Menonton bola sepak Malaysia memang tidak sah kalau tidak diulas oleh Tuan Haji Hasbullah Awang. Bola sepak tanpa ulasan beliau seperti UMNO tanpa PAPAGOMO, bagaikan BN tanpa TV3. Saling bergantung dan memerlukan. Begitulah sinonimnya bola sepak Malaysia dan Tuan Haji Hasbullah Awang.
Teknik ulasannya yang kadangkala puitis, bersahaja walaupun tersilap sebut dan penggunaan istilah-istilah bola sepak yang mustahil ditemui dalam ulasan BPL di ESPN menjadikan ulasan bola sepak Malaysia sangat unik. Sama uniknya dengan corak permainan Malaysia yang sangat luar biasa.
Selepas bertahun-tahun mendengar ulasan beliau, sejak dari Fandi Ahmad belajar sepak bola sehinggalah kepala Fandi Ahmad pula disepak oleh pemain-pemain JDT, beberapa ungkapan bola sepak dari ulasan bola sepak Tuan Haji Hasbullah Awang telah berjaya aku simpulkan.
Hantaran Panjang
Hantaran jauh yang dibuat oleh para pemain Malaysia mirip seperti long ball dalam corak permainan bola sepak Inggeris dahulu kala. Bezanya hantaran panjang dalam bola sepak Malaysia jarang sampai tepat ke pemain yang diberi hantaran.
Hantaran Cantik
Hantaran yang sampai tepat ke pemain yang diberi hantaran atau dalam orang putihnya, complete pass. Lazimnya berlaku secara sengaja tetapi kerap juga berlaku secara tidak sengaja dalam bola sepak Malaysia.
Mengatur Gerak
Sama seperti build up play secara prinsipnya. Tetapi tidak seperti build up play yang lazimnya berakhir dengan gol cantik macam orang putih buat, mengatur gerak dalam konteks Malaysia selalunya berakhir dengan tendangan ke laut.
Hantaran Lintang
Lebih kurang crossing atau horizontal pass. Selalunya dilakukan bila penghantar berada dalam keadaan tertekan lalu dengan pantas membuat hantaran lintang biarpun tiada rakan sepasukan di tepian padang sebelah sana.
Tak Berjaya Dikesan
Istilah ini bukan membawa maksud pemain Malaysia yang berjaya menyelinap benteng pertahanan lawan tanpa dikesan. Tapi selalunya digunakan oleh Tuan Haji bila ada hantaran bola oleh seorang pemain Malaysia yang tidak disambut oleh 10 pemain Malaysia atas padang yang lain, kerana baki semua 10 pemain itu gagal mengesan bola tersebut.
Oh Tidak
Sama seperti oh no. Kerap digunakan merujuk kepada kesilapan taktikal tahap Gaban.
Separuh Separuh Masa Pertama
Disebut oleh Tuan Haji buat julung kalinya pada minit ke-22 dan 30 saat, merujuk kepada separuh dari separuh masa pertama yang sudah berlalu dalam perlawanan, atau erti kata lainnya suku pertama perlawanan. Tuan Haji mungkin pengulas bola sepak pertama yang membahagikan permainan bola sepak kepada 4 suku masa, macam bola sepak Amerika.
Tenang Mempertahankan Kubu
Ungkapan rare yang digunakan untuk menggambarkan situasi rare dalam bola sepak Malaysia iaitu ketenangan barisan pertahanan mempertahankan kubu.
Mengiringi Bola
Lebih kurang macam mengiringi pengantin atau budak nak berkhatan kena julang. Disebut oleh Tuan Haji bila ada lorongan atau through pass yang laju kepada pemain Malaysia yang kurang laju. Maka pemain tersebut akan mengiringi bola hingga ia keluar dari padang permainan, atau kata orang Perak, tak terkejor kome!
Memulakan Dengan Serangan
Pembuka bicara Tuan Haji ketika bermulanya separuh masa kedua. Penggunaan ungkapan ini oleh Tuan Haji bermakna ada juga agaknya pasukan yang memulakan dengan bertahan. Ini membuatkan pihak penyelidik bola sepak di seluruh dunia tertanya-tanya pasukan bola sepak lain manakah dalam galaksi Bima Sakti ini yang memulakan perlawanan dengan bertahan.
Tendangan Melengkung
Swerve kick kata orang putih. Sekali-sekala dilakukan dengan jayanya oleh pemain Malaysia yang menjadikan David Bekcham sebagai idola mereka, macam Zaquan Adha barangkali.
Tak Terkejar
Istilah yang digunakan bila ada pemain Malaysia yang membuat hantaran dengan kelajuan tinggi kerana menyangka rakan sepasukan yang diberi hantaran boleh berlari sepantas David Odonkor.
No comments:
Post a Comment
Silakan Laser Saye...