Wednesday, July 11, 2018

Separuh Akhir Piala Dunia 2018: Croatia Melawan England






Separuh Akhir Piala Dunia 2018: Croatia Melawan England

LALUAN KE SEPARUH AKHIR.

"Its coming home. Its coming home."

Begitulah lafaz umpama zikir yang keluar dari mulut pencinta pasukan bola sepak Singa Bertiga. Dengan komitmen para pemain dan pengorbanan tidak kenal erti lelah, hari ini penyokong England berdarah Malaya sudah berani angkat muka apabila bersua dengan Mat Pahang dan Mat JDT.

Memang tiada siapa menjangka England akan pergi sejauh ini. Aku sendiri meramalkan England hanya mara ke pusingan 16 pasukan terbaik. Dan ini hanyalah separuh akhir yang ke-3 bagi pasukan England selepas mereka berjaya menewaskan Sweden 2-0 dalam aksi yang penuh meyakinkan.

Lawan mereka nanti ialah Croatia - tidak pernah wujud sebagai sebuah negara sehinggalah pada tahun 1991. Pada laga suku akhir menentang pasukan tuan rumah Russia, mereka terpaksa bermain sehingga ke penentuan sepakan penalti selepas seri 2-2.

Memori indah Piala Dunia 1998 bagi negara Croatia kini sudah berteman. Malahan mereka juga boleh menoktahkan kenangan yang lebih manis pada edisi kali ini. Siapa boleh menidakkan kemampuan Croatia untuk bergelar Juara Piala Dunia 2018? Hah? Argentina mereka ratah begitu sahaja dan England wajib menghormati Croatia seadanya jika tidak mahu sejarah tahun 2007 berulang kembali.

SEJARAH PERSETERUAN

Secara peribadi perlawanan yang aku paling ingat melibatkan England dan Croatia ialah pada November 2007. Ia adalah pusingan kelayakan bagi Piala Eropah 2008. Aksi kedua pasukan yang berlangsung dalam cuaca hujan itu berakhir dengan kemenangan kepada pasukan Croatia 3-2. England gagal ke Piala Eropah dan Croatia mara bergaya.

Siapa boleh lupa menengok Steve McClaren berpayung siap dengan secawan kopi di tangan? Mujur aku takde dekat stadium masa tu. Kalau tidak aku mesti dah tikam beliau dengan keris bugis.

Mengikut statistik, secara keluruhannya kedua pasukan sudah bertemu sebanyak 7 kali. England menang 4 perlawanan, 2 lagi berpihak kepada Croatia dan seri satu perlawanan. Dan pada hari ini mereka akan bertemu buat kali ke-8. Siapa yang akan menang? Semuanya bergantung kepada strategi yang diatur oleh tuan pengurus.

KEMATANGAN SOUTHGATE MELAWAN KEAJAIBAN DALIC

England membuat pilihan yang tepat apabila melantik Southgate sebagai pengurus mereka. Keterlibatan Southgate dengan pasukan bawah 21 tahun England ketika Kejuaraan UEFA 2015 sedikit sebanyak memberi faedah yang membawa kepada kejayaan England mara sejauh ini.

Jack Butland, John Stones, Harry Kane, Jesse Lingard dan Loftus Cheek antara nama-nama yang pernah berkerja sama dengan beliau dalam skuad tersebut. Jadi semakin mudahlah tugas Southgate untuk menyampaikan dan melaksanakan taktikal yang beliau kehendaki.

Bagi Dalic pula kejayaan layak ke separuh akhir ini adalah satu perkara ajaib yang berlaku kepada Croatia. Mereka menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan. Kemudiannya menewaskan Denmark dan tuan rumah Russia dalam penentuan sepakan penalti. Seolah-olah nasib baik sentiasa melekat dengan mereka.

Menjelang pertemuan dengan England, Dalic berharap mereka dapat menewaskan pasukan Singa Bertiga dengan penuh bergaya hanya dalam masa 90 minit. Tak larat dah sampai sepakan penalti. Nampaknya Dalic dan seluruh pasukan Croatia kini benar-benar bersedia untuk melakar sejarah baru bagi bola sepak Croatia dan dunia.

PEMAIN FOKUS

England ada bekas ketua pasukan Jordan Henderson yang tidak lagi kalah dalam 30 perlawanan. Harry Kane yang setakat ini sudah menjaringkan 6 gol. Tetapi bagi aku Jordan Pickford, pemain Everton yang berusia 24 tahun adalah antara pemain yang paling menonjol dalam skuad England kali ini. Kenapa Pickford?

Beliau menjadi hero penyelamat sepakan penalti ketika menewaskan Colombia selepas menafikan gol daripada Carlos Bacca. Pickford kemudian mengulangi kehebatannya dalam pertemuan dengan Sweden apabila melakukan 3 aksi menyelamat tahap dunia. Tidak ragu lagi kini nama Pickford boleh duduk sebaris dengan lagenda sebelumnya seperti Gordon Banks, David Seaman dan Peter Shilton.

Bagi pasukan Croatia pula aku merasakan Danijel Subasic adalah pemain yang perlu diberi pujian ke atas persembahan hebatnya sepanjang Piala Dunia 2018 ini berlangsung. Raja Penalti Croatia ini menjadi wira ketika menundukkan Denmark dalam pusingan 16 pasukan terbaik apabila menyelamatkan 3 sepakan penalti.

Semasa melawan Russia pula, beliau beraksi dalam keadaan tercedera pada masa tambahan dan tidak mahu dikeluarkan. Pengorbanan beliau berhasil membawa Croatia ke pentas separuh akhir untuk bertemu dengan pasukan England.

ENGLAND ATAU CROATIA?

Modric atau Henderson? Kane atau Mandzukic? Sama ada negara kelahiran bola sepak berjaya menewaskan negara Balkan, semua persoalan akan terjawab hari ini. Lawan yang menanti ialah Perancis yang dahaga 20 tahun kejuaraan Piala Dunia.

Aku tiada masalah sekiranya Croatia yang menang dan akan sentiasa meraikannya bertepatan dengan semangat kebolaan. Satu Bola Satu Penganga.

Namun jauuuuuuh di penjuru jari kelinking aku ada titisan darah Malaya yang begitu rapat dengan bola sepak Inggeris. Tidak dapat tidak, England ada tempat istimewa dalam sanubari aku. Ini akulah. Orang lain aku tak tahu.

Baiklah. Dengan nafas turun naik di dada aku merasakan..

England menang. Croatia kalah.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...