Saturday, June 28, 2014

Prebiu Piala Dunia 2014: Jerman vs Algeria


Prebiu Piala Dunia 2014: Jerman vs Algeria

Tuesday, July 1, 2014  |4.00 AM


Hari tu dalam jam 3 pagi selepas penat berniaga piramid Faisol dan Ramdi lepak-lepak di kedai mamak macam biasa menunggu siaran langsung bola sepak di RTM. Kiri dan kanan mereka penuh dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang bejersi Jerman. Ada yang berbaju Harimau Malaya. Tapi langsung tak terlihat yang memakai jersi Algeria. Sesuatu pemandangan biasa di Malaysia, sokong pasukan yang kuat sahaja.

"Jadi apa pendapat engko pasal game Jerman lawan Algeria kejap lagi ni Ramdi?" Soal Faisol pendek sambil membelek-belek talipon pintar di tangan kanannya. Sesekali dia tersenyum nipis. Puas hati malam ini dia dapat menjual 100 botol Air Ajaib Ruqyah Azimat. Produk yang diperbuat daripada 26 jenis air salji yang dicairkan dan ditapis serta diproses di Antartika yang menggunakan 100% teknologi Iran. Azimat dia punyelah power tak tipu punya.

Ramdi tenang mendengar soalan Faisol tersebut. Dia mengeluarkan satu bekas rokok daun yang sudah siap digulung. Sebatang dikeluarkan. Lalu dicelup ke dalam Air Ajaib Ruqyah Azimat sebelum hujung putung rokok daun itu dibakar. Mengikut kajian, selepas rokok dicelup ke dalam air tersebut dia boleh meneutralkan segala jenis racun tembakau di muka bumi ini. Jadi engko boleh hisap seberapa banyak rokok dengan syarat engko celup dulu dalam Air Ajaib Ruqyah Azimat.

"Jerman kali ini sangat mantap, sama macam 4 tahun yang lepas. Portugal depa belasah 4-0 memberikan isyarat bahawa mereka sangat serius dalam kempen kali ini. Tapi depa sikit terkejut dengan saingan daripada pasukan Ghana selepas itu dan hanya mampu seri 2-2. Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan depa berjaya jugak menewaskan Amerika Syarikat dengan skor 1-0 untuk meletakkan mereka sebagai juara kumpulan dan bertemu Algeria pagi ni." Panjang Lebar penjelasan Ramdi sambil dia sedut secara mendalam rokok daun yang sudah dicelup dengan Air Ajaib Ruqyah Azimat itu. Takdelah kena barah paru-paru lepas ni.

Faisol hanya mengangguk perlahan mendengar penjelasan kawannya itu. Jarinya masih ligat menaip di talipon pintarnya. Satu mesej whatsapp berantai dari group yang dia join di-forward kepada satu lagi group yang lain. Katanya kalau di-forward akan mendapat 1000 rahmat dunia akhirat. Kalau diabaikan bermakna bencana akan datang menimpa dan berkemungkinan ketiak juga akan menjadi itam. Butang send ditekan. Faisol tersenyum puas kerana akan mendapat 1000 rahmat.

"Betol apa yang engko cakap tu Ramdi. Tapi rekod dulu menunjukkan kedua pasukan ni pernah bertemu sebanyak dua kali dan keduanya dimenangi oleh Algeria. Apa yang aku nengok tim Algeria ni bermain dengan penuh semangat sambil kekuatan fizial menjadi taruhan utama mereka untuk berdepan dengan Jerman kejap lagi. Dan aku rasa jurulatih mereka Vahid Halilhodžić ada perancangan dan strategi yang akan menyukarkan Die Mannschaft". Jelas Faisol pula dengan nada serius.

"Aku rasa Jerman akan menang 4-1 kejap lagi." Ringkas dan penuh yakin Ramdi memberi ramalan perlawanan.

"Kahkahkah..Power jugak ramalan engko ni Ramdi." Kata Faisol sambil berdekah-dekah.

Mereka kemudiannya meneruskan minum Milo Ais Tabur sambil berulamkan rokok daun yang dicelup dengan Air Ajaib Ruqyah Azimat.

Pemain Tumpuan Jerman : Matt Hummels
Pemain Tumpuan Algeria : Feghouli 
Ramalan : Jerman 4-1- Algeria

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...