Thursday, July 12, 2018

Tempat Ketiga dan Keempat Piala Dunia 2018: Belgium Melawan England




Tempat Ketiga dan Keempat Piala Dunia 2018: Belgium Melawan England.

Selepas bertarung dalam 6 perlawanan dengan bertemu pelbagai lawan dari benua Asia, Afrika, Amerika Selatan, Amerika Utara dan sesama Eropah, akhirnya inilah penamat bagi pasukan Belgium dan England.

Belgium yang hadir dengan reputasi Generasi Emasnya hanya akan bertarung untuk merebut gangsa. Manakala England pula perlu akur pasukan muda mereka ini masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Kedua pasukan telah bertemu pada peringkat kumpulan yang mana ia telah dimenangi oleh Belgium dengan skor 1-0 hasil jaringan Adnan Januzaj.


PELUANG TERAKHIR GENERASI EMAS BELGIUM

Empat tahun lepas Belgium juga gagal menepati sasaran awal sebagai pasukan berpotensi untuk menjulang Piala Dunia. Mereka tewas kepada Argentina juga dengan skor 1-0 pada peringkat suku akhir hasil jaringan Higuain. Masa ni Higuain hebat lagi. Tahun ni dah bertukar jadi memerang. Takpelah, kita lupakan pasal beliau.

Ya, dan pada edisi 2018, ia dilihat sebagai peluang terakhir kumpulan pemain ini yang kebanyakan usianya hampir mencecah 30-an. Selepas mereka bergaya menewaskan pasukan Brazil, seluruh dunia yakin inilah pasukan juara. Malangnya mereka ditewaskan pula oleh Perancis. Kali ini seantero Malaya yang baru hendak berjinak menyokong Belgium terbungkam kemaluannya.

Mungkinkah pasukan Belgium ini akan menjadi seperti Generasi Emas Portugal? Seperti yang kita tahu, Generasi Emas Portugal tidak menjuarai apa-apa kejohanan utama. Mereka sekadar layak ke Separuh Akhir Piala Eropah 2000, meraih tempat kedua empat tahun selepas itu dan menjadi semifinalis Piala Dunia 2006 (keempat). Nama-nama seperti Luis Figo, Rui Costa, Victor Baia, Nuno Gomes dan Deco antaranya berlalu bagai angin sendu tanpa kejuaraan Piala Eropah dan Piala Dunia.


Adakah Eden Hazard, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku akan menamatkan riwayat bola sepak mereka tanpa Piala Dunia? Jika tanpa Piala Dunia pun mereka boleh menjadikan Piala Eropah 2020 sebagai sasaran seterusnya agar tidak sangap daripada sebarang kejuaraan utama bersama pasukan Belgium.

BALIK! DAN ENGLAND BETUL-BETUL BALIK

Berbeza dengan Belgium, pasukan England ini masih muda dan hijau. Pengurusan skuad Singa Bertiga pada awalnya menegaskan ini adalah skuad projek Piala Eropah 2020. Paling tua pun Ashley Young, Gary Cahill (32 tahun) dan Jamie Vardy (31 tahun). 

Tidak dinafikan pemain muda lebih pantas dan bertenaga. Tetapi bertenaga sahaja tanpa konsistensi juga tidak berguna. Inilah risikonya apabila Southgate bergantung harap kepada pemain muda. Kegagalan mengekalkan momentum kemenangan telah menjadikan pasukan England hilang arah tujuan apabila Croatia berjaya menguasai mereka di atas padang meskipun sudah mendahului perlawanan dengan satu gol. Lihat sahaja Marcus Rashford, beliau terpinga-pinga di atas padang apabila masuk menggantikan Jesse Lingard.


Akhirnya perjalanan indah warna-warni England ditamatkan oleh pasukan Croatia yang tidak pernah kenal erti penat. Balik. Dan England betul-betul balik. Namun tanpa Piala Dunia. Gila.

Tidak mengapalah wahai anak muda England sekalian. Sebelum kejohanan bermula tiada siapa pun peduli tentang England. England hanya gah pada nama. England hanya gah pada sejarah. Begitu kata nista yang sering dilemparkan kepada skuad Singa Bertiga ini. 

Tetapi hari ini dari Surrey ke Newcastle membawa ke Jemapoh semuanya tidak henti-henti memuji Danny Welbeck. Eh? Dia ada tak? Pemain Arsenal kot ni. Heh!

ENGLAND A MELAWAN ENGLAND B

Harapnya dalam perlawanan ini kita dapat melihat pemain yang tidak diturunkan sebelum ini diberi peluang bermain. Contohnya Simon Mignolet, Yannick Carrasco, Michy Batshuayi, Jack Butland, Gary Cahill, Phil Jones dan semestinya Danny Welbeck. Kesian Danny Welbeck. Ada juga yang tak tahu beliau adalah satu-satunya pemain Arsenal yang berjaya melangkah ke Separuh Ahir Piala Dunia 2018. 


Hanya akan ada 2 sahaja lagi perlawanan Piala Dunia sebelum ianya menutup tirai tanggal 15 Julai 2018. Bersediakah umat Malaya kembali menengok bola Malaysia? Hah?

Untuk Belgium dan England pula, terima kasih atas keseronokkan yang diberi. Semoga berjumpa lagi di Qatar 2022. Hiaaaaaaap!!!

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...