar menjadi mudah untuk dilaksanakan.

Martinez juga sebelum ini pernah merubah formasi mengikut keperluan dari 3-4-3 kepada 4-3-1-2. Dan formasi 4-3-3 'false 9' dalam aksi menentang Brazil benar-benar berjaya menjerat pasukan The Selecao. Belum dapat dipastikan lagi apakah formasi seterusnya yang akan digunakan untuk beraksi menentang Perancis.

Didier Deschamps adalah pengurus yang memenangi segala-galanya sebagai seorang pemain. Dedikasi jiwanya kepada negara Perancis tidak perlu dipertikaikan. Dengan limpahan bakat pemain yang mereka miliki, Deschamps sentiasa berpendapat Perancis boleh bermain lebih baik daripada ketika menewaskan Argentina dan Uruguay.

Kelebihan Deschamps ialah dirinya akan sentiasa dipandang mulia oleh para pemain dek kerana beliau adalah lagenda yang pernah menjulang Piala Dunia ini. Pembawakan watak 'abah-abah' senantiasa terlihat. Tengoklah macam-mana beliau menenangkan Pogba yang gelabah ayam semasa perlawanan menentang Uruguay tempohari. Berdirinya Deschamps di tepi padang adalah lebih dari sekadar pengurus. Dan aku berpendapat Dechamps adalah penentu kejayaan Perancis untuk menjulang Piala Dunia ke-2 mereka.

PEMAIN FOKUS

Eden Hazard memanggilnya tikus mondok. Michael Ballack menggelar beliau sebagai lalat najis. Bunyinya macam keji. Tetapi inilah pujian yang diberikan kepada N'golo Kante - pemain tengah bertahan terbaik Perancis.

Rakan sepasukannya Paul Pogba memberitahu bahawasanya sangat senang bermain bersama Kante kerana pemain ini seolah-olah mempunyai 15 paru-paru - 12 melebihi Park Ji Sung yang hanya mempunyai 3 paru-paru.

Ramai yang setuju Kante ini jelmaan Makalele. Tetapi Kante lebih pantas dan laju dalam memulakan serangan dari kawasan pertahanan. Terjahannya juga sentiasa tepat dan berjaya dalam setiap perebutan bola.

Jika Pogba adalah pemain Perancis paling efektif dan kreatif, Kante pula adalah pemain terbaik setakat ini dalam Piala Dunia 2018. Tugas beliau paling sukar mungkin ialah untuk meletakkan Hazard di dalam poket spendarnya.

Hazard seperti biasa lincah di Piala Dunia 2018 ini dengan harapan seluruh umat Belgium terpikul di bahunya. Kawalan bolanya yang kemas menyukarkan pihak lawan untuk merampas bola dari kakinya. Ia seolah-olah sudah melekat dengan gam gajah.

Idola beliau ialah Ronaldinho dan Hazard kadangkala cuba untuk bermain bola dengan senyuman manis di bibir. 'Make the ball happy' adalah slogannya. Hazard juga kerap menjadikan corak permainan lagenda Brazil itu sebagai contohnya di atas padang.

Ya, begitulah. Dua orang pemain bintang yang hebat dari pasukan Chelsea yang power akan bertembung sesama sendiri. Namun kali ini mewakili pasukan negara pula - Perancis dan Belgium. Siapakah yang akan muncul pemenang?

BELGIUM ATAU PERANCIS.

Apabila sudah tiba tahap ini, setiap pasukan berpeluang menang ke atas lawan masing-masing. Keputusan yang lepas tidak boleh dijadikan ukuran sangat. Semuanya akan bergantung di atas padang pada hari perlawanan itu sendiri nanti.

Aku percaya Martinez dan Belgium akan mampu menyukarkan pasukan Perancis. Tetapi rasanya Deschamps sentiasa ada jalan keluar dari masalah ini.

Minta maaf kepada peminat-peminat baru pasukan Belgium. Pemenang dalam pertembungan yang dijangka sengit ini adalah pasukan Perancis. Ya, bola sepak kadangkala memedihkan jiwa kita semua.

Perancis menang. Belgium kalah.

Saturday, July 7, 2018

Khas Piala Dunia 2018: Kalah.

KALAH

Suku Akhir Piala Dunia 2018: Russia Melawan Croatia







Suku Akhir Piala Dunia 2018: Russia Melawan Croatia.

Bagi ulasan kali ini, izinkan saya menulis dalam format nombor. Maaf saya tidak pandai melukis.

1. Perlawanan ke-60 Piala Dunia 2018 adalah aksi ke-4  peringkat suku akhir. Ia menemukan pasukan tuan rumah, Russia menentang Croatia. Russia dan Croatia menewaskan lawan masing-masing Sepanyol dan Denmark dalam satu penentuan sepakan penalti yang mendebarkan lagi syahdu.

2. Mengikut statistik, Russia adalah pasukan yang paling lemah dari segi ranking FIFA yang layak ke suku akhir. Tetapi tiada siapa yang boleh menidakkan semangat juang mereka yang beraksi di hadapan penyokong sendiri. Sebagai bukti, pasukan Sepanyol yang juga Juara Dunia 2010 berjaya mereka malukan dengan tenang dan berwibawa.

3. Selepas berhempas pulas bertahan selama 120 minit dengan penguasaan bola 26%, Russia kini terpaksa bersedia dari segi fizikal dan mental bagi berlaga keting dengan pasukan Croatia. Dalam hal ini rasanya pasukan Russia akan bermasalah untuk mengekang kehebatan pemain seperti Luka Modric dan Ivan Rakitic.

4. Nampaknya Russia yang sebelum ini ketika menewaskan Sepanyol menggunakan formasi 5 pertahanan dengan 1 penyerang dijangka tidak akan berkesan apabila bertemu Croatia. Ini kerana Croatia lebih gemar melakukan serangan balas yang pantas sepertimana ketika mereka menewaskan Nigeria, Argentina dan Iceland.

5. Pasukan Croatia pula menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan D sebelum menumpaskan Denmark dalam penentuan sepakan penalti yang berakhir dengan skor 3-2. Walaupun kurang meyakinkan, tetapi karakter pemain-pemain Croatia yang bangkit selepas kegagalan sepakan penalti Modric dalam masa kecederaan perlu diberi pujian.

6. Selain itu penjaga gol Croatia, Danijel Subasic juga perlu diberi perhatian dalam perlawanan ini. Semasa bertemu Denmark beliau berjaya menyelamatkan 3 sepakan. Kali terakhir pernah dilakukan oleh penjaga gol Portugal, Ricardo pada Piala Dunia 2006. Jika sekali lagi Croatia diheret ke masa tambahan dan sepakan penalti, beliau adalah penyelamat yang Croatia dambakan.

7. Mario Mandzukic perlu mengambil peluang dalam perlawanan ini untuk menambah jumlah golnya kerana Russia adalah pasukan yang suam-suam kuku dan mudah untuk ditembusi. Rekod jaringan pemain Croatia di Piala Dunia masih lagi dipegang oleh si lagenda Davor Suker.

8. Sekiranya Russia berkeras mahu bertahan dalam perlawanan ini, Croatia berkemungkinan akan diheret bermain sehingga sepakan pebalti. Apabila penalti peluang Russia untuk menang lebih besar dek kerana berhadapan dengan sokongan padu rakyat mereka sendiri. Dan semestinya ia akan memakan masa tidur kita semua.

9. Tetapi aku merasakan Croatia akan membunuh Russia dalam masa 90 minit sahaja. Ini mengukuhkan lagi bahawasanya Russia hanya bernasib baik menewaskan Sepanyol dalam sepakan penalti yang lepas.

10. Croatia Menang. Russia kalah. Dan ia akan menjadi kenangan manis buat negara yang berpopulasi 4.2 Juta ini untuk menewaskan negara yang mempunyai penduduk seramai 142 Juta orang.

11. Croatia akan bertemu England di separuh akhir.

Wednesday, July 4, 2018

Suku Akhir Piala Dunia 2018: Brazil Melawan Belgium.





Suku Akhir Piala Dunia 2018: Brazil Melawan Belgium.

Pucuk dicita ulam mendatang. Bagaikan orang yang mengantuk disorongkan bantal. Seperti penagih dadah mendapat jarum. Begitulah umpamanya peminat bola sepak seantero dunia ketika ini apabila melihat takdir menemukan dua pasukan berprofil tinggi pada laga suku akhir di Piala Dunia 2018.

Sebelum itu Belgium telah melepasi halangan Jepun dalam satu pertarungan yang sangat mendebarkan. Mereka ketinggalan 2 gol sebelum membalas dengan 3 jaringan bagi memastikan status mereka selaku pasukan pilihan pada kejohanan ini kekal relevan.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Belgium layak ke suku akhir dan mereka mahu layak ke separuh akhir sejak kali terakhir melakukannya 32 tahun yang lalu.

Walaupun kepakaran Martinez pada awalnya diragui, tetapi setakat ini beliau telah berjaya menyatupadukan barisan bintang pemain Belgium dalam satu keadaan yang paling harmoni dan tenteram. Sekali lagi kebijaksanaan Martinez dan Fellaini akan diuji apabila Brazil menjadi lawan seterusnya buat Belgium.

Pasukan Brazil sedang berada pada prestasi terbaik mereka. Macam mana kita benci pun kepada Neymar punya gulingan maut, statistik tidak mampu menipu kita. Neymar menjaringkan gol, mencipta peluang untuk rakan sepasukan serta memberi insprasi yang besar kepada pasukan Brazil untuk kempen Piala Dunia 2018 setakat hari ini.

Namun begitu pasukan ini lebih dari sekadar Neymar. Brazil memiliki Alisson Becker yang kebal dan tidak bolos dalam 3 perlawanan - menentang Serbia, Costa Rica dan Mexico. Ini sudah tentu dibantu oleh persembahan mantap dan konsisten dari Thiago Silva dan Miranda. Ramuan ini antara banyak membantu dalam usaha Brazil menjulang Piala Dunia ke-6 mereka.

Sukar untuk kita memilih pasukan manakah yang akan mara ke separuh akhir di antara kedua pasukan ini. Belgium dengan generasi emasnya sudah cukup ranum untuk menjadi juara Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah. Manakala kita jangan pernah lupakan Brazil dan sinonimnya mereka dengan Piala Dunia.

Selepas bertafakur selama 4 jam. Aku merasakan Brazil akan tewas kepada Belgium. Belgium menang. Brazil kalah.


Suku Akhir Piala Dunia 2018: Sweden Melawan England.







Suku Akhir Piala Dunia 2018: Sweden Melawan England.

Pasukan Sweden berjaya layak ke peringkat suku akhir buat pertama kalinya dalam tempoh 24 tahun selepas berhempas pulas menewaskan Switzerland 1-0. Seluruh Sweden gempita meraikan kemenangan manis ini.

Tidak keterlaluan untuk kita katakan Victor Lindelof, Andreas Granqvist dan Albin Ekdal kini boleh diletak sebaris dengan lagenda Piala Dunia 1994 Sweden seperti Tomas Brolin, Martin Dahlin serta Patrik Andersson. Secara perlahan-lahan generasi baru Sweden boleh keluar dari sejarah silam mereka.

Siapa yang memerlukan Zlatan? Pasukan Sweden tanpa Zlatan ini dilihat lebih berkeyakinan dan bersemangat tinggi. Jadi pasukan England silap sekiranya mereka masih memandang rendah pasukan Sweden ini. Lihat dari sudut yang berbeza, Sweden adalah antara pasukan yang degil dan liat untuk ditewaskan.

Penjaga gol mereka Robin Olsen tidak bolos dalam 3 perlawanan. Ini kerana pasukan Sweden bertahan dalam satu unit yang kompak menggunakan sistem klasik 4-4-2 dan kadangkala boleh menjadi 4-2-2-2. Di sinilah tugas sukar buat England apabila cuba menembusi pasukan Sweden yang secara keseluruhan bermain dalam disiplin yang tinggi. Perangai tipikal orang Viking.

Pasukan Tiga Singa iaitu England pula akhirnya berjaya membuang badi kegagalan penentuan sepakan penalti. Menentang Colombia di pusingan kedua memaksa perlawanan dibawa ke masa tambahan dan sepakan penalti selepas kedua pasukan seri 1-1 dalam masa 90 minit permainan. Walaupun Henderson gagal menyempurnakan sepakan penaltinya, muncul Pickford dan Eric Dier menjadi wira sejati England. Tuhan Selamatkan Baginda Ratu!

England perlu serius apabila melayan pasukan Sweden yang penuh dengan elemen kejutan ini. Dari segi kemampuan pemain secara individu dan juga 'squad depth', ia berpihak kepada pasukan England. Dan aku berpendapat inilah kelebihan England untuk mengatasi Sweden. England Menang. Sweden kalah.

Suku Akhir Piala Dunia 2018: Uruguay Melawan Perancis.







Suku Akhir Piala Dunia 2018: Uruguay Melawan Perancis.

Dua pasukan bekas juara Piala Dunia bertemu dalam satu perlawanan Super Bumper Edisi 2018. Uruguay merupakan juara Piala Dunia 1930 dan 1950 akan melayan Perancis si mantan juara Piala Dunia 1998. Dalam pertembungan penuh sejarah ini, pasukan manakah yang akan menang dan mara ke peringkat separuh akhir?

Dengan populasi sekitar 3.3 juta penduduk, Uruguay berjaya mengekalkan reputasi mereka sebagai antara kuasa bola sepak dari Amerika Selatan. Kita semua wajar berterima kasih kepada Uruguay yang sanggup menjadi tuan rumah pertama Piala Dunia 1930. Jika tidak, entah-entah kita hanya seronok sendiri menengok sukan polo kuda.

La Celeste (Biru Muda) memulakan kempen Piala Dunia ini dengan aksi yang kurang meyakinkan. Dalam perlawanan menentang Mesir dan Arab Saudi, mereka hanya berjaya menang dengan skor 1-0. Namun segalanya berubah selepas Uruguay berjaya menewaskan Russia dengan jaringan 3-0. Buktinya Portugal berjaya mereka jinakkan dengan 2 gol berbalas 1. Gol-gol cantik dari Cavani dalam perlawanan ini seolah-olah menjadi petanda Uruguay sudah bersedia bertemu apa sahaja pasukan bola sepak yang berada di muka bumi ini.

Setakat hari ini Uruguay belum lagi kalah dalam 7 perlawanan mereka. Kali terakhir mereka tewas adalah kepada pasukan Austria sekitar November 2017. Lama jugak tu. Adakah Perancis akan menjadi pasukan yang menamatkan rekod hebat Uruguay ini?

Sama seperti Uruguay, Perancis juga memulakan Piala Dunia 2018 ini dengan 'tarian' sumbang. Tidak berapa mantap semasa menewaskan Australia (2-1) dan Peru (1-0). Bosan nak mampos ketika terikat seri tanpa jaringan dengan Denmark. Pusingan kedua Perancis tampil garang apabila menundukkan satu lagi pasukan pilihab iaitu Argentina (4-3). Inilah wajah sebenar Perancis yang memukau dengan aksi Mbappe - sensasi baru pasukan Perancis.

Tidak dinafikan keterujaan membuak hendak melihat Suarez dan Cavani menembusi Samuel Umtiti dan Varane. Begitu juga dengan gandingan Griezmann, Giroud serta Mbappe cuba merobek pertahanan Uruguay yang dijaga kebal oleh Jose Giminez dan Diego Godin. Kesemua pemain bintang ini pastinya akan memberikan kita aksi yang sedap dan memukau.

Baiklah. Uruguay atau Perancis?

Sejak dari awal lagi aku sudah memilih Perancis untuk muncul sebagai juara Piala Dunia 2018. Oleh itu pendirian aku masih kekal utuh memilih mereka dalam perlawanan ini. Perancis menang. Uruguay kalah.

Tuesday, July 3, 2018

Sweden Melawan Switzerland

Sweden Melawan Switzerland

Perlawanan ke-55 Piala Dunia 2018 menemukan dua pasukan Eropah yang pada suatu masa dahulu pernah hebat dan hari ini sudah menjadi suam-suam kuku.

Sweden merupakan finalis Piala Dunia 1958. Sejak itu mereka tidak pernah lagi berjaya layak ke perlawanan akhir. Pada Piala Dunia 2018 ini Sweden muncul juara pasukan kumpulan F. Mereka menewaskan Korea Selatan 1-0 dan Mexico 3-0.

Pencapaian terbaik Switzerland pula adalah suku akhir pada edisi 1934, 1938 dan 1954. Sama seperti Sweden, kehebatan mereka lebih kepada zaman dinasor dahulu kala. Di Piala Dunia 2018 mereka berada di tempat kedua kumpulan E di belakang Brazil. Switzerland menewaskan Serbia 2-1 dan seri bertemu Brazil 1-1 serta Costa Rica 2-2.

Pada pertemuan ini Switzerland ternyata berkelebihan dari segi kemampuan individu pemain. Barisan pertahanan dikawal rapi Akanji dan Ricardo Rodriguez. Memberi perlindungan sedap kepada penjaga gol yang kental, Yann Somer. Bahagian tengah dipandu atur secara padu oleh Granit Xhaka dan Valon Behrami. Sementara Shaqiri dan Dzemaili sentiasa bersedia merobek gawang pasukan Sweden.

Mungkin inilah kelebihan pasukan Switzerland untuk mengatasi Sweden malam ini. Beraksi di Stadium Saint Petersburg yang berkapasiti 67 ribu tempat duduk semestinya mendatangkan keterujaan maksima baik kepada Sweden mahupun Switzerland.

Selepas kedua pasukan seri 1-1 dalam 90 minit dan masa tambahan, ada kemungkinan perlawanan akan berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti. Ketika inilah Yann Somer akan muncul sebagai wira kebangsaan. Sweden 3 - 4 Switzerland.

Colombia Melawan England




Colombia Melawan England

Cerita kehebatan Colombia 4 tahun lalu di tanah  Brazil kini sudah menjadi sejarah. Mereka mara ke suku akhir buat pertama kali dan mahu mengulanginya sekali lagi di Russia.

Ketua pasukan Colombia, Falcao berharap dapat membawa pasukannya menewaskan England selepas beliau terlepas peluang beraksi di Piala Dunia 2014 akibat kecederaan. Bersama Falcao hari ini mantap di barisan pertahanan ialah Yerry Mina dan Davinson Sanchez yang sentiasa melindungi David Ospina di gawang gol. Carlos Sanchez membawa kestabilan di bahagian tengah untuk Juan Cuardrado dan Quentero mecorak serangan bagi mendapatkan gol. Amat malang sekali kecergasan James Rodriguez masih menjadi tanda tanya dan ini menjadi masalah besar buat Colombia menejelang pertemuan dengan England. Tetapi ia mungkin membawa rahmat kepada pasukan England.

England hadir di Piala Dunia 2018 dengan semangat yang segar. Southgate dan pemain-pemainnya tidak sabar untuk melepasi pusingan kalah mati ini selepas kali terakhir melakukannya kira-kira 10 tahun yang lepas.

Bagi aku England tidak berdepan cabaran yang sebenar semasa mereka menjadi naib juara dalam kumpulan G. Dan aku tidak berseorangan dalam hal ini. Dalam satu temubual sebuah portal online bersama bekas penyerang lagenda Colombia, Juan Pablo Angel ada berkata.

“Setakat Tunisia dan Panama tu apalah sangat ye dak? Dengan Colombia nanti jadi ketiak itamlah deme. Heh!”

Awal pagi ini England akan mengadap sebuah pasukan yang lincah bagai dirasuk roh Carlos Valderrama, Rene Higuita dan Faustino Asprilla. Sekiranya Colombia mendpat gol awal, malapetaka menunggu England. Jika England berjaya menyerikan kedudukan, kecelakaan sepakan penalti pula datang menyapa mereka.

Kesimpulannuya siapakah yang layak memenangi perlawanan ini?

England bermain baik sebagai sebuah pasukan. Namun Colombia sedikit berkelebihan dari segi skil dan kepantasan. Seperti biasa England akan tewas dalam tekanan mereka sendiri. Colombia 2 – 2 England. Colombia akan menang dalam masa tambahan.