Wednesday, May 8, 2013

Di Mana Mereka? Pavel Nedved



Seingat saya, pertama kali saya dengar nama Pavel Nedved adalah ketika Euro 1996, mewakili Czech yang baru beberapa tahun bercerai talak dan membentuk pemerintahan berdikari. Mungkin untuk Euro 96, mamat rambut ala peguam yang kemudian masuk Manchester United itu yang lebih menjadi bahan berita atau jika Neelofa sudah akil baligh waktu itu, kebarangkalian beliau bakal menulis di buku latihan sekolah dengan nama Ms Berger.

Namun Nedved tetap menarik perhatian saya. World Cup 1998 Czech gagal layak sementara Euro 2000 hanya membawa berita duka. Namun sekali sekala terpandang jua nama Nedved pengubat luka.

Saya terus mengikut perkembangan Nedved yang bermain untuk SS Lazio walaupun waktu itu kelab tersebut merupakan seteru kuat Juventus yang juga saya sokong untuk Serie A. Bagai penjaga gol lawan tersilap baling bola pada Wayne Rooney, rezeki saya untuk terus meminati Nedved bersinar harapan apabila SS Lazio dilanda masalah kewangan dan dipaksa menjual bintang mereka.

Tahun itu saya ingat sebagai tahun saya melihat tiga bintang bergambar bersama tanda mereka sudah sah menjadi pemain Juventus. Lilian Thuram, Gigi Buffon dan anda tahu siapa orang ketiganya yakni sudah tentulah bukan Khalid Jamlus.

Kehadirannya lebih signifikan kerana Juventus baru kehilangan playmaker mereka, Zinedine Zidane yang dicantas oleh bangsat berjersi Putih yang pada ketika itu menjadikan Pahang sebagai inspirasi mereka. Pada ketika Juventus dilihat tidak berupaya mencari 'Zidane baru', Nedved tampil sebagai playmaker tanpa sebarang bayangan Zidane dengan stailnya sendiri.

Tahun gemilang Nedved, pada perkiraan saya adalah pada tahun Juventus masuk final Champions League yakni pada tahun yang saya sendiri tidak ingat sekarang dan malas pula hendak memeriksa Google. Tahun di mana Juventus bertemu AC Milan. Bukan final yang menjadi memori indah tetapi perjalanan sebelum ke final yang lebih menaikkan Nedved.

Nedved tidak bermain akibat digantung perlawanan. Punca disebabkan menerima kad kuning yang membuatkan beliau digantung untuk perlawanan seterusnya, yang hendak jadi cerita, merupakan final. Masih juga terpahat di memori melihat gambar Nedved melutut dengan tangan di rapatkan di kaki pengadil memohon kad kuning ditarik balik. Pengadil mengambil sikap 'no no'.

Tahun itu Nedved menerima banyak anugerah termasuk Ballon d'Or, pemain terbaik Serie A dan beberapa anugerah tinggi yang lain.

Nedved juga antara beberapa bintang yang saya kira setia bersama Juventus ketika skandal Calciopoli yang menyebabkan kelab bersejarah itu ditendang keluar dari Serie A. Mungkin juga itu adalah era maghrib Nedved dalam bolasepak namun dia bersama otai yang lain membantu Juventus sehingga mampu melaungkan "I'm back!" kepada musuh-musuh serie A setahun kemudian.

Dalam hayat bolasepak, beliau kini dalam kategori seorang pesara tua. Nama Nedved sudah tidak lagi menghiasi ruangan akhbar atau artikel majalah bolasepak. Kini beliau adalah ahli lembaga di Juventus. Pada Januari 2013, Nedved diban dari menghadiri perlawanan Serie A selama minggu gara-gara menyerang pengadil Paolo Valeri ketika Juventus bertemu Sampdoria.

Mungkin beberapa tahun lagi boleh didengar beliau menjadi coach mana-mana kelab. Jika masih mengamalkan corak football is my life, mungkin suatu hari nanti mengikut Karel Bruckner sebagai pakcik genius yang mencorakkan pasukan kebangsaan Republik Czech.

Apapun, Nedved adalah hero saya. Saya letakkan beliau di tempat teratas dan sewaktu saya bercucu nanti, nama inilah yang akan saya sebut ketika bercerita dengan cucu-cucu, tentang seorang hero, seorang pejuang, seorang perwira, seorang panglima yang pernah gah menakluk Eropah suatu ketika dahulu. Cuma sayang beliau tidak berupaya menakluk dunia, sebagai pemain.


No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...