Monday, June 30, 2014

Prebiu Piala Dunia 2014: Belgium vs United States


Prebiu Piala Dunia 2014: Belgium vs United States 

Wednesday, July 2, 2014  | 4:00 AM 

Pada suatu petang di Warong Nasik Lemak Janda Lopa ketika semua penduduk Kampung Buaya sedang menunggu waktu berbuka puasa. Dari jauh kelihatan dua orang sahabat karib - Taruddin dan Idlan Khozim sedang bermuzakarah secara serius. 

"Engko tau tak Taruddin, pagi nanti Belgium akan bertemu dengan Amerika Syarikat. Ini adalah pertemuan ke-5 mereka yang mana Belgium telah menang 4 perlawanan. Manakala Amerika pulak hanya menang 1 perlawanan sahaja..." 

Belum pun sempat Idlan Khozim menghabiskan ayatnya, Taruddin pantas menjawab sambil melakukan balik kuang dari meja yang menyediakan lauk nasik campur, terus mendarat tepat di atas bangku plastik di depan Idlan Khozim. 

"Sebanyak 13 gol telah dijaringkan antara mereka. Belgium menyumbat 8 gol. Manakala Amerika hanya 5 gol." 

Berderau darah Idlan Khozim melihat aksi sahabatnya itu. Sambil mengeluarkan rokok sekotak dan mancis dari poket seluarnya, Idlan Khozim menambah. 

"Pasukan Amerika kali ini banyak dipengaruhi dengan semangat kepimpinan dari Jürgen Klinsmann. Hasilnya engko tengok perlawanan peringkat kumpulan diorang. Walaupun tewas, tetapi pasukan Amerika menunjukkan tahap persembahan yang tinggi di atas padang. Berkat usaha diorang, dapat jugak layak ke pusingan 16 pasukan terbaik dan bertemu pula dengan Belgium yang mana di atas kertas lebih kuat berbanding Amerika. Tapi bola sepak bukannya dimainkan di atas kertas. " 

Huraian panjang lebar Idlan Khozim terhenti apabila Janda Lopa mula menghidang air untuk berbuka puasa. Sirap Bandung Cincau dan Tembikai Laici menjadi pilihan mereka berdua. Kini terhidang di atas meja dua jenis air yang berasap-asap dengan ais. Idlan Khozim jadi tak tenang. Manakala Taruddin buat-buat muka penat berpuasa sebelum menambah bicara tentang pasukan Belgium pula. 

"Belgium ni pulak yang aku tengok masih lagi tercari-cari rentak mereka dalam kejohanan kali ni. Setakat ini Belgium gagal memenuhi jangkaan pakar bola sepak kerana aksi mereka kurang meyakinkan dan masih jauh dari potensi sebenar mereka. Tambahan pula Belgium berada dalam kumpulan H yang rata-rata pasukannya tidak menunjukkan aksi bola sepak yang sebenar. Ini berbeza dengan pasukan Amerika yang diletakkan dalam kumpulan yang mana pasukannya hebat-hebat belaka serta memberi cabaran dari segi teknikal dan taktikal." 

"Engko rasalah Taruddin, antara Belgium dan Amerika mana satu yang akan menang pagi karang?"

Soal Idlan Khozim kepada Taruddin sambil matanya tak henti-henti memandang Sirap Bandung Cincau ais dihadpannya. Dan bila-bila masa sahaja lagi Azan akan berkumandang menandakan masuknya waktu maghrib dan berbuka puasa bagi Kampung Buaya serta kawasan yang sewaktu dengannya.
 
"Sebagai seorang yang mula bermain bola sepak mewakili Kampung Buaya pada usia 10 tahun, aku menjangkakan Amerika Syarikat akan meneruskan corak permainan bola sepak yang berkualiti tinggi sehingga membuatkan Belgium terkial-kial untuk menyamai tahap persembahan pasukan Uncle Sam tersebut. Dan Amerika boleh menewaskan Belgium dengan skor 2-1 sekaligus membawa mereka mara ke suku akhir." 

Idlan Khozim tiba-tiba bersemangat mendengar kata-kata dari Taruddin itu. Dia berdiri seraya bersorak... 

"Hidop Uncle Sam!!!  Hidop Uncle Sam!!! Hidop Uncle Sam!!!"

Jemaah Warong Nasik Lemak Janda Lopa yang lain terpinga-pinga melihat perangai Idlan Khozim. Ada yang menggenggam penumbuk malahan ada yang hendak mengeluarkan lembing tapi dihalang rakan yang lain menggunakan isyarat mata. Mengenangkan beberapa saat sahaja lagi hendak berbuka puasa, mereka buat tak tahu sahaja.

Manakala Taruddin dan Idlan Khozim masih lagi ketawa berdekah-dekah sehinggalah matahari terbenam.

Pemain Tumpuan Belgium : Marouane Fellaini
Pemain Tumpuan United States : Jermaine Jones
Ramalan : Belgium 1-2 United States

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...