Wednesday, July 4, 2018

Suku Akhir Piala Dunia 2018: Brazil Melawan Belgium.





Suku Akhir Piala Dunia 2018: Brazil Melawan Belgium.

Pucuk dicita ulam mendatang. Bagaikan orang yang mengantuk disorongkan bantal. Seperti penagih dadah mendapat jarum. Begitulah umpamanya peminat bola sepak seantero dunia ketika ini apabila melihat takdir menemukan dua pasukan berprofil tinggi pada laga suku akhir di Piala Dunia 2018.

Sebelum itu Belgium telah melepasi halangan Jepun dalam satu pertarungan yang sangat mendebarkan. Mereka ketinggalan 2 gol sebelum membalas dengan 3 jaringan bagi memastikan status mereka selaku pasukan pilihan pada kejohanan ini kekal relevan.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Belgium layak ke suku akhir dan mereka mahu layak ke separuh akhir sejak kali terakhir melakukannya 32 tahun yang lalu.

Walaupun kepakaran Martinez pada awalnya diragui, tetapi setakat ini beliau telah berjaya menyatupadukan barisan bintang pemain Belgium dalam satu keadaan yang paling harmoni dan tenteram. Sekali lagi kebijaksanaan Martinez dan Fellaini akan diuji apabila Brazil menjadi lawan seterusnya buat Belgium.

Pasukan Brazil sedang berada pada prestasi terbaik mereka. Macam mana kita benci pun kepada Neymar punya gulingan maut, statistik tidak mampu menipu kita. Neymar menjaringkan gol, mencipta peluang untuk rakan sepasukan serta memberi insprasi yang besar kepada pasukan Brazil untuk kempen Piala Dunia 2018 setakat hari ini.

Namun begitu pasukan ini lebih dari sekadar Neymar. Brazil memiliki Alisson Becker yang kebal dan tidak bolos dalam 3 perlawanan - menentang Serbia, Costa Rica dan Mexico. Ini sudah tentu dibantu oleh persembahan mantap dan konsisten dari Thiago Silva dan Miranda. Ramuan ini antara banyak membantu dalam usaha Brazil menjulang Piala Dunia ke-6 mereka.

Sukar untuk kita memilih pasukan manakah yang akan mara ke separuh akhir di antara kedua pasukan ini. Belgium dengan generasi emasnya sudah cukup ranum untuk menjadi juara Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah. Manakala kita jangan pernah lupakan Brazil dan sinonimnya mereka dengan Piala Dunia.

Selepas bertafakur selama 4 jam. Aku merasakan Brazil akan tewas kepada Belgium. Belgium menang. Brazil kalah.


No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...