Sunday, July 1, 2018

Brazil Melawan Mexico

Brazil Melawan Mexico

Aku mendapat info, bergegar Chichen Itza dan Christ the Redeemer apabila mengetahui kedua pasukan ini akan bertemu buat kali ke-41 dalam sejarah bola sepak dunia. Mexico gergasi Amerika Utara dan Brazil gergasi Amerika Selatan bertemu sesama mereka dalam perlawanan peringkat kalah mati yang menjanjikan sensasi dan debar yang amat dahsyat. Tidak hairanlah perlawanan ini menjadi bualan mulut setiap umat manusia di muka bumi ini.

Mexico setakat ini masih mengekalkan corak permainan menarik, pantas serta berani. Untuk Piala Dunia 2018 ini mereka berjaya menewaskan juara bertahan Piala Dunia 2014 Jerman dan Korea Selatan. Walaupun tewas kepada Sweden pada perlawanan terakhir, Mexico masih berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan dengan cemerlang.

Brazil semakin mula mendapat sentuhan juara dan kini disebut-sebut sebagai calon utama untuk menjulang Piala Dunia selepas ketiadaan Argentina dan Jerman. Melihat barisan pemain mereka sahaja boleh mendatangkan gerun kepada lawan dan kawan. Selain Neymar, aku berpendapat Miranda dan Coutinho adalah tulang belakang pasukan Brazil pada kali ini selepas  kedua pemain ini tidak dipanggil pada Piala Dunia 4 tahun yang lepas. Jadi, inilah masa terbaik untuk Brazil kembali memulihkan nama baik mereka selepas 4 tahun lalu dimalukan Jerman di laman sendiri.

Sebenarnya jauh di lubuk hati aku menhgharapkan Mexico berjaya menundukkan Brazil yang lengkap serba-serbi ini. Tetapi aku perlu berpijak di bumi yang nyata. Dalam perlawanan terakhir Mexico menentang Sweden, beberapa kelemahan pasukan El Tricolor sangat terseerlah. Dan lawan mereka Brazil kali ini sangatlah perkasa dan ampuh. Sukar untuk melihat Mexico berjaya menembusi pertahanan Brazil yang penuh pengalaman ini. Brazil 2 -1 Mexico.





No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...