Thursday, June 20, 2013

Piala Konfederasi 2013: Italy vs Brazil



Perlawanan epik yang di tunggu-tunggu seluruh umat dunia. Brazil dan Itali masing-masing melepasi ujian awal dengan cara yang berbeza. Brazil seperti biasa beraksi bagaikan sang juara apabila dengan mudah menewaskan Mexico sekaligus menempah tiket ke separuh akhir. Begitu juga dengan Itali. Namun Itali dikerah habis-habisan untuk menumpaskan gergasi Asia, Jepun dengan skor 4-3. Bolehlah dikatakan nasib tidak menyebelahi Jepun apabila diletakkan dalam kumpulan yang  sama dengan 2 bekas pasukan Juara dunia ini.
 
Itali dan Brazil memerlukan 3 mata untuk menjadi juara kumpulan sekaligus mengelak daripada bertemu pasukan terkuat kumpulan B yang kemungkinan besarnya menjadi milik Sepanyol. Dua perlawanan pasukan Itali sebelum ini jelas menunjukkan barisan pertahanannya sedikit goyah. Kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi bertemu Brazil. Sebagai contoh, Chiellini sedikit penat dihujung-hujung permainan apabila kerap kali dipaksa menghalang kepantasan pemain Jepun. Begitu juga dengan Maggio, Abate dan apatah lagi De Sciglio yang pastinya akan mudah ditewaskan barisan serangan Brazil yang terdiri daripada Hulk dan Neymar.
 
Pertembungan dibahagian tengah antara Sang Ayam Pencen Pirlo dan bintang Brazil yang sedang meningkat naik, Paulinho juga sangat menarik untuk ditonton. Namun ada kemungkinan Pirlo akan mengalami masalah apabila berhadapan dengan barisan tengah muda Brazil seperti Oscar, Gustavo, Lucas Moura ataupun Hernanes. Seperti ketika menentang Jepun, Pirlo kelihatan sedikit tertewas dengan kepantasan pemain-pemain Jepun. Namun Itali mungkin boleh mengharapkan De Rossi dan Montolivo mengimbangi bahagian tengah supaya ianya tidak dikuasai sepenuhnya oleh pemain-pemain Brazil.

Tugas getir juga menanti Balotelli dan Giaccherini apabila terpaksa bertarung menentang antara 'back four' paling mantap dalam kejohanan kali ini iaitu Marcelo-Alves-Thiago-Luiz. David Luiz banyak menyelamatkan Brazil daripada dibolosi Mexico tempohari sehinggakan beliau mengalami kecederaan patah tulang hidung. Jika Giaccherini buntu mencari gol, Prandelli boleh memasukan Giovinco, Marchisio ataupun penyerang veteran Gilardino. Dan kita semua sudah semestinya menanti-nanti penampilan penuh daripada El-Shaarawy.

Pada 21 Mac 2013, kedua pasukan telah seri 2-2 (Fred, Oscar, Balotelli, De Rossi) dalam satu perlawanan persahabatan di Geneva. Namun saya tidak nampak bagaimana Itali boleh mengatasi Brazil dalam perlawanan ini. Tetapi jika kita imbas kembali bagaimana Itali mengkuburkan Jerman pada Euro 2012 yang lepas, sudah pasti kita tetap yakin skuad The Azzurri ini masih ada sedikit peluang untuk membuat kejutan ke atas Brazil yang mempunyai kelebihan beraksi sebagai tuan rumah.
 
Ramalan: Brazil 3 - Itali 2.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...