Tahun 1992, Stadium Darul Makmur di Kuantan akan dipenuhi sekitar 20,000 penyokong setia Pahang yang mahu menyaksikan skuad Tok Gajah mereka beraksi dalam Liga Malaysia. Di hujung padang, di tengah pintu gol Pahang berdiri seorang lelaki tinggi lampai dengan rambut panjang bertocang. Suaranya lantang memberi arahan kepada barisan pertahanan Pahang, sambil tangan bersarungnya sekali-sekala memberi tunjuk arah.
Lama sebelum Real Madrid muncul dengan idea Galacticos mereka, Pahang terlebih dulu memulakan projek sedemikian. Atas titah baginda Sultan Pahang yang mahukan Piala Malaysia dibawa pulang ke Kuantan, Pahang membina skuad yang dibarisi Mubin Mokhtar, Zainal Abidin, Dollah Salleh, Fandi Ahmad, Borhan Abu Samah dan Alan Davidson. Tetapi ada satu posisi yang pemainnya tidak perlu diganti. Posisi penjaga gol Pahang kekal milik Khairul Azman Mohamed, lelaki tinggi lampai bertocang yang kali pertama menyarung jersi Pahang di tahun 1985 ketika baru berumur 17 tahun.
Siapa yang tidak kenal Khairul Azman? Dia bukan sekadar penjaga gol Pahang tetapi juga penjaga gol Malaysia. Dan ketika zaman kemuncaknya Khairul Azman pernah dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik Asia.
Kehadiran beliau di pintu gawang menggusarkan banyak pemain serangan lawan. Khairul Azman adalah benteng terakhir skuad Pahang dan beliau bukan penjaga gol yang mudah dibolosi. Reputasi beliau meletakkan Khairul Azman sebaris dengan V Arumugam dan Rashid Hassan.
Ketika Khairul Azman bermain atas padang bolasepak, Iker Casillas masih lagi bermain di atas padang permainan kanak-kanak. Pada tahun 1993, Khairul Azman membantu Malaysia menjuarai Piala Merdeka selepas menewaskan Korea Selatan 3-1.
Keutuhan beliau menjaga gawang Pahang membawa skuad Tok Gajah itu bergelar juara berganda Piala Malaysia dan Liga Malaysia pada tahun 1992. Khairul Azman turut membantu Pahang bergelar naib juara Piala Malaysia tahun 1994.
Tahun 1995 menyaksikan lelaki tinggi lampai bertocang ini menyeberangi Laut China Selatan dan berhijrah ke Sabah. Khairul Azman membantu skuad Badak memenangi trofi pertama mereka, Piala FA pada tahun 1995. Tahun berikutnya, Khairul Azman memainkan peranan membantu Sabah menjuarai Liga Malaysia, kejuaraan kedua negeri di bawah bayu sehingga kini.
Tahun 1996 juga menyaksikan Sabah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama. Namun skuad Badak tewas di tangan Gergasi Merah, Selangor. Kebolehan Khairul Azman tidak terhad di kancah domestik. Beraksi untuk Malaysia dalam Piala Tiger 1996, beliau membantu Malaysia bergelar naib johan setelah tewas kepada Thailand 1-0.
Pencarian Piala Malaysia Khairul Azman bersama Sabah bagaimana pun tidak kesampaian. Layak ke akhir dua kali pada tahun 2002 dan 2003, tetapi sekali lagi tewas kepada Petaling Jaya dan Selangor. Khairul Azman akhirnya mengambil keputusan untuk menggantung but bolanya pada tahun 2005 selepas gagal pulih dari kecederaan.
Kini beliau bersama pasukan Johor Darul Takzim sebagai jurulatih penjaga gol pasukan tersebut. Ini juga merupakan pasukan kedua yang dilatihnya selepas Sabah . Di Malaysia hanya ada SATU KHAIRUL AZMAN. YA, HANYA SATU....
No comments:
Post a Comment
Silakan Laser Saye...