Saturday, July 7, 2018

Suku Akhir Piala Dunia 2018: Russia Melawan Croatia







Suku Akhir Piala Dunia 2018: Russia Melawan Croatia.

Bagi ulasan kali ini, izinkan saya menulis dalam format nombor. Maaf saya tidak pandai melukis.

1. Perlawanan ke-60 Piala Dunia 2018 adalah aksi ke-4  peringkat suku akhir. Ia menemukan pasukan tuan rumah, Russia menentang Croatia. Russia dan Croatia menewaskan lawan masing-masing Sepanyol dan Denmark dalam satu penentuan sepakan penalti yang mendebarkan lagi syahdu.

2. Mengikut statistik, Russia adalah pasukan yang paling lemah dari segi ranking FIFA yang layak ke suku akhir. Tetapi tiada siapa yang boleh menidakkan semangat juang mereka yang beraksi di hadapan penyokong sendiri. Sebagai bukti, pasukan Sepanyol yang juga Juara Dunia 2010 berjaya mereka malukan dengan tenang dan berwibawa.

3. Selepas berhempas pulas bertahan selama 120 minit dengan penguasaan bola 26%, Russia kini terpaksa bersedia dari segi fizikal dan mental bagi berlaga keting dengan pasukan Croatia. Dalam hal ini rasanya pasukan Russia akan bermasalah untuk mengekang kehebatan pemain seperti Luka Modric dan Ivan Rakitic.

4. Nampaknya Russia yang sebelum ini ketika menewaskan Sepanyol menggunakan formasi 5 pertahanan dengan 1 penyerang dijangka tidak akan berkesan apabila bertemu Croatia. Ini kerana Croatia lebih gemar melakukan serangan balas yang pantas sepertimana ketika mereka menewaskan Nigeria, Argentina dan Iceland.

5. Pasukan Croatia pula menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan D sebelum menumpaskan Denmark dalam penentuan sepakan penalti yang berakhir dengan skor 3-2. Walaupun kurang meyakinkan, tetapi karakter pemain-pemain Croatia yang bangkit selepas kegagalan sepakan penalti Modric dalam masa kecederaan perlu diberi pujian.

6. Selain itu penjaga gol Croatia, Danijel Subasic juga perlu diberi perhatian dalam perlawanan ini. Semasa bertemu Denmark beliau berjaya menyelamatkan 3 sepakan. Kali terakhir pernah dilakukan oleh penjaga gol Portugal, Ricardo pada Piala Dunia 2006. Jika sekali lagi Croatia diheret ke masa tambahan dan sepakan penalti, beliau adalah penyelamat yang Croatia dambakan.

7. Mario Mandzukic perlu mengambil peluang dalam perlawanan ini untuk menambah jumlah golnya kerana Russia adalah pasukan yang suam-suam kuku dan mudah untuk ditembusi. Rekod jaringan pemain Croatia di Piala Dunia masih lagi dipegang oleh si lagenda Davor Suker.

8. Sekiranya Russia berkeras mahu bertahan dalam perlawanan ini, Croatia berkemungkinan akan diheret bermain sehingga sepakan pebalti. Apabila penalti peluang Russia untuk menang lebih besar dek kerana berhadapan dengan sokongan padu rakyat mereka sendiri. Dan semestinya ia akan memakan masa tidur kita semua.

9. Tetapi aku merasakan Croatia akan membunuh Russia dalam masa 90 minit sahaja. Ini mengukuhkan lagi bahawasanya Russia hanya bernasib baik menewaskan Sepanyol dalam sepakan penalti yang lepas.

10. Croatia Menang. Russia kalah. Dan ia akan menjadi kenangan manis buat negara yang berpopulasi 4.2 Juta ini untuk menewaskan negara yang mempunyai penduduk seramai 142 Juta orang.

11. Croatia akan bertemu England di separuh akhir.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...